Tiga tahun lepas, seorang gadis bernama Najwa Latif pernah mencetuskan fenomena dalam industri nyanyian apabila lagu ciptaannya, Cinta Muka Buku menjadi siulan ramai.
Seiring itu juga, Najwa Latif atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 20, pantas meniti di bibir peminat seni tanah air dan menjadi satu kejayaan besar bagi gadis tersebut yang baru berusia 17 tahun pada ketika itu.
Namun, kehangatannya tidak bertahan lama. Kebelakangan ini, nama Najwa semakin sayup didengar. Sejak melanjutkan pelajaran di Universiti Antarabangsa Tun Abdul Razak (UNITAR), perkembangan terbaharu daripada Najwa kurang mendapat hebahan.
Terdetik merisik khabar penyanyi yang sedang meningkat dewasa itu, Kosmo! menghubungi Najwa untuk mengikuti perkembangan terkininya.
Artis Meletop!: Apa khabar Najwa Latif sekarang? Mengapa selepas melanjutkan pelajaran, anda kelihatan tidak aktif dalam industri dan jarang dilihat di kaca televisyen mahupun di dada akhbar?
NAJWA: Alhamdulillah, saya sihat-sihat sahaja. Jujurnya, bukan tidak aktif langsung, cuma memandangkan saya kini bergelar siswa jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Jadi, saya perlu lebih selektif menerima undangan persembahan. Boleh dikatakan pergerakan seni saya agak perlahan tetapi bukanlah terus lumpuh. Setakat ini, saya masih memenuhi jemputan pada hujung minggu andainya tidak bertembung dengan jadual kelas atau program universiti.
Bagaimana dengan rancangan untuk single terbaharu selepas lagu Hilang menjadi hit tahun lepas?
Sebenarnya saya baru sahaja melancarkan single terbaharu bertajuk Satu Hari Nanti ciptaan sepenuhnya oleh Alif daripada kumpulan Sleeq minggu lepas. Video muzik rasmi lagu itu juga telah dimuat naik ke laman YouTube milik saya dan Alhamdulillah menerima reaksi positif daripada peminat.
Saya sendiri berasa teruja apabila merakam lagu itu kerana muzik dan liriknya sangat memberi semangat kepada pendengar. Malah, lagu ini adalah permintaan peribadi saya kepada Alif kerana pada awalnya, dia mencipta lagu itu untuk penyanyi lain.
Namun, setelah saya mendengar melodi Satu Hari Nanti, terus saya jatuh hati dan meminta kebenaran Alif untuk menyanyikan lagu berkenaan.
Kali terakhir Najwa mengeluarkan album pada 2012 tetapi hanya mini album. Tiada impian mahu merakam album penuh?
Setiap penyanyi pastinya mempunyai impian memiliki sebuah album penuh sebagai lambang titik peluh dalam industri. Begitu juga dengan saya dan Insya-Allah, sedikit masa lagi hasrat itu akan tercapai kerana saya kini dalam proses menyiapkan album kedua.
Kali ini, saya akan membuat album penuh yang bakal memuatkan 10 buah lagu. Tujuh daripada lagu yang terkandung dalam album itu ciptaan sepenuhnya oleh saya dan kakak, Syafikah Latif, sebuah lagu nyanyian semula dan dua lagi daripada komposer luar.
Jangkaan pelancaran album masih dalam perbincangan. Jika diikutkan hati, sememangnya saya melancarkan album itu sekitar tahun ini juga, tetapi bergantung kepada keadaan. Sekarang, saya kena habiskan sesi rakaman semua lagu.
Ketika muncul dengan lagu Cinta Muka Buku, populariti anda bagai taufan. Secara tiba-tiba anda menjadi sebutan khalayak dan mendapat pelbagai komen positif dan negatif. Bagaimanakah anda menggambarkan situasi pada ketika itu?
Saya akui, ketika lagu Cinta Muka Buku menjadi hit dan seterusnya mengubah hampir keseluruhan hidup kerana saya terus dilamar menjadi seorang penyanyi profesional. Tiga tahun lepas, kehidupan seorang gadis remaja bernama Najwa Latif sangat sibuk dan padat.
Berbeza dengan sekarang, kehidupan saya lebih teratur dan terurus memandangkan saya sudah boleh menyesuaikan diri dalam industri seni.
Saya juga bersyukur kerana setakat ini, kehidupan peribadi atau privasi saya belum pernah dicabuli oleh mana-mana pihak secara keterlaluan. Bezanya kini, orang akan menegur saya apabila terserempak di pasar raya atau di tempat-tempat awam.
Anda mengambil jurusan TESL sebagai pilihan pengajian, adakah itu bermakna anda ingin menjadi seorang guru dan tinggalkan kerjaya seni?
Saya menyanyi sebagai hobi yang menjadi sumber pendapatan secara tidak sengaja. Jika ditanya apakah cita-cita sebenar, saya memang mahu menjadi pendidik. Sekarang saya masih mempunyai baki dua tahun untuk menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
Jika ada rezeki, saya akan menyambung pengajian hingga ke peringkat sarjana untuk melayakkan saya menjadi seorang pensyarah. Itu adalah matlamat hidup saya sejak dulu.
Untuk lima tahun akan datang, saya melihat pekerjaan sebagai seorang pensyarah sebagai kerjaya tetap dan menyanyi secara sampingan jika ada undangan. Jikalau tidak, saya tetap meneruskan kehidupan seperti biasa dan tanpa rasa terkilan.
- Najwa Latif mahu jadi pensyarah
0 Comment to "Najwa Latif mahu jadi pensyarah"
Post a Comment