MELIHAT majlis pertunangannya dilakukan secara besar-besaran dan meriah di Hotel Pullman, Kuching Sarawak pada 27 Februari lalu, ramai yang menyifatkan penyanyi Hafiz Suip akan mengadakan majlis perkahwinan yang boleh diibaratkan sebagai Wedding of The Year.
Bagaimanapun, pelantun lagu Matahari itu berkata, dia tidak pernah mengimpikan majlis seperti itu. Katanya, dia hanya mahukan majlis yang sederhana tetapi meriah.
"Saya agak terkejut juga apabila majlis pertunangan hari itu kelihatan sangat gah. Mungkin, orang akan ingat saya seolah-olah sengaja membuat majlis sebegitu tetapi sebenarnya, semua perancangan diuruskan oleh keluarga perempuan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.
"Tapi, majlis kahwin kelak, saya memang tidak merancang membuat secara besar-besaran sehingga mendapat gelaran Wedding of The Year," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kesihatan dan kecantikan Sophie Secret, baru-baru ini.
Hafiz dan tunangnya, Nureffy Jasreel Abdullah dijangka melangsungkan perkahwinan dalam tempoh setahun.
Lebih manis, tarikh pertunangan mereka juga merupakan ulang tahun kelahiran Hafiz yang ke-25.
"Saya ini pelupa orangnya dan tunang pula jenis yang suka bertanya tarikh-tarikh istimewa kami.
"Jadi, bagi memudahkan, itu yang saya pilih tarikh hari lahir saya.
"Mungkin juga, tarikh kahwin nanti, saya pilih tarikh hari lahir dia pula," katanya yang menyerahkan sepenuh tanggungjawab dan keputusan kepada kedua-dua ibu bapa serta pihak perempuan untuk menentukan tarikh perkahwinannya nanti.
Pada masa sama, pelantun lagu Ku Akui itu kini sedang dalam proses mempersiapkan diri selain sering bermuhasabah diri mengenai pelbagai aspek dalam kehidupannya sebelum bergelar suami.
Jelasnya, statusnya kini yang bergelar tunangan mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan perlu lebih berfokus kepada kehidupannya.
"Sebab itu, sekarang ini saya perlu lebih mengenali diri supaya kehidupan tidak akan jadi kelam kabut kelak.
"Saya juga perlu meninggalkan sifat buruk yang ada pada diri sebelum bergelar suami.
"Saya dikatakan agak boros berbelanja terutama kalau dalam soal mahu memenuhi minat sendiri tetapi sekarang kalau saya mahu berbelanja besar untuk sesuatu yang saya minat, saya akan fikir dan utamakan mana yang lebih penting dulu," katanya.
Duta kecantikan & kesihatan
Berbicara mengenai pelantikannya sebagai duta produk Sophie Secret, Hafiz memberitahu, tawaran tersebut diterima kerana ingin menjelaskan bahawa kaum lelaki turut menitikberatkan soal kesihatan dan kecantikan.
Tambah Hafiz, sebelum mengikat kontrak, dia sendiri telah mencuba dua produk keluaran jenama itu dan mendapati perubahan ketara kepadanya hanya dalam masa singkat.
"Saya faham, biasanya selebriti wanita yang akan dipilih untuk menjadi duta produk kesihatan dan kecantikan.
"Tetapi, kali ini dengan pemilihan saya menjadi bukti produk ini sesuai digunakan sama ada untuk lelaki dan wanita.
"Sebelum bersetuju pun, saya sendiri telah mencubanya dan Alhamdulillah ia memberi kesan ketara terutamanya pada stamina saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Masih Jelas itu mengakui keadaan kesihatannya kini semakin pulih selepas menjalani rawatan fisioterapi akibat kecederaan pada tulang belakang yang dialaminya pada bulan lalu.
"Alhamdulillah, semakin baik tetapi saya perlu menjalani fisioterapi berterusan selama setahun.
"Dalam seminggu, sebanyak tiga atau empat kali latihan fisioterapi diperlukan.
"Saya juga dilarang doktor untuk melakukan sebarang aktiviti lasak," katanya.
- Hafiz Suip pilih tarikh lahir tunang
0 Comment to "Hafiz Suip pilih tarikh lahir tunang"
Post a Comment