Monday 9 March 2015

Badul sibuk buat animasi



Bukan sahaja terkenal sebagai pelawak, Badul juga seorang pelakon dan pengarah filem yang berjaya sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.



MUNGKIN ramai yang tidak mengenali tuan empunya badan bernama Armaya Aman Ramlie, namun apabila disebut nama A.R. Badul, terus terlintas dalam fikiran satu ikon yang pernah menjadi sebutan ramai sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.



Badul, seorang pengarah, pelakon dan penerbit pernah dinobatkan sebagai Aktor Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia kelapan pada tahun 1989 dan Pelakon Lelaki Paling Popular Anugerah Bintang-Bintang Popular (1989) hasil kerja yang bersungguh-sungguh dalam bidang seni tanah air.



Usianya bakal menginjak angka 66 tahun pada November depan, namun perwatakannya yang masih berambut hitam membuatkan beliau kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya.



Sewaktu ditanya mengenai rahsia mengekalkan penampilannya supaya kekal awet muda, pelakon filem Panglima Badul yang diterbitkan pada tahun 1979 itu mengatakan, tiada apa-apa rutin yang dilakukannya untuk mengekal kesihatan dan kecergasan.







“Ada orang tanya petua macam mana saya nampak sihat, segar bugar, rambut pun hitam dan tidak beruban. Sebagai orang seni, saya kena jaga penampilan, walaupun tidak sihat, namun sentiasa kata kita dalam keadaan yang baik.



“Saya tidak mempunyai rahsia untuk diberitahu melainkan hanya berdoa kepada Allah agar terus mengekalkan kesihatan diri. Cuma saya sering amalkan, sebaik bangun pagi, berdoa kepada Tuhan dan berterima kasih kepada-Nya kerana masih diberi peluang untuk terus hidup di muka bumi.



“Selain itu, saya kena sedar diri bahawa sudah semakin tua, jadi kena seimbangkan apa jua urusan termasuk corak pemakanan, cara kerja dan hobi. Selaraskan ikut peringkat umur dan jangan keterlaluan dalam semua hal,” jelasnya panjang lebar.



Cerita anak kepada pelakon Allahyarham A.R. Tompel itu lagi, beliau kini bahagia menjalani kehidupan bersama suri hidupnya, Maizatul Akma Osman, 32, yang bekerja sebagai jururawat. Mereka sudah dua tahun mendirikan rumah tangga.



Mengimbau kembali sejarah pembabitannya dalam dunia seni, Badul mengorak langkah dari bawah dengan bekerja sebagai budak pentas yang bertugas menyediakan prop untuk rakaman drama atau filem.



“Saya pernah dapat gaji RM3 sehari, namun tidak mengalah kerana duit bukan sebab utama menyertai bidang seni.



“Saya juga tidak pernah berkira untuk membuat persembahan secara percuma termasuk menerima undangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan persatuan orang cacat. Bakat untuk menjadi pelawak dan menyertai dunia ini tidak pernah diajar oleh arwah ayah, itu semua satu anugerah.



“Namun, saya sedikit terkilan dengan segelintir artis baharu yang terlibat dalam bidang ini, macam-macam perangai negatif ditunjukkan. Ada yang kata skrip tidak bagus dan memilih skrip, namun itu semua bohong belaka. Apa yang dilihat ialah duit sahaja.



“Mereka tidak perlu berlumba-lumba mendapatkan peluang, sebaliknya penerbit yang mendapatkan mereka untuk menyertai satu-satu produksi.



“Kalau diteruskan sebegitu, kerjaya dalam bidang ini tidak ke mana. Saya dan rakan-rakan artis pada masa dahulu langsung tidak memilih duit, sebaliknya mencari peluang bekerja.



“Saya pernah berlakon dan mengarah, namun pendapatan tidak sebanyak mana. Bagaimanapun, diteruskan juga kerana itu adalah peluang untuk berkarya,” ujarnya dalam nada tegas.



Menyentuh mengenai perkembangan terkininya Badul menyatakan, beliau masih menerima undangan untuk menjadi pengacara sesuatu majlis dan lakonan.



“Penerbit seperti Afdlin Shauki dan A. Aida pernah menawarkan saya berlakon dengan mereka, namun tawaran itu bukan untuk membawa watak hero, sebaliknya hanya karakter sampingan seperti pengawal keselamatan atau ketua kampung kerana saya pun sudah berusia.



“Saya memang ditawarkan kerja oleh pihak yang arif benar bahawa watak tersebut sesuai untuk Badul,” jelasnya sambil tertawa.



Terbaharu, Badul berkesempatan berlakon dalam sebuah produksi dari Indonesia sebagai pengawal keselamatan.



Selain itu, rezekinya berterusan apabila terlibat dalam penerbitan animasi 26 episod berjudul Mac & Ted untuk saluran TV2.



“Animasi itu mengisahkan Ted, sebuah robot dari angkasa lepas yang telah sesat dan kapalnya terhumban ke Bumi. Dia bertemu dengan Mac, seorang budak lelaki yang suka mengembara.



“Mac dan Ted sering keluar bermain, menerokai dunia manusia dan mempelajari adat-adat di Bumi.



“Dalam siri itu, saya terlibat secara langsung dalam proses pembikinan termasuk menjadi pengarah, menyunting dan pelbagai lagi.



“Siri kartun ini juga telah mendapat pujian dari pelbagai pihak dan saya berazam untuk meneruskan pembikinan animasi itu bagi satu jangka masa yang panjang jika ada permintaan,” jelas Badul.





- Badul sibuk buat animasi

SHARING GOOD

0 Comment to "Badul sibuk buat animasi"

Post a Comment