HANYA kerana kesilapan teknikal dan hilang fokus, Farid Kamil mengakui terkilan apabila babak dan sudut kamera yang sebelum ini menjadi idamannya, tidak menjadi kenyataan seperti diinginkan.
Semua itu berlaku ketika aktor berusia 35 tahun ini menjayakan salah satu babak sebagai Budiman dalam filem terbaharu lakonannya, Langit Cinta.
Menurut Farid, ketika satu babak melibatkan Budiman dan ibunya (lakonan Normah Damanhuri) berbicara mengenai Khatijah (lakonan Fazura), ia sepatutnya menjadi babak penting.
"Budiman digambarkan sebagai hero kampung dah lama simpan perasaan pada Khatijah, tapi tak pernah luah. Jadi bila Khatijah jatuh cinta dengan Alif (lakonan Keith Foo), dia sangat kecewa sehinggakan mak dia pun merasai apa Budiman lalui.
"Sebenarnya saya memang dah lama tunggu babak sebegitu, di mana saya takkan sewenang-wenangnya menitiskan air mata, di mana kamera fokus muka saya dan baru ada air mata gugur.
"Tapi kerana kesilapan teknikal dan hilang fokus, babak itu tidak menjadi seperti apa diharapkan. Apa pun ia melangkaui jangkauan saya dan saya terpaksa terima apa yang saya dah buat walaupun saya tak berpuas hati," ujarnya kepada Zass ketika berbicara mengenai filem Langit Cinta, baru-baru ini.
Bagaimanapun tambah Farid, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan hasil lakonannya dalam filem berkenaan dan rasa berbaloi dengan apa yang dilakukan.
"Ketika saya dapat tawaran, seminggu saya fikir macam mana nak bawa watak Budiman. Saya sering berimaginasi.
"Bila sampai ke lokasi sehari sebelum penggambaran, abang Osman (pengarah) beritahu saya, saya tak sesuai pegang watak itu dengan kulit saya yang putih kemerahan, rambut tersisir rapi.
"Jadi keesokannya, saya naik bot dan duduk tengah laut, berjemur dua jam untuk gelapkan kulit. Walaupun tak gelap sangat, tapi nampak lebih sesuai," jelasnya.
Farid berkata, Langit Cinta meninggalkan impak tersendiri buatnya, malah akui Farid dia menangis tatkala kali pertama membaca skrip filem berkenaan.
Dalam pada itu, berkongsi pengalamannya yang kini bergelar ayah kepada dua cahaya mata, Farid berkata, kehadiran cahaya mata keduanya, Nur Aurora memberikan pengalaman yang berbeza kepadanya.
"Aurora seorang anak yang pendiam berbanding abangnya dulu. Jika sebelum ini saya biasa menjaga dan mengasuh anak lelaki saya, Muhammad, bila dengan Aurora saya kekok.
"Bagi saya dia sangat kecil dan sensitif untuk dipegang," katanya.
Biarpun bersikap terbuka berkongsi perkembangan anaknya menerusi laman sosial, Farid bagaimanapun belum bersedia untuk membenarkan anak-anaknya terlibat dengan dunia seni.
"Pertumbuhan Muhammad drastik, dia cepat sesuaikan diri dengan keadaan semasa seperti kehadiran peminat dan Diana. Tetapi untuk benarkan dia terlibat susah sebab masih peringkat awal. Saya nak bagi dia besar senormal mungkin,” jelasnya.
0 Comment to "Farid Kamil tak puas hati?"
Post a Comment