Monday 9 March 2015

Kaka Azraff tenang sambut kontroversi



KAKA AZRAFF tidak melenting dengan dua kontroversi yang datang serentak kepada dirinya.



Diumpamakan seperti lembu dan merampas kekasih orang! Dua pernyataan yang berat untuk dihadam dengan senyuman oleh penyanyi bernama Kaka Azraff.



Kaka ditohmah seperti lembu oleh peminat kerana keberaniannya melakukan eksperimen dengan memakai subang pada hidungnya dalam satu sesi fotografi minggu lalu. Kemudian, belum reda kekecohan tersebut, sekali lagi penyanyi itu dihenyak dengan dakwaan dirinya sebagai perampas kekasih pelakon Tasha Shilla, Hans Wong.



Namun, tidak melenting wanita berusia 26 tahun itu menangkis ‘anak panah’ kontroversi yang hinggap kepadanya. Sedar bahawa menjadi anak seni, cerita-cerita nakal sebegitu akan datang mengganggu, Kaka, biar dalam lembut melontar bicaranya di hujung talian, setiap kata yang dituturkan tegas.



Perkara pertama yang ditegaskan oleh pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff ini ialah jangan sesekali melabelkan dirinya sebagai perampas. Jangan juga mahu melibatkan dirinya dalam masalah cinta orang lain, apatah lagi yang sedang mengalami kisah patah hati itu ialah rakannya sendiri, Tasha.







“Sejujurnya, ini (Tasha putus cinta dengan Hans) bukan hal saya. Kalau boleh saya memang tidak mahu beri sebarang kenyataan. Saya kira persoalan yang berlegar dalam benak semua orang tentang hal ini elok ditanya kepada Tasha dan Hans sendiri.



“Cuma apa yang saya ingin tekankan di sini, saya bukan perampas kekasih orang. Tolong jangan kaitkan saya dalam percintaan mereka,” ujar Kaka yang tidak menafikan mengenali Hans.



“Saya kenal Hans dan pernah bercakap dengan dia tapi hubungan kami tidak rapat. Saya kenal dia kerana ada terjumpa dalam beberapa acara hiburan yang dihadirinya. Itu sahaja,” akuinya.



Ujarnya lagi, khabar liar itu tidak elok pada pandangan umum. Sementelah sebagai seorang wanita yang dikaitkan dengan cerita merampas kekasih orang atau memusnahkan impian perkahwinan teman sendiri terlalu keras buatnya.



Katanya: “Saya kira cerita seumpama ini tidak elok untuk hubungan saya dan Tasha sendiri. Dilabel merampas kekasih orang juga bukan satu cerita yang baik kerana saya tidak lakukan hal itu.”



Ditanya jika bukan Hans pilihannya, lelaki bagaimana yang mampu mencairkan hatinya, Kaka yang mengaku masih solo memberitahu, jika boleh, dia mahu memiliki teman lelaki yang mempunyai kening tebal dan maskulin seperti lelaki Melayu sejati.



Kaka kemudian turut menjelaskan dakwaan yang dirinya telah dibuang daripada kumpulan WhatsApp bersama beberapa teman artis termasuk Tasha sendiri. Akui anak saudara kepada penyanyi rock wanita legenda tanah air, Ella, dia memang pernah turut serta di dalam kumpulan tersebut kerana terlibat dalam satu majlis yang berkaitan dirinya beberapa bulan lalu.



Bagaimanapun, sebaik majlis tersebut selesai, dia tidak aktif lagi berborak di dalam kumpulan tersebut.



“Jadi, selepas tidak aktif dan jarang bersembang di situ, saya sendiri sebenarnya tidak perasan telah ‘dibuang’ daripada kumpulan tersebut. Saya tidak ada masalah kerana saya melihat ini sebagai satu perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan,” ulasnya lagi.



Lembu



Beralih topik mengenai kisah hangatnya minggu lalu yang diumpamakan seperti lembu kerana memakai subang pada hidung, Kaka hanya ketawa dan mengaku menghormati pandangan setiap orang.



Bagaimanapun, sebagai orang Melayu yang penuh adab, dia berharap agar semua orang menapis dan memikirkan impak kenyataan yang dilemparkan demi menjaga keharmonian bersama.



Sekeping gambar penyanyi yang terkenal dengan lagu Bawa Aku Pergi itu dimuat naik menerusi akaun laman Instagramnya



@kakaazraff dengan memperaga konsep Bollywood untuk sebuah sesi fotografi.



