Friday 5 June 2015

Kredibiliti populariti Nadiya Nisaa



PRINSIP Nadiya, kepuasan perlu dicapai dalam apa jua kerjaya. Tanpa kepuasan, tiada ertinya dia bertungkus lumus menuntut ilmu lakonan selama ini.

KARIER lakonannya mendaki perlahan-lahan sejak filem Cun! diterbitkan pada 2011. Namun, nama Nadiya Nisaa masih tidak memuncak walaupun impak lakonan menerusi filem arahan Osman Ali itu berjaya menghadiah trofi Pelakon Harapan Wanita Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-24 pada tahun yang sama.

Hampir empat tahun selepas filem pertamanya itu, wanita yang mesra disapa Icha juga ibu kepada seorang cahaya mata ini bukan lagi pelakon sembarangan. Sebaliknya, wajah dan namanya semakin laris dijadikan sandaran utama dalam kebanyakan drama mahupun filem hebat tanah air.

Drama hit, Adam dan Hawa yang disiarkan pada tahun 2013 juga menyumbang impak besar kepada aktres itu. Nadiya Nisaa terus memanjat tangga populariti dalam sekelip mata.

Meskipun drama berkenaan bukanlah medium lakonannya yang pertama, populariti yang menjengah secara tiba-tiba itu memberi impak besar kepada karier seninya.

Seiring lonjakan rating dan fenomena yang tercipta, nama Nadiya turut mekar menjadi antara aktres paling laris di Malaysia.

Umum tahu, pelakon filem Terbaik Dari Langit itu tidak gemarkan publisiti tanpa produk. Lantas, kesempatan bertemunya pada satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini digunakan sebaik mungkin untuk mendekati hati budi dan impian seni wanita berusia 30 tahun itu secara terperinci.


Belum puas

Nadiya menterjemahkan kedudukan dalam dunia seni hari ini tidak ubah seperti sedang berdiri di sebatang jalan yang di hadapannya terdapat banyak cabang haluan. Andai tersalah langkah, impaknya memakan diri.

Berbunyi seperti klise, namun itulah perkara yang sering bermain di benaknya. Biarpun namanya sedang mekar dan menjadi rebutan pengarah dan penerbit drama atau filem, secara harfiahnya, dia masih mencari kepuasan lakonan meskipun sudah 12 tahun memenuhkan profil karier sebagai pelakon.

Itu predikat sinonim dengan mana-mana artis yang begitu mementingkan kerjaya seperti Nadiya.

“Sudah tentu saya masih belum puas. Terlalu banyak perkara yang belum saya terokai sehingga kini terutama mengenai karakter dan watak dalam lakonan.

“Untuk naskhah drama, saya tidak kisah jika ditawarkan membawa watak yang sama dengan lakonan terdahulu, asalkan jalan cerita yang dipaparkan menarik, saya terima.

“Namun, tidak untuk filem. Saya sering mengidamkan watak-watak baharu yang berbeza dengan filem lakonan sebelum ini. Bukan memilih tetapi perhitungan itu penting untuk kepuasan diri sendiri. Tidak salah kiranya saya mengimpikan sesuatu yang lain dalam kerjaya,” tuturnya penuh semangat.

Tambah Nadiya: “Ini adalah pandangan saya sendiri. Selaku orang yang sudah lama dalam industri, cabaran getir yang perlu saya lalui pada masa kini cenderung terhadap pilihan watak-watak yang diberikan oleh pengarah, sama ada mahu atau tidak.

“Maksudnya, sama ada saya mahu menerima tawaran yang diberikan ataupun melepaskannya kepada orang lain. Kalau berbicara soal tawaran, rasanya semua pelakon pernah mendapat banyak tawaran watak daripada pengarah tetapi adakah semua watak yang diberikan itu menepati kehendak si pelakon?

“Nah, dari situ anda juga boleh faham maksud saya. Hidup ini mudah. Sama ada mahu memilih atau tidak, terpulang. Andai kata saya mahu ambil apa sahaja watak yang diberikan walaupun ia tetap sama dengan karakter-karakter terdahulu, maka saya akan menjadi seorang pelakon tanpa sifat versatil,” tuturnya seperti berfalsafah.

Impian

Saat ditebak tentang keinginan atau sasaran maksimumnya dalam kerjaya, spontan Nadiya menjawab, impiannya hanya satu iaitu mahu berlakon di samping barisan aktor dan aktres kegemarannya.

Walhal, kebanyakan impiannya itu sudah tertunai, namun jauh di lubuk hati pelakon itu, dia mahu mencuba semua peluang yang ada di depan mata selagi kudrat masih mengalir gagah dalam diri.

“Dahulu, saya sangat teringin berlakon di samping aktor Faizal Hussein dan Nam Ron. Alhamdulillah, impian itu tercapai selepas diberi peluang keemasan yang jarang-jarang diperoleh.

“Dengan memasang impian sebesar itu, bukan bermaksud saya mahu meletakkan diri setara dengan pelakon hebat. Jauh panggang daripada api. Apa yang saya lakukan hanyalah untuk mencari kepuasan,” tuturnya menguntum senyuman manis.

Lantik pengurus

Sejak muncul sebagai pelakon, Nadiya lebih rela memilih menguruskan sendiri jadual dan aktiviti seninya. Bukan tidak percaya kepada khidmat pengurus, sebaliknya dia lebih selesa berbuat demikian demi memastikan momentum seninya bergerak dengan usaha sendiri.

Terkini, karier seni lebih terurus apabila tugas itu diambil alih oleh kakak kandung, Min Luna yang turut berkhidmat sebagai penasihat imej selebriti. Mengakui hubungan kekeluargaan menjadi titik utama kepada keserasian dalam kerja, Nadiya berkata, kini kariernya semakin stabil dan tersusun.

“Memandangkan kerjaya kakak selaku penasihat imej selebriti juga sedang meningkat, saya lihat gabungan idea dan tenaga ini akan memberikan impak terhadap karier kami,” ujarnya yang bakal muncul dengan dua buah filem Love Supermoon dan Red Warriors The Movie sekitar tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Nadiya masih menjadi teraju utama dalam sitkom komedi Oh My English! yang muncul dengan musim kelima bermula awal Jun.

Pada masa sama, Nadiya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem terbaharu arahan Thumb Suhaimi berjudul Perangkap Perkahwinan di samping Amy Mastura, Marsha Milan dan Sari Yanti.

- Kredibiliti populariti Nadiya Nisaa

SHARING GOOD

0 Comment to "Kredibiliti populariti Nadiya Nisaa"

Post a Comment