Wednesday, 8 April 2015

Johan: Tak salah cium isteri





Johan meletakkan isterinya, Ozllyn dan keluarga sebagai keutamaan dalam kehidupan.



Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi penulis sewaktu mahu berbicara dengan pelawak yang dicungkil bakatnya melalui program rancangan Raja Lawak ini. Manakan tidak, Johan atau nama sebenarnya, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz tidak pernah serius dalam menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya.



Bagaimanapun, di sebalik senyum dan tawanya, itulah diri sebenar Johan. Membawa persoalan mengenai resipi kejayaannya selama ini, Johan memberitahu, keluarga dan isterinya, Ozllyn merupakan kekuatan baginya untuk terus berjuang di persada seni.



“Dia (Ozylln) merupakan segala-galanya bagi saya. Dia juga bertanggungjawab di atas segala kejayaan dan saya berdiri di sini disebabkan rezeki dia dan anak-anak kami.



“Bagi saya, isteri merupakan kurnia dan tanggungjawab yang diberikan Tuhan kepada saya, menjaga dan melihat mereka bahagia merupakan nikmat yang cukup indah bagi saya,” ujarnya yang mengakui mengehadkan cerita peribadinya kepada umum.






Menyambung perbualan mengenai rahsia kebahagiaan rumahtangganya, Johan yang berkahwin dengan Ozllyn pada tahun 2009 memberitahu, dia tidak pernah mengungkit kisah lama isterinya, begitu juga sebaliknya.



“Apa yang saya amalkan sepanjang kami bergelar suami isteri ialah toleransi. Saya tidak pernah mengungkap kisah lamanya dan begitu juga sebaliknya.



“Saya tidak mahu perkara (ungkit-mengungkit) ini menjadi nanah sehingga mencetuskan perbalahan antara kami. Selain itu, rahsia lain yang menjadi amalan saya ialah solat bersama.



“Solat mampu menjernihkan kembali keadaan yang keruh, sebagai contoh, jika kami (suami isteri) bergaduh, solat yang menjadi penenangnya sekali gus mampu perasaan tidak baik di dalam hati,” singkap lelaki yang berusia 31 tahun itu.



Johan kemudian sewaktu ditanya mengenai tindakannya mencium isterinya usai diumumkan sebagai Pengacara Popular pada Anugerah Bintang Popular 2014 (ABP2014) baru-baru ini, Johan hanya menguntumkan senyuman.



“Dia merupakan isteri saya. Jadi, saya rasa tidak menjadi masalah untuk mencium Ozllyn di depan khalayak. Hubungan kami sah. Ciuman tersebut diberikan sebagai tanda terima kasih kerana dia sentiasa berada di sisi saya ketika jatuh dan bangun,” ujarnya ringkas.



Berkat



Memiliki kekayaan harta dunia, kebahagiaan rumah tangga dan populariti yang meningkat naik, boleh disimpulkan kehidupannya kini hampir lengkap.



Bagaimanapun, Johan mengakui masih ada ruang lompong di dalam sudut kamar hatinya. Menjawab persoalan mengenai apa yang diingininya kini, dengan mudah Johan memberitahu dia sebenarnya mencari keberkatan dalam kehidupan.



Katanya: “Alhamdulillah, kewangan kini bukan menjadi permasalahan besar kepada saya. Apa yang mahu saya cari dalam kehidupan kini ialah keberkatan, biarlah rezeki sekadar mencukupi sahaja namun disebabkan berkat kita dapat menenangkan jiwa dan membahagiakan orang sekeliling.



“Saya mahu cuba sedaya-upaya memperoleh berkat dalam kehidupan. Sebab itu saya kini lebih memberi tumpuan kepada amalan terutamanya yang melibatkan keagamaan.



Membawa perbualan lebih mendalam dan terperinci mengenai amalan yang acapkali dilakukan olehnya, Johan memberitahu, dia sering bersedekah secara berterusan dan konsisten.



Akuinya, sejak dahulu lagi, dia sering mengamalkan amalan bersedekah.



“Pada hemat saya, jika kita lebih menghulurkan sesuatu, Allah akan menggantinya dengan ganjaran yang lebih besar.



“Saya juga sedar rezeki yang dilimpahkan Allah SWT hanyalah pinjaman untuk dikongsikan kepada golongan yang lebih memerlukan,” lontarnya.



Menyambung bicara, Johan memberitahu, dia kini giat memgutip ilmu agama dan turut menghadiri beberapa usrah bagi menampung kebocoran kantung kerohaniannya itu.



“Saya mengakui tertinggal banyak dalam ilmu agama. Saya mahu mengejar ilmu agama dan pada masa yang sama cuba seiringkan dengan hal dunia,” azam rakan duo Zizan dalam grup Johan itu.



Komedi tersirat



Idea humor yang dilontarkan olehnya sentiasa berterusan, malah tindakan dan refleks terhadap sekeliling dilihat bukan lakonan.



“Saya memang seorang yang penuh dengan elemen humor, bagaimanapun, ada makna yang tersirat di sebalik humor yang dibuat. Hanya segelintir sahaja yang akan faham dengan apa yang cuba saya ingin sampaikan,” ujarnya.



Menyambung perbualan, Johan memberitahu, dia hanya akan serius apabila melibatkan soal didikan anak-anaknya. Bagi lelaki itu terdapat batas dan garisan dalam mencorak keperibadian anak-anaknya.



“Saya memang kelihatan sarat jenaka sewaktu perlu menghiburkan penonton.Bagaimanapun, jika melibatkan soal mendidik anak-anak, saya memang serius. Saya mahu mereka disiplin dan membesar dalam suasana yang sempurna,” ujarnya yang tidak menolak rezeki andai dikurniakan anak pada masa akan datang.



Ditebak mengenai karier seninya, Johan memberitahu, dia mahu terus memperkasakan bakatnya terutama daripada segi bidang persembahan sketsa pentas dan bidang pengacaraan.



“Saya tidak mempunyai perancangan besar terhadap karier seni. Bagaimanapun, apa yang dilakukan kini ialah saya mahu untuk terus mempertajamkan bakat persembahan dan bidang pengacaraan,” katanya yang teringin untuk menceburkan diri dalam bidang nyanyian.






- Johan: Tak salah cium isteri

SHARING GOOD

0 Comment to "Johan: Tak salah cium isteri"

Post a Comment