SEJAK bergelar isteri dan ibu kepada Sofia Arissa, pelakon jelita, Liyana Jasmay mengakui, dia terpaksa berkorban dengan memperlahankan aktiviti seni untuk memberi perhatian kepada rumah tangganya bersama suami tercinta, Fathuddin Mazlan.
Biarpun bidang seni telah meletakkan namanya sebagai antara pelakon popular tanah air, namun Liyana dilihat tetap mengutamakan keluarganya dalam segala hal.
Berkesempatan menemui pelakon berusia 27 tahun itu pada majlis tayangan amal Isyarat Cinta yang diadakan di Cathay Cineplex di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Liyana ternyata mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
Kata Liyana, dia sebenarnya tidak mahu hilang tumpuan daripada tujuan sebenar iaitu bergelar seorang isteri dan ibu.
“Tidak dinafikan sejak melahirkan puteri sulung pada Mei tahun lalu, saya terpaksa mengetepikan seketika aktiviti seni. Ini kerana, saya tidak mahu melupakan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.
“Bagaimanapun, melihat Sofia yang semakin membesar, saya jadi semakin yakin untuk kembali mewarnai industri seni dan kembali semula ke set penggambaran, namun meletakkan beberapa syarat dengan hanya menerima tawaran berlakon yang tidak mengambil tempoh penggambaran yang panjang.
“Sebagai isteri dan ibu, saya ingin menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga yang kini menjadi keutamaan,” kata Liyana kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Tambah pelakon yang popular menerusi filem Papadom ini, sejak menimang cahaya mata, dia kini lebih berhati-hati ketika menerima tawaran lakonan.
“Kalau dahulu setiap tawaran yang diberikan, saya pasti akan menerimanya tetapi sejak mempunyai anak saya perlu memilih karakter yang ditawarkan.
“Terus terang saya tidak mahu lagi membawakan watak seperti menjadi mangsa rogol atau beraksi di ranjang. Biarpun karakter itu mencabar kemampuan seseorang pelakon tetapi dengan status saya sekarang tidak manis rasanya untuk melakonkan watak sedemikian,” kongsinya yang enggan membawakan watak berahi kerana bimbang akan memberikan persepsi negatif terhadap anaknya kelak.
Sementara itu, ditanya apakah projek terbaharunya, Liyana memberitahu, dia kini sedang mempromosikan filem Isyarat Cinta yang bakal menemui penonton pada 19 Mac ini dan akan menjalani penggambaran supertelemovie berjudul Angin Cinta.
“Jika tiada aral melintang, pada minggu depan saya bakal menjalani penggambaran Angin Cinta bersama pelakon Zizan Razak dan Ummi Nazeera.
“Saya sebenarnya tidak sabar untuk bergandingan dengan Ummi Nazeera kerana bagi saya, dia seorang pelakon yang hebat dan berbakat. Saya percaya, dia pasti tidak akan memberikan masalah dan menjayakan karakter dengan baik,” katanya sambil memberitahu, Angin Cinta arahan Ghaz Abu Bakar bakal ditayangkan di saluran Astro First tidak lama lagi.
- Liyana Jasmay tolak lakonan berahi
0 Comment to "Liyana Jasmay tolak lakonan berahi"
Post a Comment