PELAKON ini kini sedang hangat bercinta dengan jejaka yang berasal dari Australia.
Awal bulan lalu, bertiup satu spekulasi mendakwa pelakon yang terkenal dengan watak antagonis, Raja Ilya sudah berhijab. Teka-teki itu tersebar dan menjadi buah mulut ramai apabila pelakon drama bersiri Dahlia tersebut beberapa kali memuat naik gambarnya yang lengkap bertudung menerusi akaun Instagramnya.
Menerusi sebuah laporan sebelum ini, Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad, 29, menjelaskan, seboleh-bolehnya dia mahu mencapai impiannya bergelar artis antarabangsa terlebih dahulu, sebelum melakukan sebarang perubahan besar dalam hidup iaitu berhijab.
Bertemu Raja Ilya pada sidang akhbar rancangan realiti Awak Kat Mana untuk siaran Astro Ria, Kosmo! sempat mendapat ulasan lebih lanjut mengenai hasratnya yang masih tertangguh itu.
KOSMO!: Bolehkah anda jelaskan sedikit berkenaan isu anda ingin bertudung. Nampaknya penghijrahan tersebut tidak akan terjadi dalam masa terdekat bukan?
RAJA ILYA: Sebenarnya ketika peminat kecoh mengatakan saya sudah bertudung pada bulan puasa lalu, itu merupakan gambar-gambar daripada beberapa adegan drama yang sedang saya jalani. Benar, apabila membawa karakter wanita bertudung, perasaan yang tenang itu muncul tambahan pula apabila pulang ke rumah, ibu juga memberi pujian bahawa saya kelihatan lebih cantik jika bertudung. Bagaimanapun, saya tidak mahu berubah semata-mata atas dasar untuk cantik pada mata orang.
Apakah maksud anda bertudung untuk nampak cantik pada mata orang?
Berhijab ialah satu penghijrahan. Bukan hanya dari luaran tetapi dalaman. Ada sesetengah artis bertudung kerana mahu menjaga hati peminat yang mengatakan mereka lawa bertudung. Namun hakikatnya, perangai mereka masih seperti sebelum bertudung, sama ada baik atau tidak. Hijrah memerlukan komitmen yang besar. Sekarang saya masih terikat dengan komitmen dan lakonan merupakan kerjaya yang menjadi periuk nasi saya. Jadi, biarlah saya selesaikan satu-satu perkara terlebih dulu.
Anda pernah mengatakan belum boleh bertudung kerana terikat dengan sebuah kontrak lakonan. Berapa lamakah tempoh kontrak berkenaan?
Secara jujurnya, saya sendiri tidak tahu. Jauh di sudut hati, saya masih menaruh harapan untuk melangkah ma-
suk ke dunia Bollywood atau ke persada antarabangsa. Saya ingin kembangkan bakat lakonan ke seluruh dunia dan belum mahu berhenti mencuba. Apa gunanya saya bertudung sekarang tetapi jika ditakdirkan mendapat tawaran idaman, saya akan membuka tudung demi tuntutan karakter? Pastinya tindakan itu bakal mengundang lebih banyak pandangan negatif.
RAJA ILYA tidak menolak untuk berhijrah, namun katanya biar perkara itu terjadi secara semula jadi.
Jadi, bagaimana dengan perkembangan terkini anda?
Sekarang saya sedang berehat seketika. Ada beberapa projek saya yang masih menunggu giliran untuk ditayangkan. Buat masa ini, drama lakonan saya yang sedang ditayangkan ialah drama Syurga Nur menerusi slot Akasia, Cinta Iris (slot Ratu, TV9) dan sebuah telefilem bertajuk Jelmaan (Astro First) yang akan menemui penonton sekitar Oktober nanti. Sebenarnya masa terluang seperti ini jarang saya peroleh kerana biasanya sibuk bekerja. Jadi, apabila ada waktu di antara penggambaran dan tayangan, saya gunakan masa berkenaan untuk bersiar-siar, menghadiri acara atau memenuhi undangan fotografi. Bermula bulan hadapan, saya akan menggerakkan syarikat sendiri iaitu Bintang Klasik dengan mengeluarkan produk kecantikan. Pelancaran rasminya akan diadakan dalam masa terdekat, Insya-Allah dalam tahun ini juga.
Adakah syarikat itu dimiliki secara bersama dengan rakan kongsi atau sepenuhnya milik anda?
Ia syarikat milik saya sepenuhnya dan tiada rakan kongsi, malah semua pelaburan yang dibuat bagi produk yang bakal dilancarkan adalah hasil titik peluh saya bekerja selama ini. Saya ada tergerak hati untuk mencari pelabur tetapi atas nasihat keluarga, mereka menyarankan saya menggunakan wang sendiri agar segala jerih perih menjalankan perniagaan dapat dirasai sendiri. Ia sekali gus menjadikan saya lebih bertanggungjawab menjaga kepentingan syarikat.
Boleh ceritakan sedikit tentang pengalaman anda menyertai program realiti Awak Kat Mana yang disiarkan Astro kelak?
Sangat seronok, namun pada masa yang sama, ia mencabar ketahanan minda dan fizikal. Saya digandingkan dengan pelakon Syed Ali untuk menyelesaikan tugasan di kota cinta, Paris. Masalah utama kami ialah komunikasi kerana tidak ramai orang Perancis fasih berbahasa Inggeris. Tugasan yang diberikan hanya memperuntukkan lima jam sahaja untuk diselesaikan. Bagi saya, rancangan ini seperti The Amazing Race tetapi versi yang lebih padat dan mampat. Untuk sesi penggambaran, ini kali pertama saya meneroka Paris kerana ketika bertugas sebagai pramugari dahulu, saya sempat singgah buat seketika sahaja di Paris.
Sedikit hal yang menyentuh privasi, khabarnya anda kini sedang menjalin hubungan istimewa dengan seseorang. Boleh kongsikan siapa lelaki bertuah itu?
Cepat betul cerita tersebar (tertawa). Benar, sekarang saya sedang berkenalan rapat dengan seorang lelaki tetapi bukan orang dalam industri. Dahulu, dia salah seorang penumpang ketika saya bertugas sebagai pramugari AirAsia tiga tahun lalu.
Sejak itu, kami sering berhubung menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram. Cuma sejak dua bulan lepas, kami memutuskan untuk lebih serius, namun hubungan itu masih baharu dan tidak sesuai untuk saya dedahkan identiti lelaki yang dimaksudkan. Lagipun, kini dia berada Australia kerana berasal dari sana.
0 Comment to "Tempoh cinta dan hijab Raja Ilya"
Post a Comment