SETELAH empat tahun kurang aktif, Imran kini bangkit dengan buah tangan terbaharu. Dia juga berhasrat untuk bermastautin di Malaysia dengan memohon taraf kerakyatan di negara ini.
SEBARIS nama Imran Ajmain pastinya masih diingati sehingga ke hari ini. Nama itu pernah mencanak menjadi sebutan apabila lagu-lagu seperti Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang menjadi siulan peminat tidak lama dahulu. Namun, pada saat namanya berada di puncak, tiba-tiba kelibatnya di persada muzik tempatan seperti terkubur tanpa disedari.
Kini, sedar mahupun tidak, sudah genap empat tahun, Imran Ajmain, 34, terasing dalam sepi dan hidup dalam lingkungan sendirian di tanah kelahirannya, Hougang, Singapura.
Tidak ramai yang tahu, dalam tempoh kehilangan itu, pemilik nama Imran Ajmain Ahmad Husaini Ajmain sebenarnya sedang bergelut dengan derita pemergian ayah tercinta pada tanggal 5 Mac 2013 akibat penyakit kencing manis.
“Sebelum ayah pergi, kesihatannya sudah tidak berapa baik. Jadi, saya terpaksa kembali ke kampung halaman untuk menjaga arwah memandangkan kakak saya berada di luar negara.
“Ayah bertarung dengan penyakit yang dihidapinya sebelum meninggal dunia. Sejak itu, saya terpaksa korbankan kerjaya seni yang sedang meningkat naik dan kembali ke pangkuan keluarga, sekali gus menjaga ibu yang keseorangan.
“Tempoh itu cukup memeritkan kerana saya tiada cara lain untuk membahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga. Walaupun pedih, saya terpaksa relakan hati untuk berehat sebentar dari dunia nyanyian,” ceritanya panjang lebar.
Meskipun menyepi dari dunia hiburan, penyanyi itu masih aktif memenuhi undangan nyanyian.
“Dalam tempoh itu, tidak bermakna saya melupakan terus bidang nyanyian. Saya masih aktif dan jika ada masa terluang, saya gunakan untuk menghasilkan lagu baharu.
“Alhamdulillah, empat tahun merupakan tempoh yang cukup matang untuk saya menghasilkan album terbaharu yang berjudul Setulus Kasih Imran Ajmain.
“Dalam album ini, terdapat dua buah lagu hasil ciptaan saya sepenuhnya iaitu Sederhana dan Tiada Gementar Lagi,” jelas Imran ketika ditemui selepas majlis pelancaran album tersebut di Ruang Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Album itu merangkumkan enam buah lagu baharu, antaranya Setulus Kasih dan Peluang Kedua serta sebuah lagu bonus berjudul Supergirl.
Mengulas mengenai album ketiganya itu, Imran berkata, kebanyakan lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya daripada komposer baharu dan tidak mempunyai pengalaman dalam mencipta lagu sebelum ini.
“Saya mahukan sesuatu yang unik dan lain daripada orang lain. Sebelum saya hasilkan album ini, saya sudah jalankan kajian dengan menyelak kembali cerita lama saya. Saya buka semula akaun Friendster, MySpace dan e-mel lama kerana di situ memang ramai peminat dan orang perseorangan menghantar lagu mereka kepada saya.
“Hasilnya, saya mampu kumpulkan lebih daripada 100 buah lagu. Dari situ, saya fikirkan satu kelainan. Mengapa tidak saya ambil lagu mereka dan jadikan ia sebagai sebuah album? Sebab saya percaya, orang biasa juga mampu menghasilkan karya yang baik,” tuturnya bahagia.
Album yang mula di pasarkan sejak awal Mac lalu itu diterbitkan secara digital bawah syarikat Indigital Sdn. Bhd., manakala syarikat Tropic Jaya pula menjadi pengedar dalam bentuk CD.
Imran juga mengakui, perasaan selesa dengan persekitaran hidup dan muzik di negara ini telah menguatkan hasratnya untuk memohon status kerakyatan di Malaysia.
Perkara itu sudah lama diperhitungkan Imran memandangkan karier nyanyiannya sejak 2009 juga memulakan rentak pertama di negara ini.
“Di Singapura, anak seni memang susah mencari makan. Mereka terlalu mementingkan akademik dalam mencari pekerjaan. Satu hal lagi, taraf hidup yang tinggi di sana membuatkan saya terfikir untuk menetap di sini.
“Tambahan pula, disebabkan saya seorang warganegara Singapura, status itu menjadi penghalang kepada saya untuk menghasilkan karya buat penyanyi di negara ini.
“Seperti contoh, lagu-lagu hasil ciptaan saya tidak layak untuk dipertandingkan dalam mana-mana anugerah di negara ini. Jadi, saya rasa itu satu pembaziran.
“Sebab itu saya nekad untuk memohon kerakyatan di Malaysia. Ibu juga tiada masalah dengan niat saya. Insya-Allah permohonan tersebut sedang saya usahakan,” ceritanya lanjut.
Dalam perkembangan lain, Imran bakal menjelajah ke 15 lokasi di seluruh negara antaranya Melaka, Kuantan, Pahang dan Kuching, Sarawak bermula 18 April ini hingga 13 Jun depan untuk sesi promosi album terbaharunya.
- Imran Ajmain mohon taraf kerakyatan Malaysia
0 Comment to "Imran Ajmain mohon taraf kerakyatan Malaysia"
Post a Comment