SEJAK kebelakangan ini, penama Zizan Razak hangat menjadi perbualan peminat industri hiburan tempatan. Kontroversi demi kontroversi membadai pelakon yang menjadi teraju utama filem Cicak Man 3 itu.
Bermula daripada kontroversi melibatkan keretakan hubungan cintanya dengan pelakon cantik, Emma Maembong sehinggalah isu disiplin dan komitmen terhadap bidang kerjanya menjadi dugaan terhebat pelawak yang bakatnya dicungkil melalui program realiti Raja Lawak ini.
Berikutan impak kontroversi tersebut, pelbagai cemuhan dan kritikan diterima Zizan, sehingga ada sesetengah pemerhati seni menyifatkan pelakon tersebut kini di ambang kejatuhannya sebagai seorang artis serba boleh yang tersohor.
Melihat riak wajahnya ketika sesi pratonton filem Cicak Man 3 juga jelas menggambarkan beban yang dipikulnya.
Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abd Razak, 31, dilihat sugul dan tidak bermaya, sekali gus memperlihatkan dirinya berada dalam keadaan tertekan.
Sabar menanti pelakon ini usai sesi pratonton filem Cicak Man 3 tersebut di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, pihak media mendapatkan penjelasan lengkap Zizan terhadap kontroversi yang melanda dirinya.
Artis Mele!: Zizan, boleh jelaskan mengenai kontroversi yang mengaitkan Zizan dengan Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin. Benarkah dakwaan yang mengatakan anda menjalinkan hubungan istimewa dengannya?
ZIZAN: Saya hanya mampu ketawa apabila mendengar dakwaan tersebut. Hal ini kerana tiada yang istimewa antara kami (Putri Yasmin). Saya menganggap dia sebagai kakak dan kenyataan bahawa kami bercinta sememangnya mengarut. Memandangkan saya bekerja di bawah penyeliaan Astro, saya memandang dia sebagai pihak atasan dan hubungan kami terhenti di situ sahaja.
Benarkah Yasmin menjadi penyebab utama hubungan anda dan kekasih anda Emma Maembong retak?
Mengenai hubungan saya dengan dia (Emma Maembong), biarlah saya dan Tuhan sahaja tahu perkara sebenar yang berlaku antara kami.
Saya tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut. Saya berharap agar pihak media mampu memberi saya ruang untuk bernafas. Apa yang penting Yasmin bukan punca sebenar hubungan kami retak.
Apakah status anda kini, adakah anda solo?
Saya tidak mahu komen perkara ini buat masa sekarang.
Beralih kepada komitmen dan disiplin anda terhadap bidang pekerjaan. Adakah anda sengaja tidak menghadirkan diri semasa sesi pratonton filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh?
Saya sudah berbincang dengan abang Mamat (Mamat Khalid) mengenai hal tersebut dan dia faham keadaan saya ketika itu. Malah, saya sendiri pergi bertemu dia untuk meminta maaf mengenai ketidakhadiran saya pada malam tersebut.
Mana mungkin saya sengaja tidak menghadirikan diri. Saya sangat suka berlakon dan sedar ia merupakan ‘periuk nasi’ saya. Saya menganggap isu tersebut telah selesai.
Sejak tercetusnya kontroversi yang membabitkan diri anda, anda dilihat selalu menghilangkan diri apabila pihak media cuba mencari anda. Bermula daripada Anugerah MeleTOP ERA sekitar 3 Mac lalu, anda mula menghindar daripada bertemu kami. Adakah anda sengaja untuk menghindar diri bagi tidak menjawab setiap kontroversi yang melanda diri anda?
Saya sebenarnya sedikit tertekan untuk berhadapan dengan media kerana kontroversi yang timbul.
Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjawab setiap soalan yang diajukan. Saya berharap sangat pihak media memberi ruang untuk saya bernafas.
SEMENTARA itu, Putri Yasmin yang ditemui pada sidang akhbar pengumuman pelantikan penyanyi Hafiz Suip sebagai duta produk kecantikan SophieSecret di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, enggan mengulas lanjut dakwaan mengenai hubungan yang terjalin antaranya dengan Zizan.
Ujar Yasmin, dia telah memberikan kenyataan yang wajar mengenai dakwaan itu sebelum ini dan tiada apa lagi yang boleh diperkatakannya.
Kosmo!: Bagi menjernihkan keadaan, bolehkan Yasmin memberitahu status sebenar antara Yasmin dan Zizan?
PUTRI YASMIN: Tiada kebenaran mengenai dakwaan itu. Saya percaya anda semua tahu tentang perkara tersebut. Maaf, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana saya perlu menghormati majlis ini.
Jadi, adakah anda akan mengadakan sidang akhbar khas bagi menjelaskan tentang perkara tersebut?
Tidak. Saya telah menjelaskan tentang perkara ini sebelum ini. Tiada apa lagi yang perlu saya katakan.
- Zizan Razak: Putri Yasmin macam kakak saya
0 Comment to "Zizan Razak: Putri Yasmin macam kakak saya"
Post a Comment