ZARA ZYA mengakui terkejut apabila didakwa mula berubah dan membuang peminat yang selama ini menyokong kerjayanya.
MENERUSI ruangan pojok sebuah akhbar mingguan yang diterbitkan Ahad lalu, nama pelakon Zara Zya memanas dek dakwaan yang mengatakan dia bertindak kejam ‘menghapuskan’ ahli-ahli kelab peminat lamanya, Love Zara Zya FC selepas menubuhkan sebuah kelab peminat baharu, Zara Zya Loverz.
Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 30, dituduh telah mula berubah sikap dan melupakan jasa baik ahli kelab peminat lama yang banyak menyokong perkembangan kariernya sejak beberapa tahun lalu.
Lebih memburukkan keadaan, pelakon yang menempa nama menerusi drama Love You Mr. Arrogant itu dikatakan turut melarang segelintir ahli kelab peminat lamanya untuk menyertai kelab baharu.
Terkejut dengan dakwaan yang dilemparkan kepadanya, Zara yang dihubungi Artis Meletop! berkata, dia tidak pernah melarang mana-mana ahli peminat untuk bersatu di bawah satu bumbung baharu.
Tambah Zara, dia menubuhkan kelab peminat baharu itu semata-mata mahu lebih mendekatkan diri dengan peminat dan memudahkan proses komunikasi.
Artis Meletop!: Apakah sebabnya Zara menubuhkan kelab peminat baharu, Zara Zya Loverz sedangkan karier Zara banyak didokong oleh kelab peminat lama, Love Zara Zya FC?
ZARA ZYA: Saya menubuhkan kelab peminat baharu kerana mahu lebih dekat dengan peminat. Sebelum ini, saya hanya mengikut setiap perancangan yang telah diaturkan oleh mereka dan tidak campur tangan dalam proses melaksanakan aktiviti. Namun, menerusi penubuhan kelab peminat baharu ini, saya sendiri yang menguruskannya dan terlibat seratus peratus dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Tambahan pula, apabila saya menaungi kelab, saya boleh berkomunikasi terus dengan peminat.
Benarkah dakwaan yang mengatakan anda sudah mula lupa diri dan tidak membenarkan segelintir ahli kelab lama peminat untuk menyertai kelab baharu?
Kedua-dua dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Saya menubuhkan kelab baharu secara percuma dan tiada yuran keahlian dikenakan. Sesiapa sahaja boleh menyertainya. Jadi, tidak timbul isu saya menghalang segelintir peminat untuk menyertai kelab baharu.
Adakah anda mengalami masalah dengan ahli-ahli lama?
Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan peminat. Saya pun tidak tahu bagaimanakah cerita ini boleh tercetus. Padahal, hubungan antara kami baik-baik sahaja.
Bagaimanakah penerimaan ahli kelab peminat anda mengenai penubuhan kelab peminat baharu? Adakah terdapat perbincangan dengan mereka sebelum ini?
Kami ada berbincang dan semuanya telah bersetuju. Jadi, saya tidak tahu mengapakah isu ini perlu timbul.
Sebagai penaung kelab, apakah aktiviti-aktiviti yang anda lakukan bersama peminat?
Buat masa ini, saya yang akan mengemaskini laman sosial kelab Zara Zya Loverz. Selain itu, kami juga mempunyai kumpulan borak di aplikasi WeChat. Menerusi aplikasi itu, saya dan peminat boleh bertukar-tukar pendapat serta bertanya perkembangan semasa. Pada penghujung bulan ini, kami akan ke Singapura untuk merapatkan hubungan dan bertemu dengan peminat di sana.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Isteriku Bukan Tukang Masak. Selain itu, saya juga menguruskan bisnes dalam talian menerusi Instagram, @ZyaByZaraZya.
Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan peminat. Saya pun tidak tahu bagaimanakah cerita ini boleh tercetus. Padahal, hubungan antara kami baik-baik sahaja – Zara Zya
- Zara Zya tidak buang ahli kelab
0 Comment to "Zara Zya tidak buang ahli kelab"
Post a Comment