HAIZA (kiri) digandingkan dengan AG dalam segmen pagi di konti radio Kool FM kerana keserasian yang wujud sejak sesi uji bakat pada Januari lalu.
SELEPAS meninggalkan stesen radio Best FM pada Februari lalu, penyanyi dan bekas peserta program Gegar Vaganza musim kedua, Haiza kini bergelar penyampai radio Kool FM yang memulakan siaran perdana pada 3 Mac lalu.
Meskipun baru memulakan tugas di Kool FM, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 36, sudah menerima kritikan. Hanya kerana dia bergandingan dengan AG dalam segmen pagi dan memiliki suara serak basah mirip dengan Fara Fauzana atau Fafau, banyak pihak mula membuat perbandingan di antara diri dengan bekas penyampai radio Hot FM tersebut.
Selain menjadi bahan perbandingan, Haiza turut terkena dakwaan segelintir pihak mengenai pengundurannya dari konti Best FM yang beroperasi di Johor dibuat semata-mata mahu menyertai stesen di bawah Rangkaian Radio Media Prima Berhad.
Kata Haiza, keputusan tersebut diambil selepas perbincangan bersama pihak pengurusan dan penamatan kontraknya secara rasmi pada 1 Februari lalu.
Pada masa sama, Haiza juga bersedia sekiranya lagu nyanyiannya tidak diputarkan oleh stesen radio lain apabila bergelas penyampai Kool FM yang bersiaran di frekuensi 101.3 di Lembah Klang dan 90.2 di Pulau Pinang.
ARTISMELETOP!: Apakah yang menyebabkan Haiza menerima tawaran untuk menjadi penyampai radio Kool FM?
Haiza: Sebab paling utama adalah lokasinya di Kuala Lumpur dan kerjaya saya boleh berkembang bukan setakat menjadi penyampai radio sahaja. Selain menyanyi, saya juga amat meminati bidang pengacaraan. Selebihnya kerana rezeki, saya percaya tawaran ini yang terbaik untuk saya.
Adakah anda meninggalkan Best FM kerana menerima tawaran daripada Kool FM?
Sebenarnya, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pengurusan stesen radio sebelum ini. Keputusan untuk tidak menyambung kontrak telah disuarakan kepada pihak pengurusan sejak tahun lalu. Bayangkan, selama setahun saya tinggal berasingan dengan keluarga dan terpaksa berulang-alik antara Johor dan Kuala Lumpur setiap minggu. Rutin itu amat memenatkan fizikal dan emosi, sebab itu saya memilih untuk berhenti. Jujur, ketika keputusan dibuat, saya tidak mempunyai perancangan untuk ke stesen radio lain, malah tawaran untuk ke Kool FM pun belum ada.
Bagaimana anda boleh ditawarkan sebagai penyampai Kool FM?
Selepas menetap di Kuala Lumpur saya telah dipanggil menghadiri satu uji bakat di TV3 pada Januari lalu. Waktu itu mereka meminta untuk bergandingan dengan AG, namun tidak memberitahu butiran secara terperinci kerana informasi mengenai stesen baharu masih dirahsiakan. Sebaliknya, hanya diberitahu uji bakat tersebut untuk Projek K. Saya sangka ia sebuah program televisyen kerana memang tidak terfikir langsung untuk menyertai radio Rangkaian Media Prima Berhad. Saya menandatangani kontrak pada pertengahan Februari lalu dan dua minggu sebelum sidang akhbar barulah diberitahu tentang nama stesen radio ini.
Sudah bersedia andai lagu anda tidak akan diputarkan di radio lain selepas menyertai Kool FM?
Saya sudah agak isu ini akan timbul dan sejujurnya, saya telah bersedia. Sebelum jadi penyampai radio pun lagu saya memang kurang dan jarang diputarkan di radio, jadi apa bezanya? Bagi saya itu bukan satu masalah besar kerana teknologi hari ini penyanyi tidak perlu terlalu bergantung kepada promosi di radio semata-mata. Laman sosial seperti Instagram dan YouTube juga boleh dijadikan platform.
Apakah komen anda apabila didakwa cuba meniru gaya Fara Fauzana?
Tolong jangan membuat perbandingan di antara saya dengan Fara. Saya baru hendak bertatih, sebaliknya Fara pula nama besar dalam industri penyiaran radio. Saya menjadi diri sendiri ketika bersiaran dan tidak cuba meniru sesiapa. Jika orang kata suara saya seperti Fara, saya tidak boleh kata apa sebab memang memiliki vokal yang serak secara semula jadi. Namun, memang tidak dinafikan saya sempat berguru dengan Fara dan dia tidak lokek mencurahkan ilmu yang dimiliki.
Bagaimana pula dengan kerjaya nyanyian anda?
Tugas sebagai penyampai radio tidak akan menjejaskan kerjaya nyanyian kerana kontrak hanya terikat dengan radio sahaja. Saya masih bebas menyanyi dan muncul di mana-mana stesen televisyen. Saya juga akan muncul dengan sebuah lagu baharu tidak lama lagi. Saya percaya rezeki ini merupakan jalan terbaik diberikan Allah dan ia ibarat penjenamaan semula Haiza dalam industri seni.
0 Comment to "Rezeki, langkah positif Haiza di Kool FM"
Post a Comment