AKUI Fattah, jodoh tidak mengenal usia biarpun dia tujuh tahun lebih muda daripada Sherry.
ANTARA bakat dan anugerah, seolah-olah wujud satu garisan halus yang memisahkan kedua-duanya. Bakat boleh digilap agar pesonanya menerobos masuk ke dalam liang-liang jiwa, sementara anugerah itu kurniaan Sang Pencipta yang tiada galang gantinya.
Tiada mana-mana pelakon di dunia yang tidak berbakat. Jika kena dengan gayanya, potensi seseorang pelakon berupaya dicungkil secara total, cuma mungkin memakan sedikit masa untuk menyerlah.
Aktor yang semakin mencipta nama, Fattah Amin juga tidak terkecuali daripada dibayangi garisan halus sedemikian. Bukan sedikit kata-kata nista yang tidak terpalit di wajah pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd. Amin ini sebaik menjejakkan kaki di pentas lakonan.
Lakonan yang tiada jiwa, keras seperti kayu, selain sekadar mengharapkan paras rupa untuk bergelar pelakon merupakan antara kritikan negatif yang terpaksa dihadam juara pertandingan Hero Remaja 2012 itu selama ini.
Jual diri sendiri
Akui Fattah, 25, kritikan sedemikian mendorongnya berusaha menghasilkan yang lebih baik ketika menjiwai sesuatu karakter, selain mematangkan fikirannya setiap kali berkarya.
“Bagi saya, ia memang sesuatu yang normal buat mana-mana pelakon baharu yang pastinya memerlukan sedikit masa untuk menghasilkan gaya lakonan bermutu.
“Sebaliknya, mereka yang memang dianugerahkan dengan bakat berlakon memang berbeza, contohnya Puteri Balqis. Disuruh menangis, dia mampu menangis dalam sekelip mata.
“Jadi, saya memerlukan ruang, peluang dan tunjuk ajar untuk mengasah bakat yang dimiliki, sekali gus memperbaiki mutu lakonan,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Teraju utama drama Playboy Itu Suami Aku itu turut menafikan tubuh sasa yang dimiliki majoriti aktor lelaki ketika ini sebagai trend dan juga pakej untuk dikenali khalayak.
“Pelakon bukan menjual produk, sebaliknya menjual diri sendiri. Kami sebenarnya produk untuk dijual. Orang ramai melihat kami sebagai pelakon, jadi kami harus menjaga ketrampilan diri termasuk menjaga bentuk badan,” jelasnya.
Justeru, Fatah giat menjalani latihan di gimnasium miliknya sendiri, The Expandables Gym di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor jika tidak terikat dengan komitmen penggambaran.
“Saya juga sering bermain bola sepak bagi menjaga stamina. Jika sebelum ini bersama rakan-rakan lama, kini saya sering beraksi sebagai pemain tengah bersama rakan-rakan artis seperti Black dan Tomok,” katanya yang gemar memakai jersi nombor 7 setiap kali berada di atas padang.
Sherry wanita paling rapat dalam hidup
Perbezaan jarak usia sebanyak tujuh tahun bersama wanita paling rapat dalam hidupnya yang juga seorang aktres iaitu Sherry Ibrahim, 32, bukan lagi satu rahsia dalam kalangan peminat Fattah.
Tidak menganggap perbezaan umur itu isu yang perlu diperbesarkan, Fattah percaya segala-galanya terletak di tangan Allah.
“Jodoh tidak mengenal usia. Kalau sudah jodoh, tidak kira tua atau muda tetap bertemu. Saya juga tidak menganggap perbezaan usia sebagai faktor utama ketika mahu berkawan dengan seseorang.
“Sherry wanita yang paling rapat dalam hidup saya sekarang, dia tempat saya bertanya, tambahan pula saya masih dianggap baharu dalam industri,” ceritanya.
Fattah turut bersikap ‘mengunci mulut’ berhubung tindakan Sherry yang memadam gambar mereka di laman Instagram sedikit masa lalu sehingga mengundang persoalan ramai pihak.
“Ada baiknya perkara itu dijawab Sherry sendiri. Kalau ada cerita negatif mengenai kami, ia hanya satu khabar angin, jadi saya tidak begitu ambil peduli.
