Sunday, 3 January 2016

Ziana Zain & Misha Omar Kongsi perihal kerja



GANDINGAN figura Ziana Zain dan Misha Omar kali ini boleh dikatakan cukup istimewa. Ini kerana, ia merupakan kali pertama dua nama besar itu disatukan bersama dalam satu sesi fotografi sepanjang karier mereka berdua.

Bukan tidak pernah mengenali antara satu sama lain, cuma barangkali mereka belum pernah berkesempatan dan berpeluang untuk memberikan aksi bersama-sama di hadapan kamera.

Maka, tidak hairanlah, pertemuan di bilik jenis Quest di Hotel Qliq Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini bagaikan satu momen indah buat kedua-duanya. Tidak keterlaluan juga jika ingin dikatakan pada hari itu, ia seperti sebuah pertemuan dua kenalan yang sudah lama tidak bersua, biarpun kalau diikutkan masing-masing sebenarnya datang dari lapangan yang sama.

“Hari ini kita rasa macam satu kebetulan pula. Iyalah, suami saya kerjanya ‘terbang’, kak Ziana pun suami kerja di bidang yang sama juga. Itu yang gandingan fotografi kali ini rasanya seperti untuk isteri-isteri yang mana suaminya masing-masing kerjanya asyik terbang,” beritahu Misha kepada kru Sensasi Bintang apabila memikirkan dia dan Ziana secara tidak langsung juga mempunyai suami latar belakang kerjaya yang sama.

Kebetulan persamaan status diri sebagai golongan ‘orang rumah’ yang bersuamikan lelaki yang bekerja di awan biru itu secara tidak langsung merancakkan lagi perbualan mereka berdua. Dari mula bersiap sebelum sesi fotografi lagi, ada sahaja yang dicelotehkan kedua-dua figura itu. Apatah lagi, masing-masing juga punya tanggungjawab sama yang perlu digalas selaku ibu dan isteri, sudah pasti banyak perkara yang ingin diborakkan.

Ziana cari klon

Sungguhpun begitu, kedatangan tahun baru 2016 sememangnya memberi satu makna dan kenangan tersendiri buat pelantun lagu Madah Berhelah ini. Mana tidaknya, pejam celik, sudah lebih 25 tahun dia bertapak dalam industri nyanyian dan lakonan. Sehingga ke hari ini, dia masih lagi sibuk dengan jadual seninya.


BIARPUN sudah 25 tahun bertapak dalam industri hiburan, Ziana masih kekal aktif.

Terbaharu, Ziana sibuk dengan terlibat dalam program Seiras Seirama yang menampilkan dirinya selaku juri. Secara asasnya, program tersebut mencari bakat-bakat baharu yang mempunyai bakat dan suara mirip beberapa ikon selebriti tanah air seperti Ziana.

“Rasa diri ini sangat dihargai apabila ada individu-individu yang mempunyai kelebihan dan bakat untuk meniru gaya dan suara seperti saya.

“Kalau nak cari yang betul-betul sama dengan saya memang mustahil. Cuma apa yang boleh kita cari menerusi program sebegini adalah mereka yang mempunyai persamaan dan mirip dengan ton suara dan lenggok nyanyian saya,” kongsi penyanyi yang akan menginjak usia 48 tahun pada Mei nanti.

Menurut Ziana, bukan mudah untuk membuat keputusan bagi memilih siapa yang layak ke pentas akhir. Ini kerana, keempat-empat peserta wanita yang tersenarai di peringkat pemilihan itu semuanya mempunyai kelebihan masing-masing dalam meniru suaranya.

“Sebenarnya, siaran yang sedang ditayangkan itu merupakan program rakaman yang sudah dibuat terlebih dulu. Cuma, mereka yang terpilih nanti akan berentap di pentas akhir dan disiarkan secara langsung

“Jadi, mereka yang mahu lihat gelagat dan ragam mereka yang cuba menjadi Ziana Zain itu perlu saksikan sendiri program itu nanti,” katanya yang memberitahu slotnya akan disiarkan pada 17 Januari ini menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).


Misha perah otak

Bukan hanya Ziana, penyanyi Misha Omar juga terlibat sama menerusi program yang mencari klon ikon selebriti itu juga.

“Ada seorang peserta itu memang saling tak tumpah macam saya. Suara dia memang kalau dengar sekali imbas begitu, orang akan ingat saya,” kongsinya yang memberitahu slotnya akan bersiaran lebih awal iaitu pada 10 Januari nanti.


ADAKALANYA Misha mengakui kekeringan idea untuk memberikan persembahan terbaik.

Sungguhpun begitu, menurut pelantun lagu hit Bunga-Bunga Cinta itu, kedatangan tahun baru kali ini dia lebih banyak menyibukkan diri dengan komitmen kerja. Tambahan pula dia kini sedang terlibat dengan program realiti Juara Parodi, sudah pasti jadualnya agak padat.

“Cuti sekolah baru-baru ini pun tak berkesempatan untuk bawa anak pergi berjalan-jalan lagi. Semuanya sebab terikat dengan komitmen kerja. Awal-awal pembabitan itu rasa okey boleh ikut lagi.

“Tapi apabila dah masuk minggu-minggu berikutnya rasa macam tertekan pun ada. Mana tidaknya, setiap hari perlu memikirkan idea-idea baharu untuk dipersembahkan. Kadang-kadang rasa macam dah kekeringan idea,” katanya yang kini meneruskan perjuangan berdua bersama Tauke selepas pemergian salah seorang ahli kumpulannya Allahyarham Yus Jambu baru-baru ini.

Menurut Misha, program tersebut memberi satu pengalaman baharu buatnya apabila berpeluang bekerja dengan individu yang berada di bidang berbeza dengannya.

“Walaupun ada kalanya pening memikirkan tugasan setiap minggu, tetapi ia satu cabaran buat saya. Saya selama ini menyanyi sahaja, tetapi apabila perlu bekerja dengan pelawak, memang satu perkara baharu.

“Kadang-kadang boleh jadi kelam-kabut di atas pentas. Maklumlah pelawak selalunya mereka cenderung buat sesuatu secara spontan. Jadi, semua benda yang dah rancang awal-awal kadang-kadang sampai berterabur juga apabila mereka secara spontan tukar tak ikut pelan asal,” seloroh Misha yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-34 tiga hari lagi.

- Ziana Zain & Misha Omar Kongsi perihal kerja

SHARING GOOD

0 Comment to "Ziana Zain & Misha Omar Kongsi perihal kerja"

Post a Comment