MUNCUL hanya dalam dua babak dalam filem Polis Evo, lakonan Amerul sebagai Mat Yam menjadi sebutan ramai.
Kelibatnya mungkin tidak sepopular aktor lain. Namanya pula, mungkin juga tidak kerap muncul di layar televisyen menerusi drama rantaian popular setiap petang.
Ironi, pemilik nama Amerul Affendi punya magis dalam bidang lakonan terutama filem dan teater. Jiwanya yang besar menghayati watak dalam barisan judul filem seperti Bunohan, Tolong Awek Aku Pontianak, Psiko, Pencuri Hati dan Bikers Kental cukup kuat menembus rasa setiap mata yang pernah menonton.
Namun, dalam keghairahannya menawan barisan filem hebat tersebut, pemilik nama Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi itu masih belum cukup kuat melekat dalam ingatan setiap peminat dengan lakonan mantapnya. Meskipun kehadiran dirinya sebagai Mat Yam dalam filem pecah panggung Polis Evo mendapat pujian melambung, namun itu juga masih tidak mampu mengubah haluan popularitinya.
Artis Meletop!: Bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia hiburan tanah air, nama Amerul Affendi dikenali sebagai salah seorang pelakon lelaki yang berjiwa besar dalam setiap lakonan. Namun, apa yang membuatkan nama anda agak sukar meniti populariti berbanding pelakon lain.
AMERUL: Saya juga tidak pasti dengan situasi ini. Tetapi, saya tidak kisah asalkan masih berpeluang diberi tawaran berlakon, itu sudah cukup. Tipu jika saya katakan tidak pernah berasa tercabar dengan kehadiran pelakon baharu sebab manusia memang terkenal dengan sifat ego. Cuma, apa yang saya boleh katakan ialah saya terima apa sahaja watak yang diberikan atas dasar kaki saya melangkah sebagai seorang penghibur. Bukan sebagai seorang artis, pelakon atau selebriti tetapi penghibur yang sayangkan industri.
Antara dunia lakonan dan teater, apa yang menjadi hala tuju anda dalam industri.
Antara filem atau drama dan teater, saya lebih memilih teater sebab bakat lakonan saya digilap menerusi teater. Ia sudah sebati dalam diri walaupun jika diikutkan, bayaran antara filem dan teater jauh berbeza. Jujur saya katakan, teater Bikers Kental merupakan naskhah pentas terbesar pernah saya terima daripada segi bayaran selama 10 tahun berada dalam industri. Tetapi saya tidak kisah kerana inilah dunia yang membesarkan saya selama ini.
Meskipun mempunyai potensi lakonan cemerlang, selalunya anda diberi tawaran watak yang berperanan sebagai bahan lawak dalam sesebuah naskhah. Tidakkah anda terkilan dengan situasi sebegitu.
Saya tidak kisah pun dengan apa-apa watak termasuklah jadi bahan lawak. Saya suka apabila orang suka, sebab saya rasa sasaran untuk melakukan yang terbaik sehingga membuatkan orang ketawa sudah tercapai. Ia satu kepuasan walaupun hanya dengan watak yang ringan. Bagi saya, soal watak tidak menjadi masalah sebab semuanya terpulang kepada pelakon itu sendiri bagaimana mahu memberi kepuasan kepada penonton yang melihat lakonan kita.
Boleh kongsikan perkembangan terkini anda.
Saya akan muncul dengan persembahan teater Bikers Kental di Istana Budaya pada 23 hingga 31 Januari depan bergandingan dengan Awie, Zizan Razak dan Nadia Brian. Selain berlakon, saya juga sibuk menguruskan ladang tanaman pisang, lada dan kelapa sawit milik keluarga di kampung halaman di Temerloh, Pahang. Dalam masa sama, saya juga mula berjinak-jinak dengan bidang penternakan kerbau dan sehingga kini, saya sudah mempunyai sebanyak 30 ekor kerbau. Tetapi semua projek ini masih lagi dalam permulaan dan ia akan mengambil masa untuk diusahakan sehingga membuahkan hasil.
Apa yang menyebabkan anda berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan.
Sebenarnya ia hanyalah sekadar meluangkan masa membantu bapa menguruskan kerjanya di kampung halaman. Memandangkan bapa saudara mempunyai tanah terbiar, jadi lebih baik saya usahakannya dengan menanam pelbagai tanaman yang boleh mendatangkan hasil.
Lagipun, langkah tersebut salah satu cara untuk mengatasi masalah kestabilan hidup pada zaman sekarang yang sangat mencabar daripada segi kewangan. Setidak-tidaknya, apabila berbudi kepada tanah, saya mampu menambah pendapatan.
0 Comment to "Amerul Affendi jadi petani, penternak"
Post a Comment