Tuesday 23 February 2016

Anzalna, Hanif mahu ramai anak


BENAR kata orang, cinta bukanlah suatu perkara yang mudah untuk difahami. Kadangkala, ia memerlukan penaakulan yang sangat dalam agar pengertian yang tersemai di antara dua jiwa dapat dijalinkan menerusi sebuah ikatan yang direstui.

Begitulah definisi yang menggambarkan hubungan si jelitawan Anzalna Nasir dan belahan jiwanya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki.

Setelah hampir sedekad membajai hubungan kasih yang disemai dengan rasa percaya dan nilai persefahaman, pasangan dua sejoli itu akhirnya menoktahkan sayembara cinta mereka dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Tampil sederhana dalam balutan busana berwarna putih hasil sentuhan pereka fesyen, Rizalman Ibrahim, Anzalna, 28, mengakui berasa sungguh bersyukur kerana hubungan yang terbina selama 10 tahun dengan Hanif berakhir dengan ikatan yang sah.

“Alhamdulillah, saya berasa sungguh bersyukur dan gembira kerana akhirnya bergelar isteri yang sah kepada Hanif.

“Dia merupakan pelengkap dalam hidup saya dan seorang lelaki yang sempurna untuk bergelar suami dan ketua keluarga,” ujar Anzalna usai majlis akad nikahnya.

Pada majlis tersebut, pelakon Memori Cinta Suraya itu dinikahkan oleh bapanya, Prof. Madya Dr. Mohd. Nasir Ibrahim sambil disaksikan oleh Pendaftar Perkahwinan Cerai Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Abdul Nasir Abdullah.

Anzalna yang mula mencipta nama selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2010 itu menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 berserta tujuh dulang hantaran. Hanif pula menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan sebagai balasan.



PENAMPILAN: Sebagai persediaan sebelum majlis persandingan, Hanif berjaya mengurangkan berat badannya daripada 80 ke 75 kilogram.

Debaran

Mengakui berdebar saat melangkah masuk ke dalam dewan pernikahan, Anzalna berkata, perasaan tersebut terhapus sebaik telinganya mendengar akad yang dilafazkan oleh Hanif.

“Memang rasa berdebar itu ada sehingga badan saya menggigil sewaktu mahu berjalan menuju ke pelamin. Namun, sebaik sahaja selesai mendengar Hanif melafazkan akad, saya rasa bahagia mula berputik dalam diri.

“Sepuluh tahun merupakan satu tempoh yang sangat panjang. Banyak perkara yang kami lalui sebelum bergelar suami isteri. Bagi saya, ia merupakan suatu penantian yang sangat berbaloi,” ujarnya.

Ditanya mengenai kriteria istimewa milik Hanif, Anzalna berkata, suaminya itu merupakan seorang yang sangat prihatin dan sering mengambil tahu mengenai perihal diri dan kariernya.

“Sejak bercinta, Hanif sering menghubungi saya setiap hari untuk bertanya khabar. Namun, saya tidak pernah menganggap ia sebagai suatu perkara yang merimaskan.

“Sikap prihatinnya itu menunjukkan bahawa dia seorang yang mengambil berat terhadap saya,” katanya.

Berbicara mengenai rutin baharunya kelak, Anzalna berkata, dia telah lama bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.

“Selepas bergelar isteri, saya perlu menjalankan tanggungjawab menjaga suami dan rumah tangga. Pada masa yang sama, saya juga harus meninggalkan perangai-perangai yang kurang baik dan menjadi pasangan yang sempurna untuk Hanif,” ujar Anzalna yang bakal berpindah ke rumah baharu bersama suaminya tidak lama lagi.


TANGGUNGJAWAB: Biarpun masing-masing berkongsi usia yang sama, Anzalna dan Hanif percaya bahawa tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri dapat dipikul sama rata.

Memikat

Mengimbau kembali derap perjalanan cinta mereka yang bermula sekitar sedekad lalu, Hanif berkata, Anzalna merupakan seorang gadis yang agak sukar untuk didekati.

Malah, penasihat jualan di sebuah syarikat pengedar kenderaan di ibu kota itu memberitahu, dia terpaksa menunggu selama setahun sebelum dapat memenangi hati gadis pujaannya itu.

“Saya mula mengenali Anzalna sekitar tahun 2005 menerusi laman sosial Myspace. Ketika itu Anzalna tinggal bersama keluarganya yang menetap di Australia dan saya tidak berkesempatan bertemu dengannya.

“Selepas dia kembali ke Kuala Lumpur, barulah saya berpeluang untuk bertemu dan keluar dengannya. Saya nampak Anzalna betul-betul mahu berkawan apabila saya dipertemukan dengan ibunya selepas tiga kali kami keluar bersama,” ujar Hanif yang mula menjalinkan hubungan cinta secara serius dengan Anzalna sekitar lima tahun lalu.

Banyak perkara yang dipelajari oleh Hanif sepanjang tempoh perkenalan tersebut. Ujar jejaka berusia 28 tahun itu, lampu populariti yang menyelimuti Anzalna sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk menanam rasa percaya dan yakin terhadap wanita kelahiran Pulau Pinang itu.

“Sehingga ke hari ini, saya percaya dengan apa yang dilakukan oleh Anzalna. Saya tidak pernah menghalang kariernya sebagai pelakon dan tidak pernah membataskan setiap keputusannya.

“Lagipun saya percaya, dia sudah cukup matang untuk mengemudi kariernya dan pada masa yang sama bergelar isteri yang baik,” ujar Hanif lagi.


LAMAN SOSIAL: Mula berkenalan dan menjalin hubungan jarak jauh menerusi laman Myspace dan Facebook, percintaan Hanif dan Anzalna akhirnya sampai ke jenjang pelamin pada 21 Februari lalu

Anak dan bulan madu

Setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penambah seri keluarga.

Bagi Anzalna dan Hanif, mereka tidak pernah merancang dalam soal anak dan sentiasa menerima dengan hati yang terbuka jika dikurniakan zuriat dalam waktu yang terdekat.

“Rezeki di tangan Tuhan tetapi kalau diizinkan, saya mahukan anak yang ramai secepat mungkin,” ujar Hanif dalam nada berseloroh.

Bakal berbulan madu di sebuah pulau tidak lama lagi, Hanif berkata, dia turut bercadang untuk membawa keluarganya menunaikan umrah dalam tahun ini.

Dua majlis resepsi bakal diadakan pada 27 Februari ini dan 3 April depan masing-masing bertempat di Hotel Grand Hyatt dan Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

- Anzalna, Hanif mahu ramai anak

SHARING GOOD

0 Comment to "Anzalna, Hanif mahu ramai anak"

Post a Comment