PELAKON cantik, Maya Karin yang dilihat sering menonjol dalam setiap lakonannya, mahu terus mengukuhkan namanya di persada seni tanah air bagi memuaskan hati peminat yang sentiasa memandang tinggi terhadapnya.
Sememangnya apabila berada di kedudukan yang stabil dan dikenali, Maya mahu mengekalkan dan terus menaikkan lagi namanya dalam industri hiburan justeru mengelak namanya jatuh.
“Sebolehnya saya mahu wujudkan jenama Maya Karin sendiri apabila sudah lama bertapak dalam industri ini.
“Saya tidak mahu menghampakan harapan penonton serta peminat apabila menyaksikan setiap lakonan dan kemunculan saya di persada seni ini,” katanya pada majlis eksklusif media previu filem Jwanita, baru-baru ini.
Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 36 juga memberi jaminan setiap kali wajahnya terpampang di poster filem, pastinya filem itu berkualiti dan akan memberi kepuasan kepada penonton.
“Itu yang akan saya cuba lakukan walaupun sehingga umur 50 tahun seperti pelakon terkenal Hollywood, Tom Cruise,” katanya.
Pelakon manis ini sangat mengimpikan untuk memegang watak yang lebih lasak dan penuh aksi suatu hari nanti.
“Watak yang belum lagi saya dapat adalah berlakon dalam filem aksi. Misalnya menjadi polis atau pegawai penyiasat. Itu yang saya inginkan,” katanya.
Tercalon di FFM
Berkongsi pula perasaannya apabila namanya diumumkan antara yang tercalon untuk Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 yang akan berlangsung pada 5 September ini, Maya berkata, dia mulanya tidak mempercayainya namun bersyukur dengan berita tersebut.
"Saya bukanlah mahu terlalu bangga tetapi alhamdulillah saya telah lapan kali tercalon untuk kategori pelakon terbaik.
"Sepanjang Pontianak Harum Sundal Malam hingga Sejoli, sebanyak lapan kali pencalonan dan dua kali menang.
"Alhamdulillah apa yang dilihat di sana saya sentiasa dapat watak yang kuat dan menyebabkan saya tercalon. Begitu juga dengan watak saya sebagai Gina yang diangkat sebagai calon pelakon terbaik," katanya yang melihat pencalonan kali ini berdasarkan karya, bukan latar belakang pelakon.
0 Comment to "Maya Karin jamin kepuasan!"
Post a Comment