BANGKAI pesawat yang dipandu Ford sedang diperiksa oleh pasukan penyelamat.
Khamis lalu, Hollywood dikejutkan dengan berita aktor senior, Harrison Ford cedera parah apabila pesawat ringan satu enjin yang dipandunya terhempas di padang golf Penmar di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.
Nahas berlaku tidak lama selepas aktor berusia 72 tahun itu berlepas dari Lapangan Terbang Santa Monica berdekatan dengan kawasan padang golf tersebut.
Menurut Timbalan Ketua Unit Penyelamat Los Angeles, Patrick Butler, aktor itu berada dalam keadaan sedar ketika beliau dikejarkan ke hospital berdekatan.
Tambahnya, Ford telah melaporkan kehilangan kuasa enjin beberapa minit sebelum pesawat yang dibina pada tahun 1942 itu terhempas sekitar pukul 2.20 petang. Namun, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca nahas.
Aktor tersebut telah mendapat rawatan kecemasan daripada dua orang doktor yang kebetulan berada di tempat kejadian sebelum pasukan penyelamat tiba beberapa minit kemudian.
Sementara itu, pegawai perantara Ford, Ina Treciokas mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung nahas tersebut: “Ford menerbangkan pesawat Perang Dunia Kedua. Dia berdepan masalah enjin sebaik sahaja berlepas dari lapangan terbang.
“Dia tidak mempunyai pilihan selain melakukan pendaratan cemas yang telah dilakukan dengan selamat. Meskipun mengalami kecederaan parah tetapi situasinya berada dalam keadaan stabil. Ford dijangka akan pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan di hospital.”
Anak lelaki Ford, Ben yang berada di hospital turut menulis perkembangan kesihatan bapanya di Twitter.
“Bapa berada dalam keadaan baik. Cedera tetapi okey. Dia seorang lelaki yang cukup kuat,” tulis Ben.
Laman web hiburan, TMZ pula melaporkan, Ford mengalami beberapa kecederaan di kepala dan tompokan darah telah menutupi wajahnya.
Selain bergelar aktor, bintang yang terkenal dengan filem Indiana Jones itu meminati dunia penerbangan dan memiliki lesen untuk menerbangkan pesawat sejak muda.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Ford terlibat dalam nahas udara. Sebelum ini, pada tahun 1999, helikopter yang beliau naiki bersama seorang jurulatih penerbangan telah terhempas di utara Los Angeles.
Akibat nahas berkenaan, kakinya patah dan penggambaran filem Star Wars: Episode VII yang dilakukan di England terpaksa ditunda sehingga kesihatannya pulih seperti sedia kala.
Tidak hanya Ford, beberapa bintang Hollywood lain juga pernah terlibat dalam nahas pesawat. Antaranya, aktres Sandra Bullock yang terselamat apabila pesawat yang dinaikinya pada tahun 2000 tergelincir dari landasan kapal terbang sewaktu mendarat.
Seorang lagi bintang terkenal yang pernah berdepan detik cemas di udara pada tahun lalu ialah Bono yang merupakan vokalis kumpulan U2. Ketika kejadian, pesawat peribadi yang dinaiki Bono bersama empat rakannya dalam perjalanan dari Dublin, Ireland ke Berlin, Jerman.
Dalam kejadian itu, pintu pesawat tersebut telah tercabut dan mereka terpaksa terbang selama satu jam sebelum selamat mendarat di sebuah lapangan terbang di Berlin. Semua penumpang dan anak kapal terselamat dalam kejadian itu.
Insiden membabitkan nahas udara bagaimanapun mengundang malang buat penyanyi kelahiran Mexico, Jenni Rivera. Dia meninggal dunia pada usia 43 tahun selepas pesawat peribadi yang disewanya terhempas di Iturbide, Mexico.
Penyanyi popular, Aaliyah, 22, pula menemui ajal apabila pesawat yang dinaikinya terhempas pada Ogos 2001 sebaik sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Marsh Harbour di Pulau Abaco, Bahamas menuju ke Florida.
Sebelum kejadian, Aaliyah telah menjalani penggambaran klip video lagu baharunya berjudul Rock The Boat. Seramai lapan orang terbunuh dalam nahas berkenaan.
- Kapal terbang dipandu Harrison Ford terhempas
0 Comment to "Kapal terbang dipandu Harrison Ford terhempas"
Post a Comment