Linda Rafar mengaku masih trauma dan rela melalui fasa kehamilan sendirian selepas suaminya, Syed Aiman melafazkan cerai terhadapnya.
SEPERTI bait tulisan lirik lagu Trauma nyanyi kumpulan Elite, begitulah luahan perasaan Linda Rafar atau Azlinda Rafar mengenai kisah rumah tangganya yang juga bekas anggota grup tersebut.
Biarpun dituduh dengan tohmahan mencari publisiti murahan apabila kerap bercerita mengenai dirinya diceraikan suami yang juga pelakon, Syed Aiman Syed Mahmood, Linda tidak kisah.
Sementara itu, Syed Aiman lebih senang mengambil pendekatan berdiam diri dan menegaskan, dia tidak pernah melafazkan cerai terhadap Linda. Dia juga memberitahu, tidak hadir ke mahkamah kerana tidak pernah melafazkan cerai serta beranggapan isterinya itu terlalu emosi kerana sedang hamil.
Malah, dia sendiri mengaku masih menyayangi wanita itu dan keluarga yang dibina sejak tahun 2006 lalu.
Berkeras menyatakan dirinya telah diceraikan pada pagi Selasa lalu, Linda hadir bersama tiga orang rakannya untuk menyerahkan borang permohonan pengesahan lafaz cerai di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor semalam.
Membiarkan pihak mahkamah membuat keputusan, Linda mengakui dirinya mengalami tekanan emosi dan berasa trauma selepas apa yang berlaku.
Hasil perkahwinan yang dibina selama lapan tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syed Rezaqiib, 7 dan Syed Rezariiq, 4 serta kini sedang hamil tiga bulan.
Artis Meletop!: Linda mengakui bahawa suami (Syed Aiman) telah melafazkan cerai pada pagi Selasa lalu, bolehkah anda ceritakan bagaimana perkara itu berlaku?
LINDA: Tiga hari sebelum dia (Syed Aiman) melafazkan cerai pada pagi Selasa lalu, kami sudah tidak bercakap selepas dia pulang bekerja di Kelantan. Secara tiba-tiba sikapnya berubah menjadi dingin dan tidak menghiraukan saya. Lebih teruk apabila kami saling tidak bertegur sapa mahupun bertentang muka. Kemudian saya nekad mengambil keputusan untuk menghantar kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya untuk bertanyakan mengapa dia langsung tidak menghiraukan saya. Seterusnya pada pagi Selasa lalu, sekitar pukul 7.30 pagi, kami mula bertengkar dan ketika itu dia melafazkan cerai.
Selepas kejadian itu berlaku, bagaimanakah hubungan kalian berdua?
Kami kemudian tidak bertegur antara satu sama lain dan dia keluar rumah tanpa rasa bersalah atau cuba memujuk saya sebelum pulang semula pada waktu malam.
Pernahkah sebelum ini hubungan kalian berdepan dengan masalah?
Sepanjang lapan tahun berkahwin kami ada bertengkar, namun selalunya masalah itu dapat diselesaikan. Berbeza pada kali ini kerana setiap orang ada tahap kesabaran masing-masing. Cukuplah tempoh untuk saya bersabar dan mengalah, kini masanya untuk saya bersuara.
Sepanjang tempoh berumah tangga, pernahkah anda dikasari secara fizikal?
Perkara itu biarlah menjadi rahsia antara kami berdua. Tidak perlu
dikongsi mahupun dihebahkan kepada umum.
Sekiranya lafaz cerai itu tidak sah, adakah anda akan menerima semula sebagai suami?
Sebolehnya saya tidak mahu lagi meneruskan perkahwinan ini kerana bimbang jika usia kandungan telah meningkat, perkara sama akan berlaku sekali lagi. Bahkan saya rela untuk mengharungi tempoh kehamilan tanpa suami. Sejujurnya perkara ini menyebabkan saya trauma dan fobia untuk berdepan dengan masyarakat.
Bagaimanakah penerimaan anak-anak terhadap masalah rumah tangga kalian?
Alhamdulillah mereka berdua dapat menerima dan memahami situasi ini. Tambahan pula sekiranya perpisahan berlaku antara kami, saya tidak pernah sekali akan menyekat hubungan mereka dengan Syed Aiman.
Memandangkan kini sedang hamil tiga bulan, adakah perkara ini menjejaskan kesihatan anda?
Pada 17 September depan saya akan membuat pemeriksaan doktor. Segalanya terpulang kepada nasihat doktor. Namun saya mengakui selepas kejadian itu berlaku saya mengalami sakit perut namun sehingga hari ini tidak ada perkara yang serius.
0 Comment to "Linda Rafar sedia harungi fasa hamil tanpa suami"
Post a Comment