HUJUNG Mac lalu, industri seni hiburan dikejutkan dengan berita palsu mengenai kematian pelawak terkenal tanah air, Mr Os di laman-laman sosial.
Situasi itu menyebabkan teraju utama filem Awang Spanar ini menerima ratusan panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang ingin mengetahui keadaan sebenar sehingga menimbulkan kesulitan terhadap dirinya.
Tidak cepat melatah, Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid bagaimanapun sudah memaafkan individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita palsu berkenaan.
"Individu yang menyebarkan berita palsu itu sudah pun meminta maaf kepada saya melalui mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) beberapa hari selepas kejadian itu berlaku.
"Saya tidak tahu siapa dia tetapi yang pasti gambar itu saya hantar kepada kumpulan keluarga melalui aplikasi WhatsApp bagi memberitahu keadaan saya yang semakin baik selepas menjalani pembedahan tonsil di Hospital Selayang, namun salah seorang ahli keluarga
memberi gambar itu kepada rakannya.
"Tujuannya mungkin kerana mahu bergurau tetapi tidak sangka pula ia menjadi viral di laman-laman sosial. Tapi, saya sudah pun memaafkannya. Terima kasih jugalah, kerana mengingatkan saya dengan kematian," katanya kepada Zass.
Mengakui perkara berkenaan membebankan dirinya, ahli kumpulan Osbon itu bagaimanapun mengambil pendekatan untuk lebih bersikap terbuka.
"Sebenarnya, perkara seperti ini sememangnya sangat menyusahkan semua pihak. Saya sendiri pun sampai dah tak larat nak menerima pelbagai pertanyaan. Jadi, saya buat keputusan untuk lari ke Johor sebelum ke Perak pula.
"Saya perlu tenangkan diri, kemudian baharulah saya boleh berfikir dan ambil positif atas perkara yang terjadi ini.
"Pada saya ia mengingatkan saya mengenai kematian. Kiranya, saya beruntung sebab orang ramai sedekahkan doa dan Al-Fatihah ketika masih hidup," katanya.
Perlu rawatan susulan
Dalam pada itu, Mr Os memberitahu, dia masih perlu mendapatkan rawatan susulan selepas selamat menjalani pembedahan membuang tonsil pada Mac lalu.
"Selepas ini, setiap kali rawatan susulan akan dilakukan secara berperingkat di Hospital Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
"Sebenarnya, saya malas terlalu fikir tentang penyakit saya sebab ia akan membuatkan saya tertekan.
"Lagipun, saya tidak rasa pun sakit, cuma bila saya tiba-tiba muntah darah sahaja doktor kata saya ada penyakit yang berkaitan jantung," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mr Os akan muncul sebagai mentor dan tenaga pengajar dalam Projek Komedi Warna bersama Azlee dan Ilya daripada kumpulan Senario.
Program sepanjang 18 episod ini akan bersiaran pada setiap Jumaat, jam 10 malam, bermula 17 April ini menerusi Astro Warna (saluran 132).
- Mr Os: Saya maafkan mereka!
0 Comment to "Mr Os: Saya maafkan mereka!"
Post a Comment