Monday, 11 January 2016

Siti Nordiana Saya wanita biasa



BIARPUN hampir sebulan berlalu, namun kehangatan program realiti Gegar Vaganza 2 (GV2) masih lagi terasa sekali gus perhatian yang diberikan terhadap juaranya, Siti Nordiana masih lagi hangat diperkatakan.

Merasai sendiri perubahan sebelum dan selepas dinobatkan sebagai pemenang, penyanyi yang mesra di sapa Nana ini akui sangat bersyukur dengan ketentuan itu.

“Alhamdulillah, selepas beberapa minggu, saya merasai perubahan yang ketara dalam hidup saya lebih-lebih lagi mengenai kerjaya nyanyian.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya sibuk menjalani karier nyanyian sehinggakan hanya berpeluang bercuti sehari dalam seminggu.

“Kalau dari segi penerimaan peminat di luar itu saya lihat sangat positif. Rasa sangat seronok dan kadang-kadang terlupa keadaan sekarang sudah berbeza,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Mega Gegar Vaganza, Khamis lalu.

Apabila sudah menjadi ikutan umum, tidak mustahil juga setiap perlakuannya diperhatikan tidak kiralah sama ada dalam kehidupan realiti mahukan di alam maya.


Mengakui perkara itu, Nana memberitahu ada kalanya perkara itu sangat bermanfaat buat dirinya.

“Selain tawaran nyanyian, peminat sangat prihatin dengan kehidupan harian saya terutamanya dalam laman sosial.

“Apa sahaja foto atau status yang saya muat naik, pasti mereka akan respons. Pada masa yang sama ada juga komen-komen mereka yang memberi peringatan kepada saya untuk sentiasa menjaga imej dan penampilan.

“Saya wanita biasa, walaupun bertudung, tapi saya masih belum sempurna. Saya masih lagi mencari arah untuk menutup aurat dengan sempurna.

“Saya cuba untuk jadi yang terbaik dan komen-komen yang diberikan peminat juga bermanfaat untuk saya untuk lebih berhati-hati. Tapi kalau boleh, saya tidak mahu peminat terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi,” jelasnya yang bakal tampil menerusi konsert Mega Gegar Vaganza bermula 15 hingga 17 Januari ini di pentas Istana Budaya.

Tampil produk baharu

Sesibuk mana pun menguruskan kerjaya nyanyian, Nana masih sempat menguruskan bidang perniagaan jenama pakaian Muslimah ‘Paling Comel’ yang diceburinya malah dia dikatakan bakal tampil dengan produk terbaharu.

“Walaupun saya jarang berada di butik, tapi perniagaan ini masih berjalan seperti biasa. Untuk mengembangkan lagi perniagaan ini, saya akan mengeluarkan produk terbaharu iaitu koleksi tudung Nanarayyan di bawah jenama Paling Comel,” ujarnya.

Disoal mengenai kehidupan peribadinya, penyanyi berusia 32 tahun ini mengakui kesibukan menguruskan kerjaya sedikit sebanyak membataskan masanya untuk bersama putera tunggalnya, Rayyan Nakhaei, 7.

“Sejak akhir-akhir ini memang saya kurang meluangkan masa bersamanya. Bayangkan, dalam seminggu saya cuma ada satu hari untuk berehat dan hari itu jugalah masa yang saya ada bersamanya.

“Memang Rayyan merungut bila saya sentiasa sibuk tapi saya sentiasa cuba curi masa untuk bersamanya,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

- Siti Nordiana Saya wanita biasa

SHARING GOOD

0 Comment to "Siti Nordiana Saya wanita biasa"

Post a Comment