Biar diserang hebat, Kaka langsung tidak membalas tohmahan yang dilemparkan kepadanya di laman sosial itu. Dia hanya memerhati gelagat para peminatnya, dan kemudian membuat kesimpulan bahawa mereka yang melabelkan dirinya sebagai lembu itu hanya ‘pahlawan papan kekunci’ atau keyboard warrior.



“Saya akui, komen seperti lembu itu sangat jahat. Bagaimanapun, saya anggap kecaman itu datang daripada ‘pahlawan papan kekunci’ atau keyboard warrior yang tidak tahu apa-apa mengenai gambar tersebut.



“Sejujurnya, dalam hal ini saya tidak salahkan mereka. Ini kerana ia berpunca daripada saya juga yang tidak menerangkan dengan terperinci mengenai gambar tersebut sehingga menimbulkan salah faham sebegitu rupa.



“Apabila sudah sampai ke tahap begini, saya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan memohon maaf kerana tidak menerangkan mengenai situasi sebenar. Saya memohon maaf kepada semua pihak yang berasa kurang senang dengan penampilan saya di dalam sesi penggambaran tersebut,” ujarnya dengan rendah diri.



Kaka menjelaskan, dia memperaga fesyen sedemikian kerana membantu merealisasikan projek tahun akhir seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Pelajar tersebut meminta jasa baik Kaka untuk membantunya melakukan sesi fotografi yang memerlukan penyanyi itu memakai pakaian bertemakan Bollywood moden.



Sebagai seorang selebriti yang selalu melakukan kerja-kerja seumpama itu, tambahan pula diberi kepercayaan untuk membantu, ujar Kaka, dia tidak menolak dan mempunyai masalah untuk memberi sepenuh komitmen.



“Namun, saya tidak masuk campur dengan semua urusan mengenai penyediaan pakaian, tema dan solekan. Pada hari tersebut, saya hanya hadir membawa diri dan beraksi di hadapan kamera, itu sahaja. Sebab itu saya tidak kisah dengan apa jua solekan dan aksesori yang disediakan, sebab niat utama saya hanya mahu menolong orang.



“Tidak sangka lain jadinya kerana pemikiran manusia yang berbeza-beza,” ujarnya pasrah.



Tambah Kaka lagi, biar dikecam hebat, dia tidak perlu melenting dengan isu kecil sebegini.



Katanya: “Saya masih berfikiran waras, jadi tidak perlu mahu melenting dan ‘berperang’ dengan mereka. Gambar tersebut dikongsikan dengan semua peminat atas kerelaan sendiri, jadi saya harus terima kalau ada yang tidak suka. Saya tidak salahkan sesiapa kerana semua orang ada hak untuk bersuara. Saya anggap semua komen itu sebagai pandangan peribadi masing-masing.



“Perkara sebegini saya jadikan pengalaman dan pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa hadapan. Selepas ini saya tidak akan ulang lagi perkara yang sama. Kalau ada pihak yang mengusulkan konsep lebih kurang sama atau akan menimbulkan sebarang kontroversi, mungkin perkara tersebut boleh dibawa berbincang,” katanya.



Meredakan dua sensasi yang datang bertubi-tubi, Kaka diminta berbicara tentang perkembangan kariernya. Ada getar ceria dan teruja dalam bicaranya.



Cerita Kaka, dia baru sahaja mengeluarkan sebuah single baharu berjudul Bukan Hal Aku bergandingan dengan kumpulan Sleeq. Masih dalam debaran menanti maklum balas khalayak mengenai singlenya itu, dia juga tidak sabar untuk melancarkan klip video lagu tersebut pada 24 Mac ini.



“Namun, apa yang lebih mengujakan pada tahun ini ialah saya agak aktif berlakon. Buat masa ini, saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Dunia Generasi Baru sebanyak 13 episod.



“Drama ini merupakan kesinambungan daripada drama popular Dunia Baru. Saya memegang watak sebagai Norelle, seorang pelajar miskin tetapi mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneruskan pelajaran meskipun keluarganya mempunyai masalah kewangan.



“Pada masa yang sama, saya juga terbabit dalam filem 7 Dimensi Aliff bergandingan dengan aktor Izzue Islam dan rakan baik saya, Juliana Evans. Ini merupakan filem pertama lakonan saya, jadi sudah tentu perasaan gembira dan mencabar itu berselang-seli hadir. Saya teruja terbabit dalam filem ini kerana banyak melakukan aksi babak ngeri sendiri,” ujarnya menutup bicara.





- Kaka Azraff tenang sambut kontroversi

SHARING GOOD

0 Comment to "Kaka Azraff tenang sambut kontroversi"

Post a Comment