“Masih terlalu awal untuk memperkatakan hal ini, tambahan pula masing-masing sibuk dengan kerjaya. Buat masa sekarang, saya cukup selesa dengannya. Jika ada (jodoh), insya-Allah, namun ia bukan dalam waktu terdekat,” jelasnya.
Impi jadi penyanyi seperti Enrique Iglesias
Percaya atau tidak, Fattah juga memasang impian untuk bergelar penyanyi suatu hari nanti.
“Selagi diterima peminat, saya rasa tidak salah mencuba. Sebagai anak seni, saya perlu mencuba segala-galanya.
“Saya mahu menjadi penyanyi bergenre soft rock dan dance pop seperti Enrique Iglesias kerana tidak ramai penyanyi di sini sepertinya.
“Buat masa ini, segala-galanya masih dalam perbincangan termasuk rakaman single dan sebagainya. Jika ada sebarang perkembangan, saya akan kongsikan kelak,” ujarnya.
Fattah memberitahu, dia juga sering menghabiskan masa terluang dengan jamming bersama rakan-rakan lamanya di studio latihan muzik di Ampang, Kuala Lumpur.
“Bolehlah menyanyi sedikit-sedikit, yang penting keyakinan kena ada,” katanya yang turut berkebolehan bermain gitar.
Pawagam ‘sekolah lakonan’
Kalau nak tahu, anak jati Setiawangsa, Kuala Lumpur itu juga sering menonton wayang di mana-mana pusat beli-belah di ibu kota.
Ini kerana, menurut Fattah, pawagam disifatkan sebagai ‘sekolah lakonan’ bagi memperbaiki mutu lakonannya.
“Menonton seorang diri pun tidak mengapa terutamanya jika Sherry sibuk. Dahulu, saya lebih mementingkan jalan cerita sesuatu filem tetapi kini saya lebih mementingkan gaya karakter sesuatu watak.
“Bukan apa, masa agak terhad untuk mengikuti sebarang kelas terutamanya ketika terikat dengan sesi penggambaran, jadi saya menganggap pawagam sebagai sekolah lakonan.
“Selain itu, saya juga sering menonton filem-filem lama dengan membeli DVD (cakera video digital) sebagai sumber rujukan,” ungkapnya yang meminati aktor Hollywood, Leonardo DiCaprio.
Kembali ke set Cinta Ibadah
Barangkali ramai yang tahu bahawa watak Hafiz yang dilakonkan Fattah dalam drama Cinta Ibadah yang disiarkan di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) tiba-tiba dimatikan dan digantikan dengan Hisyam Hamid sedikit masa lalu.
“Ia memang kehendak penulis skrip. Kini, saya akan kembali dalam drama berkenaan bermula episod ke-135 dan ke atas. Buat masa ini, keseluruhan penggambaran 170 episod dijangka selesai pada April depan.
“Saya memang jarang mengambil dua tawaran berlakon dalam satu masa, buat masa ini saya kekal fokus menjalani penggambaran Cinta Ibadah.
“Terdapat juga beberapa tawaran selepas ini, namun ia masih belum boleh diumumkan selagi tiada hitam putih,” jelas anak sulung daripada lima adik-beradik itu.
Mudah mesra, tidak mudah terpengaruh
Menyentuh mengenai keperibadiannya yang mungkin tidak diketahui umum, Fattah menjelaskan, dia seorang yang mudah mesra, namun tidak mudah terpengaruh.
“Sejak zaman sekolah, saya mudah bergaul dengan semua orang. Kawan ‘main’ motor pun saya berkawan tetapi sehingga sekarang merokok pun tidak.
“Saya juga gemarkan minuman teh ais dan nescafe. Boleh mengantuk dibuatnya jika tidak pekena nescafe,” katanya yang menggemari mi goreng basah masakan ibunya.
Fattah juga lebih suka menghabiskan masa di mana-mana pulau berbanding kota-kota terkenal sebagai lokasi pilihan setiap kali melancong.
“Antara pulau yang pernah dilawati termasuklah Pulau Krabi di Thailand dan Gold Coast (Australia),” katanya.
Bagi yang ingin mengetahui perkembangan karier Fattah bolehlah mengikuti laman Instagramnya iaitu @fattahaminz, Twitter (@fattahamin) dan juga Facebook (Fattah Amin).
- Fattah Amin: Jodoh tidak mengenal usia
0 Comment to "Fattah Amin: Jodoh tidak mengenal usia"
Post a Comment