Monday 8 June 2015

Setahun sendiri, Izreen Azminda nikmati detik bahagia



SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti tidak mengharapkan perkahwinan yang dibina berakhir di tengah jalan.

Apatah lagi perlu menjalani kehidupan sendiri membesarkan zuriat hasil perkongsian hidup.

Namun bagi figura cantik ini, penceraian yang berlaku hampir setahun yang lalu bukanlah menjadi noktah dalam perjalanan hidupnya.

Apatah lagi, dengan usia yang masih muda dan seorang cahaya mata yang perlu diberi perhatian, Izreen Azminda pantas bangkit dan mengorak langkah.

Tidak mahu berpaling lagi dan mengenang kisah lalu yang kini berada di dalam lipatan sejarahnya, ujar Izreen, dia kini menikmati detik bahagia bersama keluarga, teman rapat dan lebih penting, anak tercinta.

“Saya bukan mahu mendabik dada, tetapi Alhamdulillah walaupun hidup sendiri kini, tetapi saya bahagia. Bahagia kerana saya tidak lagi mempunyai komitmen besar melainkan anak sahaja.

“Saya suka apabila ada yang melihat saya bahagia dan gembira sekarang, kerana itulah yang saya lalui,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis Kempen Ramadan Raya TV3 & TV9 di Royale Chulan, Damansara, baru-baru ini.

Tambah Izreen, dia juga mahu wanita lain di luar sana yang melalui nasib sama sepertinya untuk bangkit dari kenangan lalu dan memulakan hidup baharu.

“Saya berharap kekuatan dan kebahagiaan saya menjadi inspirasi buat wanita lain di luar sana. Hidup kita sekali sahaja, masa muda kita juga sekali.

“Jadi jangan bazirkan masa untuk meratap kegagalan yang berlaku, sebaliknya jadikan kegagalan itu sebagai inspirasi untuk anda bangkit dan meneruskan kehidupan,” ujarnya.


Biarpun selesa hidup sendiri, Izreen berkata, dia tidak menolak andai suatu hari nanti ditakdirkan untuk berkahwin buat kali kedua.

Namun sehingga kini, dia masih menebalkan pintu hatinya untuk menerima mana-mana lelaki di dalam hidup.

“Siapalah saya untuk menolak ketentuan Illahi. Andai suatu hari nanti, ALLAH takdirkan saya bertemu jodoh, saya terima.

“Tapi kini biarlah saya nikmati hidup sendiri, tanpa komitmen dengan mana-mana lelaki.

“Walaupun ada yang mendekati, tapi masih belum ada yang berjaya mencuit pintu hati saya kerana saya sudah tebalkan hati untuk memberi fokus terhadap anak dan karier terlebih dahulu,” jelas wanita berusia 30 tahun ini.

Di tanya hubungan dengan bekas suaminya, Muhammad Riza Baharudin, 32, Izreen berkata, dia masih berkawan baik dengan lelaki itu, bahkan bekerjasama dengan Riza baru-baru ini.

“Saya dan Riza masih berkawan baik, bukan kerana anak semata-mata, tetapi juga sebagai rakan dalam satu industri.

“Riza sekarang sudah menjadi pengarah dan saya ada bekerja di bawah arahannya baru-baru ini dan Alhamdulillah saya rasa lebih mudah kerana saya tahu apa yang dia mahu. Malah kerja juga lancar.

“Bukan sahaja dengan Riza, saya juga tidak ada masalah bekerjasama dengan Botak (Johan Asa’ari) dan ada digandingkan bersama dalam satu telefilem baru-baru ini,” jelasnya.


Rezeki mencurah

Berkongsi perkembangan terkininya, Izreen berkata, dia bersyukur kerana rezeki dalam dunia lakonan semakin mencurah biarpun dia kini sudah berhijab.

Menurutnya, dia bakal muncul dalam beberapa drama dan telefilem sepanjang Ramadan dan Syawal nanti.

“Insya-ALLAH tidak lama lagi drama lakonan saya, Eksperimen Cinta akan ditayangkan di TV3 sempena Ramadan ini dan saya juga adalah berlakon dalam beberapa telefilem yang akan ditayangkan sepanjang Ramadan dan Syawal.

“Antara telefilemnya adalah Pesan Dari Tuhan, Bukan Wanita Sempurna dan satu lagi judul terpaksa saya rahsiakan sehingga ia akan ditayangkan kelak. Apa yang pasti, ia adalah gabungan daripada Hati Perempuan dan Kerana Terpaksa Aku Relakan,” katanya.

Mendapat jolokan ratu air mata kini, Izreen berkata, dia tidak kisah dilabel sedemikian kerana beranggapan lakonannya kini sudah mendapat perhatian.

Bagaimanapun ia bukan bermakna dia akan terus selesa membawakan watak sama dalam setiap drama lakonannya.

“Alhamdulillah dulu orang nampak saya dengan watak antagonis. Tapi kini pengarah dan penerbit percaya untuk berikan watak yang lebih berat.

“Namun itu bukan alasan untuk saya selesa dengan peranan sama kerana saya kini lebih selektif, lebih-lebih lagi dengan imej saya yang sudah bertudung kini.

“Saya mahu jadi pelakon yang versatil dan bukan tangkap muat sahaja,” akhirinya yang mengakui banyak menyerap mutu lakonan pelakon berpengalaman untuk dijadikan inspirasi dalam bekerja.

- Setahun sendiri, Izreen Azminda nikmati detik bahagia

SHARING GOOD

0 Comment to "Setahun sendiri, Izreen Azminda nikmati detik bahagia"

Post a Comment