Wednesday, 19 August 2015

Fokus baharu Hanez Suraya


HANEZ SURAYA tidak mengalami alahan yang teruk sepanjang kehamilan cahaya mata pertamanya.

“BAGAIMANA dengan kandungan Hanez?” Itulah ungkapan pertama yang meluncur keluar ketika bertemu empat mata dengan pelakon Hanez Suraya sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka hari raya anjuran Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) di Kompleks Sri Utusan, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Kelihatan anggun menyarungkan blaus hitam yang dilapisi kardigan labuh berona jingga, Hanez menyambut pertanyaan tersebut seraya menguntumkan senyuman.

“Kandungan saya sudah masuk minggu yang ke-20. Alhamdulillah, setakat ini, kesihatan saya berada dalam keadaan baik.

“Alahan-alahan kecil itu ada, cuma tidaklah terlalu teruk sehingga menyebabkan saya muntah atau pening kepala,” ujar Hanez memulakan bicara.

Bagi pemilik nama lengkap Hanez Suraya Abdul Aziz, 30, itu, sepanjang tempoh empat bulan mengandungkan anak pertama, suaminya, Romie Razin Adilha Abd. Jais, melarang dia melakukan pekerjaan berat mahupun aktiviti lasak.

Malah, Hanez turut dinasihatkan supaya banyak menghabiskan masa di rumah selain membataskan setiap pergerakan hariannya.

“Hampir empat bulan hamil, banyak jemputan ke acara-acara tertentu terpaksa dilepaskan kerana Romie mahu saya sentiasa berada di rumah.

“Walaupun rasa ingin pergi itu menebal dalam diri tetapi saya harus akur bahawa larangan itu dibuat untuk kebaikan saya dan juga kandungan,” jelas Hanez lagi.

Ketika ralit membutirkan kata-kata mengenai pengalamannya hamil cahaya mata pertama, nada suara Hanez kedengaran sarat dengan rasa gembira.


Teruja

Barangkali sifat keibuan yang terlebih dahulu ditanam rapi sewaktu menerima kehadiran anak-anak tirinya, Putra Adreeshah, 9, dan Putra Rayqarlshah, 3, dalam hidup telah membuatkan wanita berusia 30 tahun itu bersikap lebih matang untuk meniti hari-hari mendatang sebagai seorang ibu.

“Kalau ditanya mengenai perasaan, sudah tentu saya merupakan wanita yang paling gembira.

“Lebih-lebih lagi apabila Putra dan Qarl (panggilan manja anak-anak tiri Hanez) juga teruja apabila mendapat tahu mereka bakal mendapat adik. Perasaan gembira yang dirasai sungguh luar biasa,” jelas Hanez lagi.

Melanjutkan bicara mengenai perancangan penjagaan anak sulungnya bersama Romie, Hanez berkata, dia bakal menghabiskan rutin berpantang di rumahnya di Kuala Lumpur.

“Jika mengikut perancangan awal, saya mahu berpantang di rumah ibu di Seremban, Negeri Sembilan.

“Namun, Romie minta agar ibu saya datang ke Kuala Lumpur dan menjaga saya di sini supaya dia tidak perlu berulang-alik ke Seremban.

“Lagipun, Romie suka jika ahli keluarga saya tinggal di rumah sepanjang proses berpantang. Katanya, dia suka suasana riuh di rumah,” kongsi Hanez yang dijangka akan melahirkan anaknya pada penghujung tahun ini.

Diusik dengan soalan mengenai jantina bayi yang dikandungnya, Hanez berkata, dia dan suami mengambil keputusan untuk merahsiakan perkara tersebut buat masa ini.

“Suami berpesan supaya rahsiakan dulu. Lagipun, usia kandungan baru sahaja masuk empat bulan.

“Insya-Allah, kami akan memberitahu kepada umum mengenai jantina anak ini apabila tiba masa yang sesuai,” katanya lagi.

Anak tiri

Berbicara mengenai hubungan akrab yang terjalin antara dua orang anak tirinya, Hanez memberitahu, dia cuba untuk memberikan kasih sayang yang sama rata walaupun bakal menimang cahaya mata kandung kelak.

