Monday, 10 August 2015

Mawar Rashid sedia dikritik


BARU-BARU ini peserta Dewi Remaja 2014/2015 ini menjadi terkenal rentetan sesi temu bualnya bersama sebuah rancangan hiburan mengenai isu GST.

Meskipun masih terasa malu dengan kejadian itu, namun Mawar Rashid mengakui apa yang berlaku membuatkan dia menjadi lebih matang dan belajar daripada kesilapan.

Akui gadis berusia 20 tahun ini, dek kerana insiden itu dia semakin dikenali.

“Walaupun sebelum ini ramai yang kenal saya menerusi keek, Instagram dan laman sosial lain tetapi perkara itu paling memberi kesan kepada saya apabila menyertai industri seni.

“Bayangkan, macam-macam tohmahan dan kritikan dilemparkan kepada saya.

“Sehinggakan saya menangis ketika itu, bagaimanapun, atas nasihat keluarga saya berjaya berhadapan dengannya,” kata empunya nama sebenar Wan Mawar Shaputri ini.

Mula menjinakkan diri dalam bidang pengacaraan dan lakonan, ujarnya, dia kini lebih bersedia berhadapan cabaran sebagai anak seni.


“Ini baru permulaan buat saya, banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Oleh itu saya sudah bersedia untuk dikritik. Bagi saya orang boleh bercakap apa yang mereka suka dan komen,” katanya mempunyai keyakinan diri yang lebih tebal kini.

Enggan diperlekeh

Masih dalam usaha memperbaiki dirinya, Mawar berkata, semakin banyak menerima tawaran seni yang diterima.

"Alhamdulillah rezeki saya tetap ada dan saya akan cuba buat yang terbaik dalam apa jua bidang yang saya ceburi," katanya.

Dalam pada itu, kata Mawar dia juga tidak mahu mengulangi lagi kesilapan lama dengan memperbanyaknya ilmu dan pengetahuan agar tidak terus diperlekehkan.

"Sekarang saya lebih peka dengan isu semasa. Apa yang berlaku sebelum ini, sudah cukup memberikan pengajaran kepada saya," katanya.

- Mawar Rashid sedia dikritik

SHARING GOOD

0 Comment to "Mawar Rashid sedia dikritik"

Post a Comment