SUDAH lama tidak mendengar khabar berita pelakon, Datin Paduka Eina Azman sejak kebelakangan ini ditambah pula dirinya sedang sarat mengandung.
Berkesempatan berbual dengannya baru-baru ini, Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman yang kini memasuki lapan bulan usia kandungannya banyak merehatkan diri daripada aktif dalam sebarang tawaran lakonan.
“Sejak saya mengandung, saya mahu berehat dahulu dari sebarang tawaran. Lagipun ini adalah kandungan pertama saya, jadi perlu lebih diberi perhatian.
“Alhamdulillah kesihatan diri dan kandungan semuanya baik setakat ini. Tiada apa-apa penyakit. Cumanya selera makan saya semakin bertambah sejak usia kandungan semakin membesar,” katanya kepada Zass.
Disebabkan selera makan itu, isteri kepada Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Singh ini memberitahu yang berat badannya naik mendadak.
“Sekarang ini berat badan saya naik berbelas kilogram sejak mengandung. Berat badan sekarang tidak pernah saya miliki sebelum ini.
“Selera makan di waktu malam juga mungkin salah satu penyebab berat badan naik begitu mendadak.
“Oleh itu, selepas bersalin nanti, saya perlu berpantang dengan betul-betul agar dapat kembali dengan berat badan sebelum ini,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan menyambut kehadiran cahaya mata sulungnya itu yang dijangka lahir pada awal Mac ini yang juga sudah diketahui jantinanya, Eina berkata, hampir sepenuhnya disiapkannya.
“Persiapan untuk bayi sudah 90 peratus siap. Hanya tunggu saat kelahiran sahaja. Lagipun jantina bayi saya dan suami sudah tahu, cuma belum sedia untuk dikongsi buat masa ini. Tunggu bila selamat bersalin nanti.
“Saya dan suami sudah tahu jantina anak sejak usia kandungan enam bulan lagi. Insya-ALLAH semoga semuanya sihat dan baik sahaja,” katanya
Pelakon berusia 21 tahun ini juga berkongsi yang kemungkinan selepas bersalin, dia mahu fokuskan terlebih dahulu pada anaknya sebelum membuat keputusan kembali menerima tawaran lakonan.
“Insya-ALLAH ketika pantang nanti, suami saya sendiri akan jaga saya di rumah kami dengan dibantu ibu saya,” katanya.
0 Comment to "Berat badan Eina Azman naik mendadak"
Post a Comment