Fad (Bocey) bersama isterinya Syeera.
Pelawak Fad (Bocey) menyifatkan menjaga anak kembar lelakinya iaitu Favian Adrazin Hayyan dan Favian Adrazin Zayyan yang baru dilahirkan pada 11 Disember tahun lalu bukanlah satu perkara yang mudah.
Fad atau nama sebenarnya Fadzlie Nizam, 25, berkata, dia pada mulanya agak kekok menguruskan kedua-dua anaknya itu lebih-lebih lagi sukar memegang mereka dengan cara yang betul.
"Dahulu, saya selalu dengar pengalaman rakan-rakan mengenai keseronokan menjaga anak mereka.
"Benar, memang seronok tetapi ada juga cabarannya. Rasa kelakar juga bila saya mendukung mereka, isteri gelakkan saya kerana salah pegang anak.
"Lebih kekok, apabila perlu membersihkan lampin mereka. Walaupun bukan mudah, tetapi saya mampu melaluinya dengan baik," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.
Fad, Syeera bersama anak kembar lelaki mereka.
Fad berkata demikian selepas ditanya mengenai kehidupan barunya sejak bergelar seorang ayah.
Isteri Fad, Nur Syahirah A.Rahman, 22, melahirkan anak kembar lelaki di Pusat Berubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam pada 11 Disember 2015 secara pembedahan.
Dalam pada itu, Fad berkata, dia juga seronok melalui pengalaman baru iaitu bangun di waktu malam bagi membantu isteri untuk menyusui anak mereka.
Kata Fad, sebagai seorang suami, dia harus membantu isterinya, apatah lagi ketika masih berpantang.
"Sebagai seorang suami, menjadi tanggungjawab kita menjaga isteri yang baru lepas bersalin. Emosi mereka masih belum stabil dan pada masa sama mereka tidak boleh tertekan kerana boleh mengganggu proses penghasilan susu badan.
"Apatah lagi yang mempunyai anak kembar, suami dan isteri perlu saling bersama-sama menjaga anak-anak," ujarnya.
Sementara itu, Fad berkata, buat masa ini dia masih belum bersedia untuk mendedahkan wajah anak-anaknya memandangkan mereka masih lagi kecil.
"Tunggulah besar sedikit, saya akan kongsi foto wajah anak-anak saya kepada semua," tuturnya.
Fad Syahirah telah mendirikan rumah tangga pada 14 Mac tahun lalu.
0 Comment to "Fad (Bocey) Kekok Jaga Anak Kembar"
Post a Comment