Brothers kembali dengan Sabar
SUATU ketika dahulu, nama kumpulan nasyid ini cukup dikenali dan mempunyai pengikut tersendiri. Namun bergerak mengikut peredaran masa, kumpulan ini mula menghilang.
Namun ia bukan bermakna kumpulan Brothers sudah berkubur dari industri. Malah diam tak diam, sudah 20 tahun kumpulan ini ditubuhkan.
Justeru, sempena ke-20 tahun penubuhan Brothers dalam industri hiburan, kumpulan ini muncul dengan buah tangan terbarunya, Sabar.
Lebih manis, Sabar dihasilkan setelah sedekad kumpulan itu sepi tanpa sebarang album baharu selepas mengeluarkan Brothers Reunited pada 2005.
Sebelum itu, kumpulan yang dianggotai Yasin, Salleh, Faiz dan Syah ini telah pun mempunyai tiga album lain iaitu We Are pada 1997. Satu Perjuangan (1998) dan Untukmu Teman (2000).
Mengambil masa sehingga tiga tahun untuk merealisasikan Sabar, pastinya album terbaru Brothers ini ada signifikannya tersendiri.
"Sebenarnya, perancangan untuk membuat album ini bermula sejak beberapa tahun lalu. Memang agak susah. Namun, setelah tiga tahun kami berempat dapat berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama, akhirnya kami berkongsi impian dan hasrat.
"Alhamdulillah kami berjaya juga muncul dengan album baharu. Lebih bermakna, ia hadir bersempena dengan usia penubuhan kami yang ke-20 tahun,” kata Yasin yang mewakili Brothers ketika ditemui selepas pelancaran album baharu mereka, baru-baru ini.
Sabar menampilkan lima lagu baharu Brothers iaitu Sabar, Demi Cinta, Kamaresyah, Tawakallah dan Allahuma selain 10 lagu lama yang popular sebelum ini.
Berbicara mengenai Sabar, kata Yasin, mereka cuba mengetengahkan elemen positif buat semua peminat.
"Pertama, terhadap Brothers sendiri, sabar menunggu sehingga bertahun-tahun lamanya untuk mengembalikan semangat masing-masing dalam berkarya. Kedua, peminat setia Brothers sendiri, yang terus setia dan sabar menunggu kemunculan produk baharu kami.
"Kami mahu, mereka yang mendengar lagu kami akan rasa teraspirasi dan elakkan daripada perkara sedih sehingga menyebabkan kita hilang semangat. Oleh sebab itu, kami tampil dalam bentuk yang seronok, ringan dan punya aura positifnya," katanya.
Sedekad tidak muncul dengan album baharu, Yassin mengakui cabaran utama dalam penerbitan album baharu mereka adalah tertakluk kepada soal relevan pada masa kini.
"Untuk kembali relevan, itu paling susah sebenarnya. Mana tidaknya, dengan usia kini yang semakin meningkat dan generasi yang bertukar.
"Ditambah lagi, dengan cita rasa generasi muda masa kini yang lebih kepada muzik dari luar seperti Kpop.
"Ini menjadi satu cabaran besar dalam menentukan konsep album agar ia lebih mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat," katanya.
Sabar diterbitkan Hush Entertainment dan diedarkan Arteffects International juga edaran bersama Sony Music Malaysia.
Album ini juga boleh didapati secara digital seperti di iTunes, Amazon, Spotify, KKBox dan Deezer.
Tidak pernah berpecah!
Jika diselak kembali perjalanan Brothers, kumpulan ini berjaya mencipta fenomenanya tersendiri setelah debut pertama, Teman Sejati berjaya melonjakkan nama kumpulan itu menerusi album pertama, We Are pada 1997.
Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, nama kumpulan ini seolah-olah tenggelam di persada seni sehinggakan ada yang menyatakan Brothers sudah pun berpecah sekali gus bersara dalam dunia seni.
Namun hakikatnya, ahli kumpulan terbabit tidak pernah berpecah, sebaliknya terikat dengan komitmen masing-masing.
"Kami tak pernah berpecah dan masih bersatu. Apa yang membataskan kami untuk berkarya adalah kerana masing-masing ada kerjaya dan keluarga yang perlu diuruskan, sekali gus kami agak sukar untuk bergerak secara sebuah kumpulan dan menjayakan persembahan bersama," katanya.
Begitu pun, Yasin tidak menafikan ada ketikanya mereka pernah berhadapan dengan perselisihan faham, tetapi semua itu dapat diatasi dan menganggapnya sebagai adat resam kehidupan.
0 Comment to "Sedekad menghilang Brothers kembali dengan Sabar"
Post a Comment