Arif Dollah sudah lali dengan pelbagai kontroversi melandanya sejak kebelakangan ini termasuk dakwaan dibuat Sufi terhadapnya.
Bekas pengurus kepada penyanyi Tegar Septian iaitu Muhammad Arif Dollah tidak pernah berniat untuk menjatuhkan karier bekas anak tirinya yang juga peserta program Akademi Fantasia 2015 (AF) iaitu Sufi Rashid.
Arif, 30, berkata, kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook miliknya yang banyak berkemungkinan memburukkan penyanyi itu hanya sekadar untuk membersihkan nama baiknya dan keluarga atas tuduhan dibuat Sufi sebelum ini.
"Saya sentiasa berhati-hati dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan di Facebook dan paling penting tiada sebarang nama disebut. Siapa makan cili dia akan terasa pedasnya!
"Siapa saya hendak jatuhkan dia? Saya hanya membela nama baik saya dan keluarga sebaliknya ibu Sufi secara jelas banyak mengeluarkan kenyataan menjatuhkan saya dengan pelbagai kata-kata sinis termasuk cerita tidak benar secara terbuka.
"Jadi tidak salah untuk saya membela diri sendiri dan perlu menjelaskan kedudukan yang sebenarnya," katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi mesej WhatsApp dari Singapura pada Selasa.
Pada Mac lalu, Sufi yang merupakan peserta AF 2015 dari Singapura pernah membuat pengakuan mendakwa pernah mengalami gangguan seksual oleh bapa tirinya iaitu Muhammad Arif.
Sufi kini sedang bertanding dalam program Akademi Fantasia 2015.
Pendedahan itu dilakukan selepas penyanyi dari Indonesia, Tegar Septian membuat laporan polis di Singapura kononnya menjadi mangsa gangguan seksual Muhammad Arif yang juga pengurusnya.
Bagaimanapun Muhammad Arif dalam mStar Online pada 20 Mei lalu mendakwa bekas anak tirinya itu bersekongkol dengan Tegar membuat tuduhan itu tanpa bukti yang sah.
Dalam pada itu, Muhammad Arif berkata, dia sudah lali dengan pelbagai kontroversi melandanya sejak kebelakangan ini termasuk dakwaan dibuat Sufi terhadapnya.
"Ketika mendapat berita Sufi diterima masuk dalam AF saya dah menjangkakan cerita panas saya dikaitkan semula. Sebenarnya saya sudah lali dengan kontroversi, paling penting saya tidak buat dan tidak perlu rasa takut," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penyertaan Sufi dalam AF, Arif tidak menafikan Sufi mempunyai vokal yang baik namun ia tidak mencukupi untuk menjamin masa depan sekiranya disiplin dan kelakuan tidak dijaga dengan baik.
"Saya pertama kali diperkenalkan dengan Sufi oleh ibunya ketika dia berusia 11 tahun dan melihat potensi besar dalam dirinya sebagai seorang penyanyi.
"Yakin dengan vokalnya saya telah membawa dia ke Malaysia untuk mendapat bimbingan daripada Zul 2by2, Alfa Kusuma Booty dan menjalani latihan vokal oleh Datuk Adnan Abu Hassan.
"Alhamdullilah saya dapat lihat apa yang dia pelajari dari awal dahulu masih dikekalkan tetapi vokal yang baik tidak menjamin masa depan cerah sekiranya disiplin dan kelakuan tidak dijaga," jelasnya.
Dalam perkembangan lain Muhammad Arif berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran program aktiviti paranormal berjudul Destinasi Kebenaran selain bakal menerbitkan sebuah telefilem yang masih dalam perancangan.
0 Comment to "Bekas Bapa Tiri Tiada Niat Jatuhkan Sufi (AF 2015)"
Post a Comment