Monday, 11 January 2016

Hanez Suraya ingin bahagiakan keluarga



PERJALANAN wanita ini di dalam bidang seni sememangnya penuh onak ranjau. Ketika nama di puncak populariti, dia diduga hebat hanya kerana kisah peribadi.

Dek kerana itu juga, kerjaya seni Hanez Suraya mula suram biarpun bertukar status menjadi isteri Romie Razin Adilha Abd Rais.

Biarpun ada ketikanya masih dihimpit cerita kurang enak berkaitan hal peribadi, namun wanita berusia 31 tahun ini tetap tenang.

Apatah lagi, sempena tahun baharu 2016, Hanez tekad memulakan kehidupan baharu.

Lebih-lebih lagi selepas dikurniakan anugerah tak ternilai dari Ilahi menyuntik semangat baharu buat Hanez.

Berkongsi pengalaman hampir dua minggu bergelar ibu kepada Putri Aleesya, Hanez berkata, dia rasa bersyukur dan bertuah kerana puteri sulungnya itu sangat mudah dijaga.


"Alhamdulillah dia tak sukar untuk dijaga. Bila lapar baru dia menangis. Tapi masih terlalu awal lagi untuk cakap lebih-lebih.

"Apa pun ia pengalaman baharu buat saya. Hari pertama dan kedua memang saya kekok, nak pegang pun kekok.

"Walaupun kekok saya cuba mandikan dia dengan tunjuk ajar bidan, walaupun gementar, tapi saya berjaya juga mandikan dia," ujarnya kepada Zass.

Hanez berkata, dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu Romie iaitu Putera Areeshah dan Putera Rayqarishah juga sangat teruja dengan kehadiran orang baharu dalam hidup mereka.

"Mereka memang sejak awal dah tahu dan teruja nak dapat adik. Malah masa mula-mula mereka ada minta untuk pegang, tapi disebabkan masih kecil, jadi mereka suka cium adik mereka," katanya yang memilih untuk berpantang selama 44 hari dengan bantuan bidan dan ibunya.

Ditanya karier seninya selepas ini, Hanez berkata, fokus utamanya membesarkan anak-anak dan dia rela meletakkan soal kerjaya ke tepi buat sementara waktu.

"Sebenarnya masih terlalu awal untuk saya bercakap mengenai karier seni biarpun suami mengizinkan saya kembali aktif.

"Apatah lagi ini merupakan cahaya mata pertama saya dan kalau boleh saya mahu fokus menjaga Aleesya, termasuk dua anak lelaki saya.

"Harapan saya hanyalah untuk bahagiakan keluarga dan lihat anak-anak membesar di depan mata. Yang lain saya tak harapkan lagi," akhirinya.

- Hanez Suraya ingin bahagiakan keluarga

SHARING GOOD

0 Comment to "Hanez Suraya ingin bahagiakan keluarga"

Post a Comment