Friday 5 June 2015

Sasha Saidin lebih berhati-hati



BUKAN sekali, tetapi dua kali episod kegagalan rumah tangga yang terpaksa ditempuhi pelakon dan juga penyanyi, Sasha Saidin.

Dek kerana faktor itu jugalah, Sasha mengakui takut untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

Tidak menafikan sedang mengenali seseorang, Sasha bagaimanapun menegaskan, dia kini selesa dengan kehidupan sendiriannya bersama anak lelaki tunggalnya.

“Saya akui kebanyakan teman rapat, bahkan ibu saya, Siti Aishah Abdullah, menyarankan saya berkahwin sekali lagi agar ada suami yang boleh menguruskan diri saya dan anak.
"Tetapi bagi saya pula, saya sering tertanya-tanya, perlukah saya berkahwin lagi?

"Memang sekarang saya ada berkawan rapat dengan seseorang, tetapi saya takut untuk berkahwin lagi selepas dua kali gagal.

"Apabila kita beri kepercayaan tetapi apabila sudah berkahwin dan ia tidak dapat ditunaikan, itu yang membuatkan saya ragu-ragu untuk mendirikan rumah tangga lagi," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Fajar Di Bukhara, baru-baru ini.


Bagaimanapun penyanyi kumpulan Elite ini tidak menolak sekiranya suatu hari jodohnya sudah sampai.

Berkongsi mengenai jejaka yang rapat dengannya kini, Sasha berkata, lelaki tersebut mengetahui sejarah dan memahami situasi yang dilaluinya.

"Kami telah bincang dan dia percaya bila masa (perkahwinan) datang ia akan datang dengan sendirinya," katanya.

Terdahulu, Sasha pernah berkahwin dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun berpisah empat tahun kemudian.

Kemudiannya, Sasha mendirikan rumah tangga dengan Salyo Priyanto seorang warga Indonesia pada 2007 sebelum bercerai pada 2012.

Ketika perkahwinan keduanya itu, Sasha dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono yang kini berusia 6 tahun.

Fokus pada Adam Arya

Berkongsi pula cabaran sejak bergelar ibu tunggal yang sudah pun memasuki tahun ketiga, Sasha mengakui pada mulanya agak sukar menyesuaikan diri tambahan perlu membesarkan anak tunggalnya.

"Saya jadikan ibu sebagai contoh dalam membesarkan anak sendiri.

"Ia banyak membuatkan saya kuat dan bersemangat untuk membesarkan Adam. Sekarang juga fokus saya bekerja kuat mengumpul simpanan untuk menyara kehidupan saya dan Adam.

“Alhamdulillah. Rezeki saya kini lebih terarah kepada dunia peragaan yang membuatkan saya cukup seronok dan teruja untuk melakukannya," katanya yang bercadang membawa Adam ke Dubai bagi menyambut ulang tahun kelahiran puteranya itu Ogos ini.

- Sasha Saidin lebih berhati-hati

SHARING GOOD

0 Comment to "Sasha Saidin lebih berhati-hati"

Post a Comment