Sunday 8 March 2015

Hanis Zalikha masih pakai baju lama





PAPARAN laman Instagram Hanis yang menunjukkan perubahan pelakon itu yang kini bertudung.



Dah lama dah practice. Baby steps bila keluar dengan family, dapat pakai tudung so happy. Keluar dengan kawan, dapat pakai tudung so happy. Keluar dengan dia, dapat pakai tudung so happy. Malah terserempak fans got me blushing☺️. Mama Daddy dah lama doa dan hint2. Jadi anak yang baik sebelum jadi isteri yang baik. Saya dibesarkan dengan kesabaran dah kasih sayang. Tak sanggup nak dipisahkan dari tanggungjawab mereka tanpa mereka rasa telah selesai didik saya. Terasa sebak sebab inilah dua orang pertama dalam dunia yang telah saya cintai terdahulu sebelum sesiapa. I love you Mama Daddy. It's months away from the wedding but why am I so emotional 😢 Allah Humma Yassir Walaa Tua'sir.



Lebih setahun lalu, pelakon dan blogger terkenal, Hanis Zalikha sudah mula memakai tudung jika keluar bersama keluarga. Dia juga akan berbuat demikian apabila menjelang bulan Ramadan.



Bagaimanapun, hatinya belum benar-benar terbuka untuk bertudung litup ketika itu, namun hidayah yang Tuhan beri tiada siapa dapat menebak.



Enam hari lalu, pelakon berusia 25 tahun ini mengejutkan peminat-peminatnya apabila tampil bertudung dalam laman Instagramnya.



Menerusi gambar bertudung itu, Hanis menerima sebanyak 50,000 like dan lebih daripada 1,000 komen peminat yang menyukai penampilan baharu kekasih kepada pelakon Hairul Azreen itu.



Ibarat bayi yang mula bertatih untuk berjalan, begitulah dengan diri pelakon yang mesra dengan panggilan Keknis ini. Sekadar pada mulanya mencuba-cuba memakai tudung dan akhirnya dirinya nekad untuk bertudung penuh.







“Saya berlatih pakai tudung di luar rumah rasanya sudah lebih daripada setahun, malah setiap kali bulan Ramadan, saya memang pakai tudung tetapi tidak pernah bertahan lama. Alhamdulillah, sekarang memang saya sudah nekad bertudung penuh. Semuanya atas doa mama dan daddy ketika mengerjakan umrah baru-baru ini.



“Memang, mereka sudah lama memberi nasihat supaya saya memakai tudung. Tambahan pula, apabila saya bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi. Mereka selalu cakap, jadilah anak yang baik sebelum jadi isteri baik. Selama ini, memang saya banyak patuh permintaan mereka. Cuma yang satu ini (pakai tudung) sahaja saya degil sikit nak buat. Jadi, selepas itu hati saya mula berdetik. Mungkin sudah tiba masanya saya bertudung. Biar mereka berasa tanggungjawab mendidik saya sudah lengkap dan selesai sebelum berkahwin,” katanya yang turut lega bakal suaminya menyokong perubahannya itu.



Lebih membuatkan Hanis teruja apabila Hairul menyukai penampilan baharunya itu. Bakal suaminya itu juga akan menyanyi-nyanyi gembira setiap kali melihat Hanis keluar memakai tudung.



Pakaian



“Alhamdulillah, Hairul sangat menyokong perubahan saya. Jika saya keluar memakai tudung dengannya, dia akan tunjuk reaksi selesa.



“Setiap kali nampak saya pakai tudung, dia akan menyanyi bait-bait lagu In-Team, Wanita hiasan dunia. Seindah hiasan adalah wanita solehah.



“Jadi, saya rasa sangat ringan untuk mula memakai tudung. Mungkin disebabkan doa keluarga dan mendapat pasangan yang sangat menyokong,” ujarnya.



Sebelum ini, ada beberapa artis yang bertudung dikritik kerana mengenakan pakaian yang tidak bersesuaian dengan penampilan.



Bertanya akan hal itu kepada pelakon dan juga pengacara program Raikan Cinta itu, Hanis mengakui, dia masih memakai baju-baju yang terdapat dalam koleksinya sebelum ini.



Katanya, dia akan cuba mengubah penampilannya secara perlahan-lahan dan berharap peminat memahaminya.



“Selepas pakai tudung, tiada perubahan yang terlalu drastik dari segi pakaian. Saya masih pakai baju-baju yang ada. Saya juga masih bereksperimen dengan baju yang sesuai dipakai.



“Saya akan cuba perlahan-lahan melabuh atau melonggarkan pakaian,” jelasnya.



Hanis juga menolak andaian ada peminat yang beranggapan dia bakal menjalankan perniagaan tudung kelak.



Dalam nada ketawa, Hanis memberitahu, buat masa ini, dia masih tercari-cari jenis tudung yang sesuai dipakainya ketika ini.



“Saya tidak ada perancangan untuk berniaga tudung. Buat masa ini, saya masih tercari-cari tudung yang sesuai dengan untuk dipakai sama ada jenis pashmina, bawal, satin atau chiffon,” katanya mesra.



Kahwin



Berehat seketika dari dunia seni, kongsi Hanis, sekarang dia sedang sibuk mempersiapkan diri untuk menjadi isteri kepada Hairul. Pasangan itu dijangka berkahwin pada pertengahan tahun ini, namun Hanis tidak dapat berkongsi tarikh sebenar perkahwinannya atas beberapa faktor seperti tempat resepsi dan sebagainya.



Hanis juga bersyukur kerana kebanyakan persiapan perkahwinan diuruskan oleh keluarganya dan keluarga Hairul.



“Persiapan perkahwinan sedang berjalan. Kebanyakan hal-hal majlis kami serahkan kepada keluarga. Kami pula sibuk persiapkan diri menjadi suami isteri seperti mendengar ceramah-ceramah mengenai rumah tangga.



“Jadi, buat masa ini saya berehat seketika daripada dunia seni. Saya mahu fokus pada urusan perkahwinan sahaja. Setakat ini, saya hanya lakukan pengacaraan program Raikan Cinta,” katanya yang mengakui selepas ini akan selektif memilih watak mengikut imej baharunya.





- Hanis Zalikha masih pakai baju lama

SHARING GOOD

0 Comment to "Hanis Zalikha masih pakai baju lama"

Post a Comment