Pada masa sama, Hanez juga tidak mahu menyekat kasih sayang yang sepatutnya hadir antara Putra Adreeshah dan Putra Rayqarlshah dengan ibu kandung mereka.

“Macam mana pun, kasih sayang antara ibu kandung dan anaknya tidak boleh dipisahkan. Ia merupakan satu dosa jika saya berbuat demikian.

“Walaupun tidak pernah berhubung dengan ibu mereka, namun saya cuba untuk memberikan kebahagiaan yang terbaik buat Putra dan Qarl.

“Saya juga sedar saya bukan ibu kandung mereka, namun saya berasa gembira dapat berkongsi kasih sayang bersama dua anak tiri saya,” kata Hanez.

Rumah tangga

Jika disingkap kembali perjalanan Hanez dan Romie dalam menyusun tangga-tangga bahagia sebelum bergelar suami isteri, pelbagai tohmahan serta kritikan pernah dilemparkan kepada mereka sebelum kedua-duanya sah mendirikan rumah tangga pada 14 Mac lalu.

Walaupun ikatan perkahwinan tersebut dilihat mampu memadamkan setiap nyalaan kontroversi yang pernah menghambat mereka, namun sehingga hari ini, Hanez dan Romie masih lagi disuakan dengan gosip serta kisah-kisah kurang enak.

Terbaharu, menerusi sebuah forum hiburan, hubungan Hanez dan suami dikatakan retak selepas pelakon itu memuat naik sekeping gambar dengan kata-kata sedih di akaun Instagramnya.

Mengakui hairan dengan tuduhan tersebut, Hanez berkata, dia dan suami tidak pernah mengalami sebarang masalah dan menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak benar.

“Sejujurnya, ketika mendapat tahu tentang perkara berkenaan, saya tidak berasa apa-apa. Hubungan saya dan suami dalam keadaan baik. Jadi, saya tidak perlu risau apabila ada orang buat cerita yang tidak betul tentang kami.

“Bagi saya, ramai yang dengki dan mencari peluang untuk mereka cerita berdasarkan apa yang mereka lihat di Instagram.

“Apabila berlaku perkara sebegini, baru saya sedar bahawa orang kita memang suka mengamalkan sikap mengambil tahu hal orang lain,” ujar Hanez dalam nada yang tegas.

Walaupun tidak terkesan dengan dakwaan tersebut, Hanez bagaimanapun mengakui tertekan apabila sering dijadikan sasaran terhadap cerita-cerita yang tidak benar.

“Suami banyak memberikan nasihat supaya tidak membaca komen-komen yang ditulis oleh pengguna di alam maya. Saya juga tidak boleh jangka apa yang akan berlaku.

“Apabila berdiam diri, orang akan menuduh saya melakukan kesalahan. Jika saya mengeluarkan kenyataan, nanti orang labelkan saya terlalu lantang pula.

“Jadi, menerusi apa yang telah dilalui sebelum ini, saya tidak mahu ambil pusing lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan perkara remeh sebegini,” ujarnya lagi.

Karier

Bercakap mengenai bidang lakonan yang sudah lama ditinggalkan, Hanez berkata, dia sememangnya rindu untuk kembali beraksi sebagai pelakon.

Namun, atas nasihat dan permintaan suami, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan.

“Saya memang rindu untuk berlakon semula tetapi Romie meminta saya untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap keluarga.

“Lagipun, secara jujurnya dia kurang selesa apabila melihat saya berlakon di samping pelakon lelaki lain,” katanya.

Walaupun tidak melihat dirinya akan kembali bergelar pelakon, Hanez bagaimanapun sudah bersedia untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan selepas selesai berpantang kelak.

“Romie banyak menggalakkan saya untuk cuba berniaga. Sebelum ini, saya juga banyak bergaul dengan ahli perniagaan sewaktu bergelar duta untuk sesebuah produk. Dari situ, saya mula menimba ilmu pengetahuan tentang perniagaan.

“Namun, saya belum memutuskan jenis perniagaan yang ingin diceburi. Jika impian itu ingin direalisasikan, saya kira ia lebih ke arah produk kecantikan dan fesyen,” katanya menutup perbualan.

- Fokus baharu Hanez Suraya

SHARING GOOD

0 Comment to "Fokus baharu Hanez Suraya"

Post a Comment