Monday, 4 January 2016

Mak Jah Perlu Berlakon Untuk Cari Wang Rawat Kanser


Mak Jah menghidap penyakit kanser rahim tahap satu.

Pelakon veteran Mak Jah terkilan apabila tindakan mendedahkan dia menghidapi penyakit kanser rahim tahun lalu mengakibatkan dia kekurangan tawaran berlakon.

Mak Jah atau nama sebenarnya, Maimunah Ahmad, 68, berkata, dia bimbang terputus punca pendapatan yang digunakan untuk menanggung kos rawatan dan ubat-ubatan penyakit yang dihidapi itu.

"Sekarang kurang tawaran berlakon kerana orang takut nak ambil saya, mungkin sebab saya dedahkan pada tahun lalu yang saya mengalami penyakit kanser. Ramai produksi sangka saya sudah tidak mahu berlakon.

"Kalau boleh saya ingin terus berlakon kerana dapat jumpa kawan-kawan dan tidak mahu terlalu fikir tentang penyakit. Lagi pula saya memerlukan wang untuk kos ubat-ubatan setiap bulan berjumlah RM2,500,"ujarnya kepada mStar Online.

Mak Jah diminta mengulas tentang perkembangan kesihatannya selepas disahkan mengidap penyakit kanser rahim tahap satu pada Jun 2014.

Sementara itu, kata Mak Jah, dia perlu mencari punca pendapatan lain bagi menampung kos perbelanjaan ubat-ubatan tersebut jika ia tidak mencukupi.


"Saya dapat bantuan Baitulmal berjumlah RM300 setiap bulan dan jumlah itu digunakan untuk bayar untuk sewa rumah. Anak saya juga ada beri duit RM500 setiap bulan untuk belanja makan.

"Cuma yang saya risaukan kos ubat untuk kanser, kencing manis dan darah tinggi yang berjumlah RM2,500 setiap bulan sahaja yang perlu dicari. Bulan lepas saya ada berlakon dengan produksi Haji Zil (Zeel Production) dapat juga menampung belanja ubat untuk bulan ini," ujarnya.

Bercerita tentang kesihatannya, Mak Jah yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur berkata, penyakit kanser yang dihadapinya belum lagi ke tahap yang perlu menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, penyakit itu masih boleh sembuh jika dia mengambil ubat-ubatan yang betul dan amalan makanan yang sihat.

"Kanser baru tahap satu dan doktor beritahu boleh sembuh jika saya makan ubat-ubat yang betul selain mengutamakan makanan sihat.

"Setakat ini, saya masih rasa sihat seperti biasa cuma kadang-kala rasa lemah. Buat masa ini saya belum lagi buat rawatan kemoterapi," ujarnya.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Maimunah Binti Ahmad 14-256-02-013518-1 (Bank Islam).

- Mak Jah Perlu Berlakon Untuk Cari Wang Rawat Kanser

SHARING GOOD

0 Comment to "Mak Jah Perlu Berlakon Untuk Cari Wang Rawat Kanser"

Post a Comment