Friday 14 August 2015

Farid Kamil jelas sikap dingin Diana Danielle



KHABAR angin mengenai kehamilan aktres Diana Danielle yang tersebar sebelum ini akhirnya terjawab apabila suaminya, Farid Kamil mengesahkan perkara itu ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Grand Brialliance Sdn. Bhd (GBSB) di Sri Pentas, Bandar Utama, kelmarin.

Mengulas mengenai sikap Diana yang sebelum ini seakan mengelak daripada bertemu pihak media dalam satu majlis baru-baru ini, Farid menganggap berkemungkinan tindakan tersebut adalah kesan daripada kondisi awal kehamilan isterinya.

“Sebenarnya bila saya menjawab untuk pihak Diana, ia akan menjadi sesuatu yang rumit kerana saya sendiri tidak ada bersamanya dalam situasi itu.

“Apa yang boleh saya katakan mungkin tindakan Diana ketika itu adalah kerana kondisi awal kehamilannya yang mungkin juga telah menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

“Diana memang tidak ada alahan, tapi dia akan cepat penat. Jadi, mungkin disebabkan itu dia tidak dapat bekerjasama dengan pihak media ketika itu,” jelasnya.

Berkongsi perasaan teruja, Farid mengakui sudah cukup bersedia menerima kehadiran cahaya mata kedua dalam keluarga kecilnya itu.


“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH kerana dapat merasai satu lagi peluang untuk memiliki cahaya mata ke dua.

“Kandungan Diana kini sudah berusia lima bulan dan setakat ini kami belum mahu mengetahui jantinanya lebih awal.

“Saya sendiri menerima sahaja sama ada lelaki atau perempuan yang penting Diana dan kandungan sihat,” katanya.

Pada masa yang sama, Farid turut meluahkan perasaan bangga melihat putera sulungnya, Muhammad, 2, membesar dengan sihat.

“Saya bangga dengan Muhammad kerana dalam usianya sekarang, dia sudah boleh buat banyak perkara.

“Bila saya naikkan dia di atas kuda yang besar, dia tidak takut malah tenang dan teruja.

“Muhammad juga beri respons yang baik bila saya beritahu ada adik dalam perut ibunya. Kadang-kadang dia meminta mahu mencium perut Diana,” kata Farid sambil tersenyum.

Mengenai perkembangan seni, Farid bakal muncul menerusi filem terbaharu iaitu Langit Cinta yang turut dijayakan barisan pelakon popular seperti Nur Fazura dan Keith Foo.

Selain dia juga muncul menerusi filem terbitan GBSB berjudul Love, Supermoon yang akan ditayangkan pada 22 Oktober depan.

- Farid Kamil jelas sikap dingin Diana Danielle

SHARING GOOD

0 Comment to "Farid Kamil jelas sikap dingin Diana Danielle"

Post a Comment