Sering menjadi sasaran jatuh hati oleh peminat wanita, hati Afgan sehingga kini belum lagi tercuit untuk jatuh cinta. Namun, dia tidak pernah mengehadkan hubungan dengan peminat, cuma belum ada yang berjaya mencuri hatinya.
Jika dihitung, untuk tahun ini sahaja, sudah hampir lima kali penyanyi berlesung pipit dari Indonesia, Afgan, singgah di Malaysia menyempurnakan pelbagai acara.
Baru-baru ini, Afgan sekali lagi diterbangkan ke Malaysia untuk menerima penghormatan sebagai juri jemputan program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF) pada konsert minggu kelima. Mengambil kesempatan daripada kemunculannya di Kuala Lumpur, wakil media berpeluang bersua muka, sementelah konsert terbaharunya di Malaysia semakin hampir.
Sekali lagi bertamu di depan media, isu yang dibicarakan masih di alur sama dan Afgan setia mengulas tanpa jenuh.
Profesionalisme. Itu mungkin antara sifat yang jelas terlihat daripada pemilik nama Afgansyah Reza itu.
Membuka kata pada rembang petang Selasa lalu, kerdip matanya bersinar ceria saat bercerita tentang persediaan menuju tarikh konsertnya, Suara Hati Afgan, di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjelang 18 September nanti. Tiket serendah RM133 sehingga RM855 (khas bertemu Afgan) masih boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia atau hubungi talian 03 - 8080 8700.
“Saya mahu halwa telinga peminat yang hadir ke konsert tersebut tidak sahaja dimanjakan dengan lantunan merdu, tetapi disajikan dengan pandangan yang cantik.
“Bagi memastikan penonton berpuas hati dengan apa yang bakal dipersembahkan, saya membawa hampir 60 orang pengiring terdiri daripada penari dan kumpulan muzik dari Indonesia untuk bersama-sama menjayakan konsert berkenaan,” jelasnya ketika ditemui di Eco Rsidences, Kuala Lumpur, rumah persinggahannya di Malaysia.
Malah demi peminat, Afgan juga gigih berlatih menari untuk menampakkan kelainan yang cuba ditonjolkan agar peminat boleh menjadi saksi, bahawa dia bukan sekadar penyanyi balada yang tidak lincah di pentas.
Katanya lagi, walaupun baru hendak berjinak-jinak dalam bidang tarian, dia menyukainya dan tidak sabar untuk membuat persembahan di pentas konsertnya nanti.
Takut bosan
Andai diukur pada tangga usia, ternyata Afgan masih muda. Tahun ini, usianya genap 26 tahun. Tetapi, apabila dibelek profil seninya, pencapaian selama tujuh tahun dalam industri sangat membanggakan.
Album keempatnya bakal muncul Disember nanti, lagu-lagunya bakal menembusi pasaran Indonesia dan Malaysia. Dia malah diberi kepercayaan untuk menjadi mentor dalam program X-Factor Indonesia tahun ini. Itu sudah cukup membuktikan bakat Afgan bukan calang-calang dan popularitinya bukan bersandarkan wajah tampannya.
Namun, di sebalik kemanisan kejayaan yang dicapai, Afgan tidak menafikan pernah terselit perasaan lelah kerana sudah terlalu biasa dengan kehidupan anak seni sejak awal remaja.
Tambahnya, kepenatan yang dilalui tidak perlu dirisaukan. Sebagai manusia, situasi itu biasa terutamanya apabila melewati rutin harian yang sama sejak bertahun-tahun.
Namun apa yang cuba dihindarinya adalah cetusan perasaan bosan. Jika didatangi emosi sedemikian, segala keseronokan dalam sebarang pekerjaan akan hilang dan semangat yang berapi-api juga boleh padam.
“Untuk mengatasi perasaan bosan itu daripada singgah terlalu lama, saya cuba melakukan aktiviti berbeza dengan nyanyian, seperti menjadi juri, mencipta lagu, berlakon dan mengarah filem.
“Tetapi setakat ini, saya belum menemui satu faktor kukuh untuk mengatakan bahawa berlakon itu satu kepuasan. Ia ternyata belum mampu menandingi keghairahan saya dalam muzik,” ujarnya sambil tertawa.
Sebagai rekod, Afgan pernah berlakon di samping pelakon kegemarannya, Deddy Mizwar menerusi filem Cinta Dua Hati pada 2010.
Walaupun tidak menemui keserasian dalam lakonan, namun Afgan menemui kecenderungan dari sisi pengarahan apabila dia bakal menyaksikan kelahiran filem sulungnya yang bertajuk Gila Jiwa pada 20 September ini.
Menurut Afgan, jalan cerita filem berkenaan berkisarkan fasa-fasa kehidupan seorang anak remaja yang mengalami masalah jiwa kerana sering dibuli rakan-rakan di sekolah.
Memilih filem versi omnibus, iaitu rangkaian cerita pendek yang digabungkan di bawah satu tema iaitu buli, Afgan menyifatkan ia sebuah karya yang bersifat peribadi. Lebih sentimental lagi, naskhah berkenaan adalah hasil pengalamannya yang pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah menengah.
“Pengalaman dibuli merupakan satu nostalgia yang sangat teruk dan menakutkan,” ujar Afgan sambil menggelengkan kepala apabila ditanya keadaan dirinya ketika dibuli dahulu.
Dia terlalu muda ketika itu, usianya baru 13 tahun dan detik ngeri itu berlarutan sehingga umurnya meningkat ke angka 15 tahun. Puncanya, dia tidak suka melakukan aktiviti bersama kanak-kanak seusianya di sekolah.
Afgan berkata, akibat sering dibuli, dia memilih muzik sebagai pelarian untuk melepaskan diri dari dunia gelap itu buat sementara waktu, sekali gus menenangkan fikiran.
Dia bernasib baik kerana tekanannya itu boleh dilepaskan menerusi nyanyian dan tidak pernah terdorong untuk mengambil tindakan ekstrem seperti percubaan membunuh diri atau mengalami masalah mental.
“Mungkin kerana saya dianggap aneh ketika berada di sekolah. Saya lebih suka menyendiri dan tidak bercampur dengan budak-budak nakal. Senang cakap, saya ini ulat buku.
“Proses pemulihan akibat dibuli mengambil masa selama tiga tahun. Saya menemui keyakinan diri apabila mula aktif menyanyi di hadapan orang ramai,” tuturnya yang sehingga kini masih berasa malu dan gentar untuk berhadapan orang yang tidak dikenali.
Katanya lagi, trauma impak pengalaman dibuli menjadikan dirinya seorang abang yang prihatin. Dia sentiasa memantau keadaan adik yang masih bersekolah, bimbang seandainya ada dalam kalangan ahli keluarga menerima nasib yang sama. Dia kerap berpesan kepada adiknya, agar berani mempertahankan diri.
Atas kesedaran itu, Afgan berharap Gila Jiwa mampu mengetengahkan isu buli kepada generasi di luar sana dan memberi cadangan jalan penyelesaian terbaik agar tekanan zaman remaja tidak akan merosakkan jiwa anak-anak muda.
0 Comment to "Afgan Muzik sebagai penyelamat"
Post a Comment