JALAN cerita hidupnya umpama sebuah drama yang mengandungi plot tersusun kemas dan unsur suspen. Dia pula berperanan selaku watak yang menjadi tatapan umum di atas sebuah pentas bernama dunia.
Cuma bezanya, menerusi drama realiti itu, dia dilabel sebagai watak antagonis hanya kerana takdir yang meletakkan dirinya selaku wanita kedua dalam hidup seorang lelaki yang sudah berumah tangga.
Menghampiri penutup tirai 2015 yang lalu, kontroversi perkahwinan penyanyi cantik Adira mengejutkan ramai pihak apabila dia disahkan bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk, Adnan Abu selepas baru sahaja putus tunang sekitar bulan Mei tahun lalu.
Selain perkahwinan mengejut itu, apa yang menjadikan kisah ini lebih dramatik apabila Adira rupa-rupanya bergelar isteri kedua kepada lelaki berkenaan.
Detik cerita itu dibongkar apabila seorang wanita yang menggunakan nama Datin Red memuat naik sekeping gambar bersama Adira dengan kapsyen berbunyi, ‘kini kami berkongsi suami’.
Terbuka mengakui status dirinya yang kini sudah berumah tangga, pemilik nama Siti Adira Suhaimi, 25, memilih untuk berterus-terang apabila memberitahu pernikahannya berlangsung di Songkhla, Thailand sekitar awal Disember tahun lalu.
Dia yang ditemui pada majlis pelancaran cawangan Butik Benang Hijau di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini mengakui hidupnya diselubungi rasa bahagia biarpun cerita perkahwinan dan status isteri keduanya masih menjadi perdebatan ramai sehingga kini.
Reda, bahagia
Buktinya, dia kini berasa cukup tenang dan dewasa menjalani kehidupan sebagai seorang isteri. Penerimaan positif daripada kedua-dua belah pihak keluarga membuatkan dia tidak mahu membuang waktu berfikir perkara negatif yang akhirnya akan memakan diri sendiri kelak.
“Masyarakat di luar sana saja yang memandang serong perkara ini, sedangkan yang melaluinya adalah saya. Saya sudah katakan yang perkara ini tidak perlu diperbesarkan sebab ia ketentuan jodoh. Apabila bercakap begitu, memanglah seperti nampak yang bercakap saja memang senang.
Walaupun pernikahan kontroversinya menjadi kritikan orang ramai, namun Adira tetap memanjatkan rasa bersyukur sementelah perkara itu berlaku dengan lancar.
“Dalam hidup, saya cuma mencari seorang lelaki yang boleh menerima ibu (Rujinah Sarungin) dan keluarga saya dengan baik. Sebab semua orang tidak sama dan boleh menerima keluarga yang susah seperti kami. Apa yang penting suami dapat menggembirakan ibu saya, itu sudah cukup.
“Dalam masa sama, kalau pihak sebelah suami dan isteri pertama boleh menerima kehadiran saya dengan baik, mengapa tidak saya lakukan perkara serupa dengan mengabaikan cakap-cakap orang? Dalam erti kata lain, selaku orang ketiga, saya perlu banyak mengalah dalam hal ini. Biarlah saya dan keluarga saja yang tahu keadaan sebenar,” tutur pelantun lagu Ruhi Kasih itu tegas.
Diusik mengenai perkenalannya dengan si suami, Adira hanya ketawa bahagia mengenang kembali bagaimana ‘pernikahan pantas’ itu berlaku.
Katanya, dia dan suami hanya sempat berjumpa sebanyak dua kali sebelum dilamar ahli perniagaan berusia 39 tahun itu untuk dijadikan suri hatinya.
“Saya mengaku, pada mulanya memang menolak (untuk disunting). Tetapi, apalah kudrat saya untuk menolak takdir. Kalau saya tolak sejuta kali pun, jika ia sudah tertulis, saya tetap akan menjadi isteri dia.
“Walaupun berkongsi kasih, saya tetap reda dan berfikiran positif dengan aturan yang Tuhan tetapkan. Dia Maha Mengetahui segala apa yang kita tidak tahu. Mungkin kerana saya juga tidak mahu bercinta dan pintu hati sudah terbuka untuk berumah tangga, jadi perkara ini dipermudahkan,” katanya.
Namun, jauh dalam hati wanitanya, masih berbekas segala nista yang dilemparkan banyak pihak sejak isu itu menjadi tajuk utama berita hiburan tempatan.
“Kisah hidup saya sangat ringkas sebenarnya. Ringkas pada awal cerita, tetapi jadi berliku pada hujungnya. Orang akan tetap bercakap yang buruk-buruk dan saya tidak boleh menghalang semua itu. Mereka tidak akan berhenti selagi tidak puas. Jadi, pendekatan saya lebih baik berdiam diri dan jalani sahaja hidup ini dengan tenang buat masa sekarang.
“Ada banyak hati yang perlu dijaga. Biarlah perkara ini berlalu dengan sendiri. Selagi saya tidak menipu dan lari daripada memberi kenyataan benar terutama kepada pihak media, itu lebih baik,” katanya pasrah.
Pernah membuka perniagaan hijab Adira Beauty Signature secara kecil-kecilan sekitar setahun lalu, Adira berkata, belum masanya untuk dia serius dalam bidang itu buat masa sekarang.
Adira kemudian memanjangkan bicara dengan mengaku dia sedar, menjadi isteri kedua yang selalu disifatkan sebagai perampas dalam kalangan wanita meletakkan dirinya dalam posisi ‘pesalah’.
Ujarnya: “Salah tetap salah, dan saya mengaku andai takdir ini membuatkan saya berada pada posisi pesalah iaitu merampas suami orang. Tapi, bagi saya itu semua jodoh dan apa pun yang manusia bercakap buruk mengenai saya, berbaliklah kepada ketentuan yang telah Tuhan tetapkan buat saya.
Karier, hidup
Dalam perkembangan terkini mengenai karier nyanyiannya, naib juara program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu berkata, jika tiada aral dia akan kembali muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi.
Bertanya mengenai perancangan halu tuju karier dan hidupnya pada tahun ini, penyanyi berkulit putih melepak itu hanya tersenyum nipis.
“Terlalu banyak perkara yang saya perlu belajar. Hal ini termasuklah untuk menjadi seorang isteri, madu dan anak yang baik kepada kedua-dua belah keluarga. Tidak siapa tahu apa akan jadi pada masa hadapan, tapi saya cuma mampu berdoa agar permulaan tahun baharu akan menjadi titik perubahan dalam hidup saya.
“Dalam masa sama saya juga berharap agar peminat tidak mencampur-adukkan kisah saya ini dengan karier pada masa hadapan. Peribadi adalah peribadi dan ia tiada kaitan langsung dengan karier. Saya cuma mengharapkan agar karier nyanyian pada tahun ini akan lebih baik daripada sebelumnya, itu sahaja,” ujarnya dalam nada tegas.
0 Comment to "Dunia lara, bahagia Adira"
Post a Comment