SEJAK namanya mula dikenali, wanita berperwatakan lincah ini tidak pernah terkecuali dihambat kontroversi.
Memahami perkara itu sebagai ragam kehidupan anak seni yang harus dijalani, pelakon dan penyanyi ini positif mengejar cita-citanya.
Bercerita mengenai azam 2016, Ayda mengakui dirinya tidak memasang sebarang azam baharu melainkan terus berusaha merealisasikan impian yang belum terlaksana.
“Saya tidak ada azam baru untuk 2016 lagi pun masih ada azam-azam yang lalu belum saya capai.
“Jadi, azam tahun ini adalah untuk merealisasikan azam yang belum tercapai,” ujarnya kepada Zass.
Belum berpuas hati dengan pencapaiannya kini, gadis berusia 23 tahun ini tekad membuktikan kemampuannya.
“Saya sangat bersyukur dengan setiap kejayaan yang saya capai dalam karier saya.
“Alhamdulillah, bukan sahaja dalam lakonan, tapi nyanyian saya juga diterima baik oleh peminat.
“Cuma dalam pencapaian nyanyian saya rasa masih belum sampai pada tahap yang saya mahukan.
“Kalau boleh saya mahu terus bekerja kuat untuk menjadi seorang penyanyi sebaris dengan nama-nama besar lain yang bergelar superstar,” katanya teruja.
Tolak kontroversi
Tidak pernah bersetuju kontroversi mampu membantu kerjaya seseorang artis, Ayda mahu kerjayanya lebih dihormati.
“Saya sedar, sebagai artis, kontroversi boleh timbul bila-bila masa walaupun ada kalanya ia bukan datang daripada kita sendiri.
“Untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku, saya ambil jalan untuk sentiasa menjaga tingkah laku kerana setiap pergerakan kita akan sering di perhati.
“Saya percaya semua orang tidak mahukan kontroversi kerana ia bukanlah sesuatu yang baik malah ia hanya menjejaskan karier dan tidak mustahil akan menimbulkan kesan negatif kepada artis itu sendiri,” ujarnya.
Diusik soal jodoh, Ayda akui dirinya tidak terburu-buru mengejar perkara itu.
“Sebenarnya soal jodoh ini kita tidak tahu bila ia akan datang. Jadi saya hanya menyerahkan urusan ini kepada Yang Maha Esa.
“Sementara jodoh belum sampai, saya akan fokus pada kerjaya,” katanya ringkas.
Hadiah buat peminat
Beralih pada perkembangan terbaharunya, Ayda memberitahu bakal tampil dengan single kedua dalam masa terdekat.
Menurut Ayda, single kedua itu melibatkan produser dari Indonesia, Irwan Simanjuntak selain mendapat sentuhan komposer Kevin Chan dan dirinya sendiri dalam penghasilan lirik.
“Baru-baru ini saya ke Indonesia untuk proses rakaman lagu.
“Buat masa ini tajuk dan genre lagu masih belum boleh diuar-uarkan. Cuma yang boleh saya katakan ia kesinambungan daripada single pertama.
“Kalau dibandingkan dengan single pertama, masing-masing memiliki kelebihannya dan paling penting ia bersesuaian dengan diri saya,” katanya.
0 Comment to "Ayda Jebat realisasi impian"
Post a Comment