Monday, 10 August 2015

Rafiena Ezanee bawa diri ke Eropah?



UMUM sudah mengetahui kisah penceraian pelakon dan penerbit, Datuk Rafiena Ezanee Ramli yang sah bercerai secara taklik dengan ahli perniagaan, Mazlan Abd Hamid, 3 Ogos lalu.

Tiada hujan tiada ribut, kisah penceraian tersebut sememangnya menjadi satu kejutan buat industri hiburan tanah air sementelah beliau dikhabarkan akan berangkat ke Eropah, hujung bulan ini.

Bagaimana pun keputusan untuk terbang jauh ke negara orang bukanlah kerana mahu membawa diri akibat keruntuhan rumah tangga, tetapi ia bersabit hal perniagaan dan penggambaran drama 30 episod berjudul, Sesal Separuh Nyawa yang akan dibintangi pelakon Keith
Foo dan Ayda Jebat

“Saya sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaru yang telah pun bersiaran di Hypptv berjudul Jodoh Sebelah Pintu. Drama ini sudah bersiaran sebanyak empat episod di Saluran Hyppsensasi 116 jam 9 malam.

"Pada 28 Ogos pula saya akan ke Eropah untuk penggambaran drama terbaru berjudul Sesal Separuh Nyawa. Saya OK dan saya kuat untuk menjalani kehidupan (selepas penceraian),” katanya ketika dihubungi Zass, baru-baru ini.


Rafiena, 33, yang popular menerusi drama Perempuan Dalam Pasungan memfailkan penceraian itu sekitar Julai lalu, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Mahkamah mengesahkan lafaz taklik mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas berpuas hati dengan pengakuan pelanggaran lafaz taklik oleh Mazlan. 5.

Perkahwinan yang dibina sejak 10 Januari 2011 itu dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berada di bawah jagaan Rafiena.

Motivasi diri

Menjadikan kisah silam sebagai sandaran dan motivasi dalam hidup, Rafiena dilihat semakin kerap memuat naik status motivasi di laman sosial Instagram.

“Status-status itu adalah untuk renungan dan motivasi untuk saya. Tak ada apa-apa yang berkaitan dengan isu rumah tangga kerana saya bukan jenis yang mudah berkongsi dengan sesiapa sahaja tentang diri saya.

“Apa yang akan saya lakukan adalah meneruskan kekuatan untuk menghadapi apa sahaja ujian dalam hidup,” katanya.

Menelusuri perjalanan seni wanita cantik ini, beliau yang terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelakon pembantu mula menerbitkan rancangan sendiri sejak 2008.

Rezeki dalam bidang penerbitan rupanya lebih berpihak kepada Rafiena meski pun namanya tidak menyerlah di bidang lakonan dan usaha Darkwave Pictures mendapat perhatian dengan menerbitkan banyak genre drama berat seperti Perempuan Dalam Pasungan dan
Pondok Plastik Tepi Kubur.

Percaturan Darkwave Pictures untuk menerbitkan rancangan bergenre komedi juga tidak menghampakan dalam drama berjudul Diva dan Jodoh Sebelah Pintu.

“Selepas Eropah saya akan ke Korea pula untuk penggambaran filem Kimchi Untuk Awak lakonan Nelydia Senrose dan Aiman Hakim,” akhirinya.

- Rafiena Ezanee bawa diri ke Eropah?

SHARING GOOD

0 Comment to "Rafiena Ezanee bawa diri ke Eropah?"

Post a Comment