Thursday 10 March 2016

Ceritera Isi Hati Nadira Adnan


TAMPIL dengan single duet berjudul Cinta Datang Dan Pergi, lagu tersebut merupakan ciptaan khas Ahmad Dhani untuk dinyanyikan Al dan Nadira.

MENJADI anak kepada orang berpengaruh, bukanlah tiket istimewa kepada seseorang untuk megukir nama. Ironi, pemilik nama Nadira Adnan itu mempunyai cara tersendiri untuk menempa nama popular sebagai penyanyi tanpa dibayangi pengaruh ibu dan bapanya.

Biarpun namanya masih asing buat peminat industri nyanyian tempatan, tetapi tidak bagi peminat muzik di Indonesia. Hakikatnya, Nadira merupakan penyanyi kelahiran Malaysia yang memulakan kerjaya di sana.

Tegas Nadira, biarpun dia merupakan anak kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datin Seri Anggraini Sentiyaki, namun status tersebut bukanlah jalan pintas untuk dikenali. Atas alasan tersebut juga, dia memulakan karier sebagai penyanyi di negara seberang.

“Itu antara sebab kenapa saya memilih memulakan nyanyian di Indonesia. Saya tidak mahu dibayangi populariti papa. Di Indonesia, saya bermula dari bawah dan tiada siapa mengenali saya, papa atau mama.

“Bagaimanapun, selepas peminat mengenali saya, mereka akhirnya mengetahui dengan sendiri latar belakang keluarga saya. Kebetulan, mama juga merupakan bekas pelakon di sana. Selepas menjalankan promosi di Malaysia, barulah mereka tahu bahawa saya merupakan anak kepada Tengku Adnan.

“Seboleh-bolehnya saya akan meminimumkan pengaruh papa. Semasa pembikinan album ini juga, saya langsung tidak meminta bantuan daripada papa dan cuba berdikari. Saya tahu, mungkin pengaruh papa dan mama, akan memudahkan laluan untuk popular, tetapi saya memilih untuk merasa kesusahan sebelum selesa bergelar penyanyi,” ungkap Nadira ketika ditemui pada majlis pelancaran album pertamanya, Isi Hati di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Cerita pemilik nama sebenar Tengku Nadira Munawarah itu lagi, saat awal mengambil keputusan untuk menjadi penyanyi, niatnya pernah dihalang oleh si ayah.

“Sejak awal papa memang tidak benarkan saya menyanyi. Dia risau saya tidak boleh fokus dalam pelajaran.

“Bagaimanapun, setelah saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, akhirnya papa memberi kebenaran untuk meneruskan bidang yang diminati sejak dari kecil,” ujarnya yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan di Jakarta.

Bercerita mengenai album pertamanya Isi Hati, Nadira berkata, album yang memakan masa setahun untuk disiapkan tersebut memuatkan 10 buah lagu terdiri daripada pelbagai genre muzik.

Jelasnya, kepelbagaian genre dalam album pertamanya memang disengajakan untuk menilai kebolehan diri biarpun dia merupakan peminat jalur muzik R&B.

“Saya masih dalam tempoh percubaan dan ingin menilai kebolehan dalam setiap genre. Mungkin selepas ini saya akan merakamkan album bergenre R&B sepenuhnya,” ujar Nadirah.

Menyentuh soal lagu-lagu nyanyiannya yang mirip dengan gaya ‘Indonesia’, wanita muda berusia 19 tahun itu berkata, perkara tersebut antara yang membuatkan peminat di seberang keliru tentang negara asal kelahirannya.

Cerita Nadira, jika di Indonesia, peminat mengatakannya penyanyi dari Malaysia, tetapi apabila di tanah air sendiri, khalayak menyangka dia sebagai penyanyi dari seberang.

“Mungkin untuk pembikinan album kedua nanti saya akan lebih banyak bekerjasama dengan komposer dari Malaysia. “Awalnya saya ingin bekerjasama dengan Joe Flizzow, tetapi disebabkan pihak produksi ingin menyiapkan album dengan cepat, jadi kesempatan untuk bekerjasama Joe terhalang,” jelasnya yang meminati karya ciptaan Joe Flizzow, Sona One dan Malique.

Anak Ahmad Dhani

Tidak berseorangan, Nadira turut ditemani teman baiknya Ahmad Al Ghazali Kohler, 19, atau lebih mesra digelar Al. Kedatangan anak kepada komposer dan penyanyi terkenal, Ahmad Dhani, yang sememangnya menjadi kegilaan peminat di Indonesia itu bersempena dengan promosi single duet mereka berjudul Cinta Datang Dan Pergi dan single Galau yang dinyanyikan secara solo.

Jelas Al, single Cinta Datang Dan Pergi merupakan ciptaan bapanya, Ahmad Dhani yang dibuat khas untuk duet dengan Nadira. Bermula daripada projek merakamkan video muzik, hubungan mereka mula rapat, kebetulan mereka berkongsi usia sama.

“Bagaimanapun, hubungan dengan Nadira sekadar teman rapat kerana saya sudah mempunyai teman wanita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Al sempat ditanya mengenai pencalonan bapanya yang bertanding dalam pilihan raya memilih Gabenor Jakarta pada tahun hadapan, dengan ringkas Al menjawab: “Sebagai anak saya selalu sokong tindakan ayah, lebih-lebih lagi untuk menjadikan Indonesia lebih baik,” katanya.


- Ceritera Isi Hati Nadira Adnan

SHARING GOOD

0 Comment to "Ceritera Isi Hati Nadira Adnan"

Post a Comment