Wednesday, 8 April 2015

Misi Forteen





SEJAK dilancarkan secara rasmi di laman perkongsian video, YouTube pada 14 Februari lalu, klip video Linangan Terakhir mencecah hampir 195,000 tontonan hingga kini.



Hanya dalam masa kurang dua bulan, single terbaharu kumpulan Forteen, ini berjaya mencipta rekod tersendiri di sepanjang pembabitan empat anak muda ini dalam industri muzik.



Menurut ahli kumpulan mereka, Saiful Ridzuan Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Ariz Lufias, 24, single ini menunjukkan peningkatan yang lebih cepat berbanding lagu-lagu lain sebelum ini menerusi tontonan di YouTube.






"Alhamdulillah, walaupun klip video sebelum ini seperti Seperti Dulu, Tidak Pernah Berjumpa, mencatat tontonan melebihi 1 juta, namun proses untuk Linangan Terakhir lebih cepat.



"Single ini adalah lain dari single sebelum ini termasuk dari segi susunan muzik yang lebih segar dan sesuai dengan peredaran masa dan zaman.



"Kami sangat gembira melihat sambutan dan maklum balas yang baik daripada peminat. Diharapkan agar sokongan ini akan diteruskan untuk masa-masa yang akan datang," katanya lagi.



Menariknya, menerusi single ciptaan Edry Abd Halim ini, anggota Forteen menampilkan bakat mereka dalam bidang lakonan menerusi klip video.



Jelas Amir atau nama sebenarnya, Mohamad Arif Ameerais Azhar, 25, single ini menggambarkan sisi berbeza mereka dan pembikinan klip ini juga mengambil masa yang agak lama berbanding sebelum ini.



"Selain menyanyi, kami turut mempertaruhkan lakonan menerusi klip video single ini. Malah, ia juga mencatat masa pembikinan video yang paling lama, hampir sehari suntuk.



"Melihat kepada hasil lakonan kami, memang kami puas hati dan sebelum ini kami pernah ada pengalaman berlakon teater, Projek Kahwin. Jadi, pengalaman yang ada buatkan kami tidak terlalu kekok beraksi," katanya.



Bukan sahaja menyasarkan pasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei, single ini juga bakal diperluaskan ke pasaran muzik negara jiran, Indonesia.



Tambah Izzue Islam, bukan sahaja di tiga buah negara, malah mereka mendapati, kehadiran mereka dalam industri nyanyian turut disedari golongan peminat yang berada di Indonesia.



"Untuk tahun ini, kami berhasrat membawa muzik kami ke sana terutamanya single terbaharu ini. Bukan hanya bergantung pada single baharu sahaja kerana kami akan memperkenalkan lagu-lagu sebelum ini kepada mereka," jelasnya.





Forteen - Linangan Terakhir



Sombong dengan peminat?



Lumrah sebagai selebriti, kumpulan ini tidak terlepas dari kontroversi yang melanda apatah lagi, mereka pernah didakwa bersikap sombong dan cuba 'lari' daripada peminat.



Jelas Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 25, dakwaan berkenaan tidak pernah dijadikan halangan untuk kumpulan mereka meneruskan aktiviti seni termasuk bersama peminat.



"Bagi peminat Forteen, mereka sudah kenal kami dan semestinya dakwaan itu tidak benar belaka. Bagi saya, yang cuba memburukkan kami itu bukanlah golongan peminat, namun lebih kepada 'haters'.



"Sehingga kini, kami tiada sebarang masalah yang berbangkit dengan peminat dan peminat juga faham komitmen saya dalam bidang lakonan. Ada yang menuding jari kepada saya, namun sekiranya saya ada urusan lain, saya akan jelaskan kepada peminat terlebih dahulu,"

katanya.



Tambah Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 24, atau lebih mesra disapa Wan, mereka memberi kelonggaran kepada Izzue sekiranya terikat dengan jadual kerja ataupun urusan lain.



"Kami tiada masalah dengan jadual Izzue, malah saya tidak nampak Izzue mengabaikan Forteen. Malah, sekiranya jadual dia terlalu padat, Izzue terpaksa berkejaran untuk bersama kami.



"Sebelum ini, pernah juga terdengar dakwaan yang kami akan berpecah. Sejujurnya, sehingga ke hari ini, kami tidak pernah terfikir hingga ke tahap itu. Malah, kami juga tidak pernah berbincang sekiranya salah seorang daripada kami mengundurkan diri selepas ini. Ia perkara

di luar jangkaan," katanya.






- Misi Forteen

SHARING GOOD

0 Comment to "Misi Forteen"

Post a Comment