Friday, 7 August 2015

Mia Sara Mampu Sabar Dibuli Rakan Sekolah


Mia Sara tidak melatah walaupun diejek rakan-rakan sekolah.

Pelakon kanak-kanak Mia Sara mendedahkan dia sering dibuli rakan-rakan sekolah termasuk diejek dek kerana popularitinya sebagai seorang artis.

Mia, 10, berkata, terdapat juga rakan-rakan yang memukul malah pernah membaling batu ke arahnya namun dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu sensitif dengan sikap mereka itu.

Ini kerana perbuatan itu tidak mendatangkan kecederaan.

"Mereka buli saya, mengejek, baling batu dan pernah juga pukul saya. Saya sedih juga dan kadang-kala rasa geram. Tetapi ayah pesan, biar orang buat kita, tetapi jangan kita buat orang," katanya kepada mStar Online.

Mia ditemui pada majlis rumah terbuka Media Prima Berhad di Hotel Hilton di sini pada Rabu.



Mia Sara.

Sementara itu, bapa Mia iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berkata, walaupun dia tahu anaknya mengalami nasib sedemikian namun dia enggan masuk campur mengenainya kerana ingin Mia melalui proses berdikari.

"Bagi saya apa-apa yang berlaku di sekolah, biar cikgu yang uruskan, saya tak mahu masuk campur.

"Saya nak Mia melalui proses seperti kanak-kanak lain. Lagipun dia seorang selebriti dan bukan mudah untuknya melalui pengalaman itu. Biarlah dia berdikari dan belajar selesaikan masalahnya sendiri.

"Jangan sampai anak saya cedera teruk kena belasah, sudahlah. Bagaimanapun saya akan pastikan dia mendapat nasihat dan motivasi setiap hari. Saya tak mahu dia pulang ke rumah dengan emosi terganggu," ujarnya.

Muhammad Ridhuan bagaimanapun tidak berhasrat mendedahkan nama sekolah tempat Mia belajar.

Dalam perkembangan lain, Mia bakal terlibat dengan penggambaran drama Super Game Boy, untuk siaran Astro Ceria.

- Mia Sara Mampu Sabar Dibuli Rakan Sekolah

SHARING GOOD

0 Comment to "Mia Sara Mampu Sabar Dibuli Rakan Sekolah"

Post a Comment