Tuesday 9 June 2015

Rezeki terpijak Shukri Yahaya



Perihal takdir adalah sesuatu yang tidak boleh dijangka dan dirancang oleh manusia. Kalau sudah rezeki, tiada siapa yang boleh menghalang dan tiada siapa juga mampu menidakkannya.

Begitu juga dengan hal kerjaya. Apa yang dilakukan saat ini dan apa yang dikecapi hari ini, barangkali perkara itu tidak pernah terjangkau dalam benak fikiran kita pada masa lalu.

Bagi lelaki bernama Shukri Yahaya, 27, yang kini meneruskan fenomena tuah hero slot Akasia, populariti yang semakin melimpah adalah perkara di luar jangkaannya.

Meskipun sudah hampir lima tahun melewati kehidupan sebagai anak seni, baru kini peminat kelihatan lebih teruja untuk mengenali perihal siapa Shukri Yahaya sebenarnya setelah drama Dia... Isteri Luar Biasa (DILB) ditayangkan beberapa minggu lalu.


“Sewaktu mendapat tawaran untuk watak utama dalam slot tersebut, saya sangat risau kerana sedar ini adalah slot yang paling mendapat perhatian masyarakat.

“Untuk meletakkan Dr. Raden Amzar sebagai satu watak yang benar-benar berkesan dan tidak disamakan dengan watak hero-hero sebelum ini memang menuntut kerja keras daripada saya, “ katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Syukur Selalu Media Prima di The Royale Chulan, Damansara, Selangor baru-baru ini.

Walaupun pernah memegang watak hero dalam slot Azalea, Asam Pedas Untuk Dia, Shukri tidak dapat mengelak daripada ombak kemasyhuran pelakon slot Akasia yang dilihat menjadi trend setiap kali drama baru menjengah.

Meskipun DILB dikritik sebagai sebuah drama yang tidak bermoral dan boleh memesongkan akidah, namun bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, tuduhan sebegitu terlalu awal untuk diberi kepada cerita yang baru bermula.

“Pada saya, DILB banyak pengajaran dan perkara positif yang boleh disampaikan dan dijadikan pedoman buat penonton. Cuma, berikanlah sedikit masa, jangan terus menilai cerita yang belum tamat.

“Nilai-nilai negatif yang diwujudkan dalam DILB adalah untuk memberi pengertian bagaimana ia boleh diubah menjadi sesuatu yang lebih baik menerusi langkah-langkah yang betul,” tuturnya yang menyifatkan khabar angin DILB bakal ditamatkan siaran kerana tanggapan memesong akidah sebagai mengarut.

Tuah DILB

Mengakui impak berbeza yang diterima untuk DILB, Shukri berkata, pada mulanya dia terkejut dengan perhatian yang diterima tetapi mula melihatnya sebagai satu perkembangan positif dalam kerjaya.

“Tidak dinafikan penerimaan peminat memang hebat dan boleh dikatakan drastik apabila saya membawa watak Dr. Raden Amzar dalam DILB.

“Malah, ada yang terbawa-bawa memanggil saya Dr. apabila terserempak. Agak kelakar tetapi baguslah, orang mengenali saya dan membuktikan DILB mendapat sambutan hangat,” ujarnya yang mula dikenali menerusi drama bersiri popular, Juvana pada 2011.

Bercakap tentang keserasian lakonannya dan Fathia Latiff sebagai Dewi Yusra, Shukri berterima kasih pada aktres itu kerana banyak memberi tunjuk ajar sepanjang penggambaran dijalankan.

Menyifatkan Fathia sebagai senior dalam dunia lakonan, Shukri pada mulanya mempunyai rasa ragu tentang kebolehan diri untuk menyaingi Fathia sebagai watak utama.


SUDAH bertunang sejak setahun lalu, Shukri memberitahu, dia berhasrat menikahi Tya Adnan pada penghujung tahun ini.

“Pada hari pertama penggambaran, saya agak gementar tetapi Fathia sangat profesional dan banyak memberi sokongan dalam babak-babak yang perlu dilakonkan bersama.

“Dia sangat sporting dan tidak lokek ilmu. Keserasian kami dalam DILB banyak didorong oleh Fathia yang banyak menolong saya mencari titik keselesaan yang diperlukan bagi watak Dr. Raden dan Dewi Yusra,” tambahnya yang pernah menjadi tonggak utama dalam drama Menjinak Ombak.

Peminat fanatik

Namun begitu, Shukri turut menerima tempias negatif kesan populariti yang diraih apabila terdapat sesetengah peminatnya menjadi terlalu fanatik hingga menyebabkan privasi hidup lelaki itu terganggu.

