Hairul Azreen mengumumkan kandungan isterinya ketika di Jabal Rahmah sewaktu menunaikan umrah pada 19 Disember lalu.
Tiada apa yang menggembirakan hati pelakon Hairul Azreen saat ini selain melihat kandungan isterinya iaitu Hanis Zalikha yang semakin membesar.
Berita kehamilan Hanis diumumkan sendiri oleh Hairul ketika dia dan isterinya menunaikan umrah pada 19 Disember lalu, bahkan Hairul turut mengumumkan kandungan isterinya ketika berada di Jabal Rahmah.
Dia merancang untuk mengumumkannya di sana kerana difikirkan tempat tersebut adalah paling baik dan sesuai.
Kini, usia kandungan pelakon cantik itu sudah mencecah lima bulan.
Bagaimanapun, menurut Hairul, sehingga kini dia masih belum mengetahui jantina anaknya dan berharap ia adalah lelaki.
“Sebenarnya saya teringin anak lelaki, namun saya juga tidak kisah mengenai jantina anak tersebut nanti,” ujarnya yang turut terkena alahan orang mengandung.
Jika Hanis kerap muntah-muntah, kongsi Hairul, dia pula kerap berasa penat sejak isterinya itu mengandung anak pertama.
Sungguhpun begitu, alahan yang dialami tidak menjadikannya malas sebaliknya Hairul kini lebih rajin mengemas rumah dan memasak.
“Dahulu masa bujang tak suka mengemas dan memasak. Sejak Hanis mengandung, saya suka pula buat kerja rumah. Malah, sanggup belajar masak demi menyediakan hidangan berkhasiat buat Hanis dan anak,” luahnya teruja untuk menanti kehadiran cahaya mata sulungnya.
Hairul dan Hanis Zalikha diijab kabul pada 5 Jun 2015 di kediaman pelakon wanita itu di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Ditebak sama ada dia akan memberi kemewahan terhadap anaknya kelak, Hairul bagaimanapun menolak kenyataan itu. Baginya, adalah lebih baik sekiranya dia membesarkan anaknya dengan cara yang baik daripada dilimpahi dengan kemewahan.
Menyentuh mengenai kerjaya seninya pula, kata Hairul, pada 4 Januari ini (esok) dia bakal muncul menerusi cerita baharu yang berjudul Jangan Ambil Botak Itu.
Dalam pada itu, Hairul juga teruja memulakan tahun baru dengan azam baharunya.
“Tiga tahun berturut-turut iaitu 2013, 2014 dan 2015 saya menyimpan azam setiap awal tahun dan ia tercapai. Untuk tahun 2016 ini saya berazam untuk membimbing anak saya ke syurga. Insya-Allah,” ujarnya yang dijangkakan bakal menyambut anaknya itu nanti pada tarikh ulang tahun perkahwinan mereka sekitar Jun tahun depan.
0 Comment to "Hairul Azreen teringin anak lelaki"
Post a Comment