MENGAKUI cita-citanya untuk bergelar seorang peguam tidak tercapai, Farid teruja kerana berjaya merealisasikan impian tersebut menerusi watak Khalil yang dilakonkan dalam Qanun 99.
AGAK lama tidak melihat wajah aktor tinggi lampai, Farid Kamil membintangi drama bersiri di kaca televisyen, sementelah kelibatnya menjadi pelaris dalam naskhah filem.
Kini kembali dengan lakonan dalam sebuah drama baharu terbitan Astro Prima berjudul Qanun 99, ada cerita menarik yang dikupas daripada pelakon kelahiran Jitra, Kedah itu ketika ditemui sewaktu penggambaran drama tersebut di Cova Square, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
SELEPAS sekian lama tidak muncul dalam drama bersiri, Farid kembali dengan Qanun 99 yang menggandingkannya dengan pelakon merangkap adik ipar sendiri, Yana Samsudin.
Artis Meletop!: Selepas lama tidak muncul dengan sebarang drama, kini Farid terbabit dengan Qanun 99. Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam drama ini?
FARID: Saya memegang watak sebagai seorang peguam syarie bernama Khalil yang bertugas di bahagian Syariah di Mahkamah Syariah. Drama ini mengisahkan tentang dunia peguam yang banyak mengendalikan kes-kes syariah berprofil tinggi membabitkan perceraian, pernikahan dan status agama.
Turut berlakon ialah Yana Samsudin, Aidil Aziz dan Anita Baharom. Ia bersiaran sebanyak 13 episod di saluran Astro Oasis (106) serta Maya HD (135) dan sudah ditayangkan sejak 5 Februari lalu setiap Jumaat pada pukul 9 malam.
Apakah keistimewaan naskhah tersebut sehingga membuatkan anda berminat untuk terbabit?
Sebenarnya, sewaktu menerima tawaran drama ini saya sangat teruja dan gembira. Sebab pertamanya, watak peguam itu sendiri membuatkan saya tertarik untuk menerimanya. Kalau diikutkan, cita-cita saya dahulu memang ingin menjadi seorang peguam tetapi tidak kesampaian. Jadi, apabila melihat skrip, saya rasa sangat seronok kerana sekurang-kurangnya dapat menyarung pakaian seorang peguam dan masuk ke dalam ruang mahkamah walaupun ia hanyalah lakonan semata-mata.
Apa cabaran anda melakonkan watak peguam?
Walaupun ia nampak seronok tetapi sebenarnya drama ini telah membuka mata hati saya untuk mendalami dunia peguam yang sebenarnya bukan semudah disangka. Terlalu banyak cabaran yang harus ditempuh oleh seorang peguam dalam kehidupan seharian iaitu mereka lebih banyak memikirkan masalah orang lain berbanding diri sendiri.
Saya rasa mereka tidak sempat pun untuk memikirkan soal hidup sendiri. Bayangkan, dalam sehari ada berpuluh-puluh kes untuk diuruskan dan dari situ saya faham bahawa kerja seorang peguam bukan mudah. Pada masa sama, karakter ini sendiri memberi suatu dimensi baharu kepada diri dan karier seni saya.
Kebanyakan watak sudah saya cuba dan ini kali pertama diberi tugas yang agak berbeza dan mencabar. Jadi, secara tidak langsung ia menguji kredibiliti saya sebagai pelakon.
Contohnya, saya ada belajar satu perkataan baharu iaitu probono yang bermaksud percuma. Kadang-kadang ia memberi kesan kepada diri saya apabila terbawa-bawa dalam percakapan seharian.
Adakah anda membuat sebarang rujukan daripada mana-mana pihak sebelum memulakan penggambaran?
Secara jujur, memang saya tidak merujuk kepada mana-mana rancangan atau orang perseorangan untuk drama ini. Semuanya berlaku secara spontan dan saya hanya membayangkan sahaja bagaimana proses persidangan mahkamah berlaku. Apabila membaca skrip, jadi saya praktikkan sahaja imaginasi tersebut dalam lakonan. Alhamdulillah, walaupun tidak menuntut ilmu daripada sesiapa tetapi saya dan Yana khususnya dapat melakukannya dengan baik walaupun tidak sempurna.
Selain drama ini, bagaimana dengan perkembangan karier anda yang lain?
Alhamdulillah, karier saya berjalan dengan baik sepanjang tahun ini. Walaupun tidak padat tetapi jadual sudah penuh sehingga penghujung tahun. Insya-Allah pada bulan April nanti, saya akan menjalani penggambaran sebuah filem baharu. Namun tajuk, genre dan informasi lebih mengenai filem tersebut belum boleh dikongsikan buat masa sekarang.
0 Comment to "Watak peguam uji kredibiliti Farid Kamil"
Post a Comment