Wednesday, 12 August 2015

Siasat Arahan Pindah Pegawai SPRM - Bekas Peguam Negara



Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dianggap bersalah kerana menghalang dua penjawat awam menjalankan tugas mereka, kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

Abu Talib merujuk kepada tindakan memindahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.

Dinyatakan: Sesiapa yang secara sukarela menghalang mana-mana penjawat awam menjalankan fungsi mereka boleh dihukum penjara sehingga tempoh dua tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya.

"Pada pandangan saya, prima facie, mereka telah melakukan kesalahan," kata Abu Talib.


Jumaat lalu Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob diarah berpindah ke Jabatan Perdana Menteri dan diminta melapor diri pada Isnin.

Bagaimanapun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan pada Isnin lalu membatalkan pertukaran tersebut setelah mereka memberi penjelasan mengenai tindakan mengeluarkan kenyataan media sebelum ini.

"Daripada laporan berita, dua pegawai SPRM berkenaan terlibat secara langsung dalam penyiasatan 1MDB dan mereka dipindahkan tanpa diberi peluang memberi penjelasan terlebih dahulu," kata Abu Talib.

Beliau berkata, hanya selepas dikritik oleh anggota pentadbiran (Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin) dan orang ramai, pegawai-pegawai tersebut akhirnya diminta memberikan penjelasan.

Mengulas lanjut Abu Talib berkata walaupun isu pemindahan itu selesai, tetapi perkara itu tidak berakhir begitu sahaja.

Katanya, persoalan yang timbul adalah sama ada perintah pemindahan segera terhadap dua yang berkenaan adalah suatu kesalahan atau tidak.

Pada pandangan Abu Talib, beliau berkata mereka telah melakukan suatu kesalahan.

"Demi kepentingan orang ramai dan agensi penyiasat itu, SPRM perlu teruskan siasatan tanpa gangguan. Peguam Negara perlu mengarahkan pihak polis untuk menyiasat mengenai pemindahan tersebut," katanya.

- Siasat Arahan Pindah Pegawai SPRM - Bekas Peguam Negara

SHARING GOOD

0 Comment to "Siasat Arahan Pindah Pegawai SPRM - Bekas Peguam Negara"

Post a Comment