SEJAK kebelakangan ini, nama penyanyi dan pelakon Meyanaliza Ruslee atau lebih mesra disapa sebagai Maya Matahari dilihat semakin menyepi dalam pentas dunia hiburan.
Mengukuhkan lagi andaian tersebut, kelibat aktres komedi itu juga kini jarang dilihat di kaca televisyen mahupun mana-mana program hiburan.
Mengakui hal tersebut, Maya menjelaskan fokus utamanya kini adalah kepada proses pembikinan album terbaharu selain sibuk menguruskan perniagaannya.
"Saya akui, saya agak low profile, tapi saya masih lagi aktif menyanyi dan berlakon.
"Cuma untuk aktiviti lakonan, saya terpaksa mengehadkannya. Malah, sejak setahun lalu, saya dah tak ambil mana-mana tawaran berlakon.
"Biasalah, apabila dah mulakan bisnes, saya perlu memberi lebih perhatian. Lagipun, bisnes saya baharu nak berkembang. Oleh itu, saya tak boleh main-main lagi.
"Jadi, saya terpaksa 'berkorban' dalam bidang lakonan berbanding nyanyian kerana menyanyi hanyalah memerlukan tempoh yang singkat. Malah, saya hanya memenuhi undangan persembahan apabila di hujung minggu," katanya kepada Zass ketika ditemui di pelancaran Festival Tari Malaysia (Festari) 2015, baru-baru ini.
Katanya, sebagai proses kepada pembikinan album baharunya, Maya bercadang untuk mengeluarkan single terbaharunya selewat-lewatnya selepas Aidilfitri nanti.
"Saya akan merakamkan single baharu tetapi pada masa sama, saya juga mahu merakam kembali lagu-lagu lama saya dengan memberi nafas baharu.
"Lagi pula, ramai peminat bertanyakan tentang lagu Matahari dan Diari Biru. Lagu-lagu itu susah nak dapat di pasaran, sebab itu saya mahu rakam kembali, kira macam album kompilasi sayalah," katanya sambil memberitahu album tersebut adalah sebagai hadiah kepada peminat yang menggemari lagu-lagu lamanya.
Dalam pada itu, Maya bakal terlibat dalam persembahan tarian pada malam kemuncak Festari 2015 anjuran pada 6 Jun ini.
Mengakui bukanlah seorang penari profesional, aktres berusia 39 tahun ini bagaimanapun bersedia menerima cabaran baharu seterusnya menerima pelawaan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
"Saya teruja, tapi pada masa sama saya juga gementar.
"Saya pernah berlakon dan menyanyi, tetapi menari tak pernah pula terlintas sama sekali di dalam kotak minda. Dunia tarian itu sebenarnya bukan asing kepada saya. Kalau menyanyi, saya juga perlu menari ketika membuat persembahan.
"Tapi, sama ada berlakon atau menari, kedua-dua bidang itu tetap memerlukan penghayatan dalam menyampaikannya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Maya baharu saja tamat menjalani penggambaran telefilem raya, Menantu Saad Adik Sufiat bagi siaran RTM, kelak.
0 Comment to "Diam Maya Ruslee diam berisi"
Post a Comment