Saturday, 8 August 2015

Nona Manis milik Naseha Uyaina


Naseha Uyaina (tengah) berbangga dengan kemenangannya sambil diapit oleh naib juara, Edora dan pemenang tempat ketiga, Maryam (kanan).

Pencarian Nona Manis dalam program majalah wanita, Nona berakhir hujung minggu lalu. Rancangan televisyen hujung minggu yang satu masa dulu cukup popular dalam kalangan wanita itu bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor.

Pada pertandingan akhir tersebut, Naseha Uyaina Arshad (Uyaina), seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya diumumkan sebagai juara Nona Manis 2015. Ia sekali gus menyaksikan Uyaina membawa pulang sebuah trofi, wang tunai RM15,000 dan beberapa hadiah sampingan.

Setelah tujuh minggu mengharungi pelbagai cabaran yang menguji kebolehan mereka dalam dunia penyiaran, keusahawanan dan program khidmat masyarakat, hanya lima finalis sahaja yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Siti Maryam Hussin (Maryam), Nurul Arifah Abdul Rashid (Yuyu), Nur Shaqira Edora Ghaffar (Edora), Naseha Uyaina Arshad (Uyaina), dan Balqish Banu Mohd. Hussni (Balqish).

Balqish, Edora, Maryam, Uyaina dan Yuyu perlu mempersembahkan tugasan akhir mereka dengan topik-topik yang dipilih.

Kemudian, mereka perlu berhadapan dengan sesi soal jawab secara langsung yang dikendalikan oleh panel juri profesional di pentas akhir. Antara topik yang dipersembahkan oleh kelima-lima finalis Nona Manis ialah Kesan Kaunseling Dalam Memperbaiki Hubungan Suami Isteri (Balqish), Generasi Tunduk (Edora), Barah Payudara (Yuyu), Perkosaan Dalam Rumah Tangga (Uyaina) dan Kecantikan Dari Kacamata Lelaki (Maryam).


Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama & Rancangan TV3 & TV9, Sherina Nordin, pencarian Nona Manis berjaya mencapai objektifnya dengan menyediakan platform untuk mengasah bakat baharu.

“Penglibatan mereka selama tiga bulan ini pasti dapat memberi pendedahan dan pengalaman yang berharga kepada para finalis kami terutama mereka yang tidak mempunyai asas dalam bidang penyiaran. Kami berharap agar mereka dapat menggunakan ilmu yang diperoleh dan kemahiran baharu ini untuk mencapai cita-cita,” ujar Sherina.

Siaran langsung final Nona Manis telah dihoskan oleh tiga wanita anggun iaitu Fouziah Gous, Fara Fauzana dan Dayah Bakar. Majlis tersebut juga turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian hebat daripada Altimet, Azmil Mentor Legend dan Hafiz Suip.

Pemenang Nona Manis 2015 ini telah dinilai oleh lima juri profesional yang diketuai oleh Pengurus, Pengurusan Imej Media Prima Bhd., Nurfarahin Jamsari disertai oleh Haliza Hashim, (koresponden TV3 di London) pereka fesyen, Jovian Mandagie, Mahani Awang (Pengerusi Persatuan Pereka Bumiputera ) serta pelakon Fahrin Ahmad.

Sementara itu, sebagai naib juara, Edora membawa pulang wang tunai RM10,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM10,000 sumbangan Habib Jewel.

Pemenang ketiga iaitu Maryam menerima hadiah wang tunai RM5,000, tajaan pakaian daripada Blossom Box Store, tudung bawal Aidijuma dan barangan kemas bernilai RM5,000 (Habib Jewel).

Sementara itu, pemenang sagu hati iaitu Yuyu dan Balqish juga turut menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan barangan kemas bernilai RM2,000.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1985, program majalah wanita terbitan TV3, Nona yang memaparkan isu-isu wanita berkaitan fesyen, kecantikan dan kekeluargaan menjadi sumber rujukan dan teman setia kepada penonton wanita.

Bersempena dengan sambutan ulang tahunnya ke-30, Nona memperkenalkan segmen pencarian Nona Manis yang bertujuan menampilkan gadis-gadis muda yang jelita dan mempunyai perwatakan yang menarik.

Kriteria untuk bergelar finalis Nona Manis ialah wanita yang berusia dalam lingkungan umur 21 hingga 30 tahun, berstatus bujang, mempunyai personaliti yang menarik dan mempunyai tahap pendidikan sekurang-kurangnya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf dengannya.

Setelah 30 tahun juga, seri program Nona tidak pernah pudar walaupun pengacaranya bersilih ganti.

Kini, Nona terbitan Khairol Bariah Kamaruddin dari Primeworks Studios menampilkan Fouziah Gous selaku pengacara dengan paparan enam segmen menarik pada setiap episod. Antaranya ialah Nona Isu, Nona Inspirasi, Nona Manis, Nona Cantik, Nona Luahan Rasa, Nona Fesyen, Nona Resepsi dan Nona Suami Isteri.

- Nona Manis milik Naseha Uyaina

SHARING GOOD

0 Comment to "Nona Manis milik Naseha Uyaina"

Post a Comment