Baru-baru ini, laman sosial Instagram milik Shukri kecoh sebentar apabila dia mendedahkan wajah seorang wanita yang dikatakan telah memburuk-burukkan keluarganya hanya kerana Shukri tidak membalas komen peminat itu.

Walau bagaimanapun, Shukri menyesal dengan tindakannya itu dan mengambil keputusan untuk memadamkan semula gambar berkenaan atas nasihat kedua orang tuanya.

“Saya kadang-kadang pelik juga bagaimana seseorang itu boleh terlalu taksub dengan watak rekaan dalam drama sehingga menyusahkan orang lain.

“Peminat itu rupa-rupanya tidak boleh menerima perubahan watak saya ketika berlakon Asam Pedas Untuk Dia dengan DILB dan mahu saya kekal dengan watak serupa untuk setiap lakonan.

“Bengang kerana saya tidak membalas komen, dia mula bercakap buruk tentang keluarga saya. Itu yang membuat saya hilang pertimbangan hingga mendedahkan identiti peminat wanita tersebut, “ jelasnya yang memilih langkah mudah untuk berdiam diri andai ditimpa perkara seumpama itu lagi.

Jelasnya lagi, bukan sengaja tidak mahu membalas komen peminat, namun untuk menjaga hati semua orang, dia lebih gemar membalasnya dengan memuat naik video dirinya yang mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan untuk penyokongnya.

Bagi Shukri, cara itu adalah lebih adil dan dapat memastikan layanan dirinya terhadap peminat adalah sama rata.


SERASI... Gandingan Shukri dan Fathia sebagai suami isteri dilihat menjadi.

Idola

Tatkala ditanya tentang siapakah yang diingini untuk berlakon bersama jika diberi peluang, Shukri pantas menyebut nama bintang tersohor tanah air iaitu Datuk Rosyam Nor tanpa berfikir panjang.

Dia yang mengagumi bakat lakonan Rosyam pernah bergandingan dengan aktor itu dalam satu telemovie bertajuk Mawar Putih Tanda Perpisahan tetapi pada waktu itu hanya sebagai watak sampingan.

“Rosyam memang idola saya. Kalau boleh saya mahu mempunyai satu watak penting bersamanya agar dapat menimba pengalaman daripada beliau.

“Salah satu sebab mengapa Rosyam adalah pelakon yang paling saya kagumi adalah kerana saya dibesarkan dengan menonton filem atau drama lakonan beliau. Dia adalah seorang pelakon berkaliber dan mempunyai aura tersendiri,” jelasnya lagi.

Menurut Shukri lagi, berkat namanya kini semakin disebut-sebut, peluangnya untuk mengembangkan kerjaya dalam dunia perfileman juga semakin cerah apabila sudah mula dirisik oleh pengarah untuk ‘bermain’ di layar lebar.

Meskipun tawaran tersebut masih dalam proses perbincangan, Shukri tetap bersyukur kerana usahanya untuk membina tapak dalam industri semakin membuahkan hasil dan pilihan menerima tawaran berlakon DILB adalah tepat.

Nikah hujung tahun

Umum mengetahui, hati lelaki yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu sudah lama dimiliki oleh seorang wanita bernama Tya Adnan, 24, malahan sudah mengikat tali pertunangan pada awal tahun 2014.

Masih tersipu-sipu malu apabila ditebak dengan soalan cepu emas mengenai tarikh hari bahagia, Shukri berkata, niat di hati kalau boleh mahu ia dilakukan segera kerana sudah lebih setahun bertunang.

Berasa bertuah mempunyai seorang teman hati yang memahami kerjayanya sebagai pelakon, dia berkata, tunangnya itu tidak pernah mendesak atau memaksa tentang hal perkahwinan dan sabar menanti masa sesuai untuk disatukan.

“Insya-Allah kalau tiada aral melintang, rancangan awal kami adalah untuk bernikah pada penghujung tahun ini tetapi itu masih belum dipastikan lagi. Jika sudah ada tarikh tetap, saya tidak akan sorokkan daripada media.

“Tya seorang yang memahami tugas saya sebagai pelakon kerana dia dulu juga pernah berlakon, cuma memilih untuk menarik diri dari industri kerana mahu menguruskan perniagaan. Doakan kami dimurahkan rezeki untuk cepat-cepat mendirikan rumah tangga,” katanya tersenyum.

- Rezeki terpijak Shukri Yahaya

SHARING GOOD

0 Comment to "Rezeki terpijak Shukri Yahaya"

Post a Comment