PENGLIBATAN aktres cantik ini dalam bidang lakonan sudah melebih usia satu dekad. Walaupun lebih sinonim dengan watak air mata, namun sepanjang tempoh itu, pelbagai karakter telah digalas Eira Syazira.
Berdiri sebagai pelakon yang berjaya mengekalkan populariti sehingga kini, namun sejak akhir-akhir ini, kelibat Eira jarang kelihatan di kaca televisyen.
Pun begitu, akui Eira, itu bukanlah petanda bahawa dia bakal berundur dalam bidang yang dicintainya itu, namun sudah merasakan dia perlu lebih selektif dalam menerima sebarang naskhah.
"Ada yang perasan, saya semakin kurang muncul di kaca televisyen. Bukan sebab tak ada tawaran, namun saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya memilih tawaran berdasarkan skrip dan watak.
"Saya sedar, industri lakonan kini semakin mencabar dengan kehadiran muka-muka baharu, namun itu tidak bermakna saya boleh main ambil sahaja apa jua tawaran.
"Jika dahulu saya lebih banyak diberi tawaran watak air mata, kalau boleh saya mahu watak lain pula selepas ini. Namun, sekiranya diberi watak yang sama namun mempunyai kekuatan dari segi skrip dan watak, saya akan terima. Tetapi, bergantung kepada jadual, masa dan
keselesaan," kata isteri pelakon, Azad Jasmin ini.
Memikul tanggungjawab sebagai ibu, isteri, selebriti dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan, sudah tentu ia memberi kekangan hebat buat Eira dari segi masa.
Katanya, jadual harian perlu diteliti sebaik mungkin agar tiada yang tercicir sehingga mengabaikan mana-mana satu terutamanya tanggungjawab kepada keluarga dan anak.
"Jadual saya agak padat untuk tahun ini dengan pelbagai aktiviti termasuk bidang nyanyian. Jadi, saya perlu lebih peka untuk menyusun sebarang urusan demi urusan itu.
"Untuk perniagaan dan duta produk pula, saya perlu mengikuti aktiviti mereka di tempat-tempat yang dijadualkan dan bulan April nanti, saya akan ke Singapura untuk mempromosikan album, Azadeira.
"Walaupun sibuk, namun tidak bermakna saya tidak teringin untuk memiliki cahaya mata lagi. Dulu, saya melahirkan Amarra Sofea Rose, 2, secara pembedahan dan kini mungkin sudah tiba masanya untuk tambah lagi. Namun, ianya bergantung kepada rezeki ALLAH SWT," katanya lagi.
- Eira Syazira bakal bersara
0 Comment to "Eira Syazira bakal bersara"
Post a Comment