Wednesday, 9 March 2016

Reen Rahim Enggan Tanggung Malu, Sorok Identiti Kekasih


Reen Rahim tidak selesa bercakap soal cinta.

Pelakon Reen Rahim tidak selesa untuk bercakap soal peribadi kerana bimbang hubungan cinta yang dijalinkan tidak berakhir dengan perkahwinan.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim, 28, berkata, selagi tiada ikatan sah dia lebih selesa bersikap 'low profile' selain bimbang ia menjadi bahan mulut masyarakat.

"Saya berfikiran kenapa perlu saya hebahkan tentang sesuatu yang tidak pasti tambahan pula jika hubungan itu tidak menjadi saya dan keluarga akan menanggung malu.

"Biarlah ada satu kepastian barulah saya bersedia untuk mendedahkan siapa orangnya kerana selagi tiada ikatan perkahwinan tidak manis rasanya saya hebah-hebahkan," katanya kepada mStar Online.




Reen ditemui pada majlis pelancaran HyppTV Upfront 2016 dan drama bersiri Jom Kahwin di sini, Selasa.

Menerusi drama bersiri tersebut Reen bergandingan dengan Keith Foo itu diarahkan oleh Khabir Bhatia dan Norhanisham Muhamad.

Ia bakal menemui penonton menerusi saluran HyppSensasi HD 116 bermula 11 Mac ini setiap hari Jumaat pukul 9 malam.

Reen bergandingan dengan Keith Foo dalam drama bersiri Jom Kahwin. - foto Muhamad Shahril Rosli/The Star

Dalam pada itu, Reen berkata, dia tidak menafikan sedang mengenali hati budi seorang lelaki namun masih terlalu awal untuk bercakap soal kahwin.

Jelas Reen, buat masa ini dia ingin menumpukan perhatian kepada karier lakonannya kerana masih banyak impian perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

"Sebagai wanita siapa yang tidak mahu berkahwin tetapi buat masa sekarang biarlah saya fokus kepada karier lakonan terlebih dahulu.

"Benar saya sedang mengenali hati budi seorang lelaki tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan ke arah mana hubungan tersebut," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Reen berkata, dia teruja dapat berlakon dibawah arahan Khabir menerusi Jom Kahwin kerana meminati karya arahan pengarah tersohor itu.

Malah katanya, drama bersiri berkenaan menampilkan konsep berbeza dan yakin penonton akan menyukainya.

"Tiga tahun lalu saya pernah hadiri ujibakat sebuah drama terbitan Khabir tetapi tidak berjaya. Alhamdulillah sekarang dapat peluang tersebut dan ia cukup berharga.

"Kisah Jom Kahwin cukup menarik dan keserasian bersama Keith Foo diset cukup baik dan ia sebuah kisah menarik yang harus ditonton," ujarnya yang kini sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri Lambaian Ramadan.

- Reen Rahim Enggan Tanggung Malu, Sorok Identiti Kekasih

SHARING GOOD

0 Comment to "Reen Rahim Enggan Tanggung Malu, Sorok Identiti Kekasih"

Post a Comment