Thursday 4 June 2015

Persis Remy Ishak, Azrel Ismail anggap satu bonus


PELAKON baharu, Azrel Ismail menganggap satu anugerah bagi dirinya, apabila ada orang berpandangan wajahnya persis pelakon, Remy Ishak.

Walaupun baru memulakan langkah dalam dunia lakonan ini, tetapi apabila ada yang menyamakan wajahnya dengan pelakon lain itu seperti bonus bagi dirinya.

“Benda ini memang biasa sangat berlaku, pergi mana-mana orang kata muka saya macam Remy Ishak, seterusnya dikatakan ada potensi untuk dapat 'job'.

“Bila muka saya dikatakan iras dengan Remy Ishak, ia satu bonus juga kerana orang mudah kenal saya nanti.

“Namun sehingga kini saya belum berkesempatan bersua muka dengan Remy kerana dialah idola saya juga, dia pelakon terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Fajar Di Bukhara baru-baru ini.


Drama 26 episod arahan Zulkiflie R. Shad itu, Azrel memegang watak utama sebagai Fahim dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Sasha Saidin, Maria Farida, Ainul Aishah, Aziza Halilova dan Zizan Nin.

Namun pelakon berasal dari Taiping Perak ini, menolak dakwaan sekiranya keirasan wajahnya itu menjadi penyebab untuknya menumpang populariti Remy Ishak menjadi terkenal.

“Tidaklah menumpang populariti Remy sangat, muka sama tetapi pastinya lakonan saya masih banyak kekurangan lagi,” katanya.

Sebagai pendatang baharu dalam dunia seni, ujar bekas peserta pencarian lelaki Maskulin musim 2008/2009 ini, dia telah bersedia untuk berhadapan dengan segala kritikan dan gosip datang.

“Sebagai pendatang baharu, perkembangan diri dan apa sahaja dilakukan pasti akan menjadi tumpuan.

“Oleh itu sebagai selebriti, saya perlu bersedia dengan semua itu dan diharap tidak akan ada gosip negatif akan berlaku,” katanya dengan penuh harapan.

Berkongsi pula mengenai keputusannya berhenti kerja semata-mata untuk menjadi pelakon, Azrel berkata, demi mengejar cita-cita, dia sedia mengambil risiko meninggalkan pekerjaannya dalam bidang pemasaran di sebuah hotel terkemuka.

“Sebelum berhenti kerja, saya telah fikir semasak-masaknya dan mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak termasuk keluarga kerana bidang lakonan pendapatannya tidak menentu.

“Pada mulanya memang saya teragak-agak membuat keputusan itu kerana mempunyai pelbagai tanggungjawab yang perlu dilunaskan setiap bulan antaranya membayar rumah, kereta dan kad kredit.

“Namun selepas berfikir saya teruskan niat untuk menceburi bidang lakonan ini kerana bagi saya ini merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.


Tawaran mencurah

Ternyata keputusan untuk meninggalkan pekerjaan tetap sebelum ini berbaloi kerana menurut pelakon berusia 30 tahun ini, dia tidak putus dihujani tawaran berlakon.

"Alhamdulillah saya diberi kepercayaan untuk berlakon dalam beberapa projek termasuk bersama penerbit dan pengarah terkenal, Kabir Bhatia.

“Selepas habis penggambaran drama Fajar Di Bukhara ini, saya ada berlakon untuk drama atas talian Youtube bersama pelakon, Ayda Jebat.

“Saya juga baru habis penggambaran dengan pengarah, Shiela Rusly terbitan JS Pictures untuk slot drama Akasia di TV3 bertajuk Syurga Nur yang akan ditayangkan ketika Ramadan ini.

“Itu adalah drama pertama saya yang akan disiarkan di TV3 dan peluang ini sudah tentu saya gunakan sebaik-baiknya dan berharap drama itu akan memberikan impak kepada kerjaya lakonan saya selepas ini,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan peminat setakat ini, Azrel memberitahu, sehingga kini, pengikut di laman Instagramnya mencecah 12,000 orang.

“Alhamdulillah kini peminat semakin bertambah. Pada masa sama penampilan saya bersama Ayda Jebat mendapat perhatian ramai pengikut di Instagramnya, mula mengikuti saya di Instagram juga,” katanya.

- Persis Remy Ishak, Azrel Ismail anggap satu bonus

SHARING GOOD

0 Comment to "Persis Remy Ishak, Azrel Ismail anggap satu bonus"

Post a Comment